Sunday, May 19, 2019

KONSEP RAHMATAN LIL ALAMIN


KONSEP RAHMATAN LIL ALAMIN
[ رحمةً للعالمين ]


Konsep rahmatan lil alamin merupakan kefahaman bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa risalah Islam yang merupakan rahmat bagi sekalian alam. Firman Allah SWT :

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ

 “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”
[ Surah Al-Anbiya’ : 107 ]

Kebelakangan ini di Malaysia masih hangat dibincangkan mengenai konsep rahmatan lil alamin. Pelbagai forum, perbincangan, ceramah dan penerangan di televisyen, radio dan media-media sosial yang mengulas mengenai konsep ini. Konsep ini perlu difahami secara jelas kerana kita bimbang sekiranya ianya dilaungkan dengan tujuan yang menyimpang daripada kefahaman Islam yang sebenar.


Bagaimana Memahami Apa-apa Perkara Berkaitan Islam?

Pertama-tamanya, apabila berlaku perselisihan pendapat dalam apa-apa perkara sekalipun, sebagai umat Islam, kita perlu mengembalikannya kepada kefahaman al-Quran dan Sunnah. Firman Allah SWT,

... فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا

“… kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”
[ Surah An-Nisa’ : 59 ]

Dalam memahami sumber wahyu pula kita perlu merujuk kepada pendapat para alim ulama yang menafsirkan ayat-ayat al-Quran mengikut kaedah Bahasa Arab serta konteks suasana dan zaman turunnya ayat tersebut supaya kefahaman kita selari dengan kefahaman Nabi SAW dan para sahabat RA. Ini adalah sangat penting supaya kita dapat menjaga ketulenan sumber kefahaman agama kita sendiri daripada penyelewengan orang-orang yang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.


Maksud Nabi Muhammad SAW Sebagai Rahmatan Lil Alamin

Menurut tafsiran sebahagian ulama’, pengutusan Nabi SAW dan syariat Islam merupakan rahmat bagi sekalian alam (termasuk manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya) di dunia dan akhirat. Ini kerana ajaran Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan turut mengatur garis panduan yang lengkap untuk manusia mengharungi hidup di dunia dan bersedia menghadapi hari akhirat.

Islam sebagai rahmat kepada:

1.      Orang-orang yang beriman
·      Berbahagia di dunia dan akhirat (mendapat jaminan syurga) apabila percaya dan mematuhi seluruh ajaran Islam serta menjauhi segala larangan Allah.

2.      Orang-orang kafir (bukan Islam)
·       Terselamat daripada azab dan bala (seperti ummat terdahulu) yang menghapuskan mereka daripada muka bumi.
[ Mereka tetap dijanjikan kerugian di dunia dan akhirat dengan menolak ajaran Islam ]

3.      Makhluk-makhluk lain
·       Terpelihara daripada kebinasaan akibat tangan-tangan manusia yang tamak terhadap kesenangan duniawi (sekiranya mereka mentadbir dunia menurut ajaran Islam).


Penyalahgunaan Konsep Rahmatan Lil Alamin

Antaranya;
  1. Tidak perlu menyampaikan ajaran Islam kerana menganggap semua agama adalah sama dan ajaran Islam boleh memecah belahkan masyarakat.
  2. Tidak boleh membenci, memusuhi apatah lagi memerangi sesiapapun termasuk orang-orang kafir yang memerangi Islam itu sendiri.
  3. Membiarkan maksiat berleluasa dan tidak menegah kemungkaran yang dianggap hak peribadi untuk memilih jalan hidup masing-masing.
  4. Sesiapa sahaja boleh mencari kebebasan mengikut hawa nafsu tanpa batasan dan tidak diganggu (seperti kempen LGBT).
  5. Mengiktiraf dan mengizinkan program maksiat (seperti pesta arak) walaupun kepada masyarakat bukan Islam di negara yang majoriti penduduknya Islam.


´ Bagaimana mereka menyalahgunakan konsep rahmatan lil alamin?

Mereka mendakwa bahawa Islam memberikan kebebasan mutlak kepada manusia dengan berdalilkan Surah al-Anbiya’: 107. Sedangkan ayat seterusnya daripada surah tersebut secara jelas meyatakan perintah berdakwah dan ancaman kepada mereka yang menolak seruan Islam. Firman Allah SWT,

قُلۡ إِنَّمَا يُوحَىٰٓ إِلَيَّ أَنَّمَآ إِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٠٨ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُلۡ ءَاذَنتُكُمۡ عَلَىٰ سَوَآءٖۖ وَإِنۡ أَدۡرِيٓ أَقَرِيبٌ أَم بَعِيدٞ مَّا تُوعَدُونَ

“Katakanlah: Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”
“Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: Aku telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama dan aku tidak mengetahui samada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.”
[ Surah Al-Anbiya’ : 108 – 109 ]



KESIMPULAN

Islam sememangnya agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Kebebasan sebenar bukanlah bersifat mutlak, tetapi ianya mempunyai batasan supaya hak-hak orang lain turut terpelihara. Penafsiran yang hanya mengikut hawa nafsu pula akan menjurus kepada pemikiran liberal yang cuba menyesatkan umat Islam dengan falsafah Barat yang mengagungkan akal semata-mata. Kembalilah kepada kefahaman Islam yang sebenar dengan bimbingan para ulama’. Semoga kita dikurniakan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT.


والله أعلم بالصواب

Rujukan:
Tafsir al-Munir (Jilid 9, halaman 156 – 159) karangan Dr Wahbah az-Zuhayli.

Disediakan oleh;
Ahmad Khalilurrahman bin Fadilah
6 Mei 2019
1 Ramadhan 1440H

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...