Monday, June 29, 2015

IHTIRAM : Tarbiah Ramadhan Memangkin Generasi Rabbani


KAHERAH, 22 Jun 2015 – Badan Kebajikan Pelajar- Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) di bawah Unit Dakwah & Tarbiah telah menganjurkan sebuah program Ihya’ Tarbawi Ramadhan (IHTIRAM) yang akan berlansung sepanjang bulan Ramadhan. Perasmian program ini  bertempat di Dewan  Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Objektif yang ingin dicapai daripada program ini ialah menyemai semangat berlumba-lumba membuat amalan kebaikan dalam bulan Ramadhan disamping mengeratkan hubungan tali persaudaraan antara mahasiswa.

            Program ini dimulakan dengan pembacaan kitab Maqasid Siyam yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Syaffarin bin Zainal, Setiausaha Agung Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir  (BKPJM) pada jam 4 petang . Seterusnya perasmian IHTIRAM dibuka dengan bacaan ayat suci Al Quran, dan dimulakan dengan ucapan pengarah IHTIRAM, Yang di-Pertua BKPJM, dan ucapan Pegawai Atase Pendidikan Johor di Mesir, Ustaz Khairi bin Jalaluddin sekaligus merasmikan program Ihya’ Tarbawi Ramadhan kali ini.



            Agenda majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada perasmi program . Hadirin berbuka puasa secara berjemaah  dengan juadah  yang disediakan  setelah solat maghrib.


            Akhir sekali, harapan seluruh badan pelaksana program IHTIRAM agar Ramadhan pada kali ini lebih bermakna di sisi Allah di samping menambah amalan-amalan sunat demi meraih keberkatan serta keredhaan Allah SWT seterusnya melahirkan generasi bertaqwa.

NGETIH JAUHARI : Kecaknaan Terhadap Isu Semasa

Kaherah, 26 April 2015- Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir BKPJM 14/15  di bawah Unit Kebajikan dan Kemanusiaan telah menganjurkan satu program iaitu ‘Ngetih Jauhari’ yang telah diadakan di Dewan Kuttub Sittah yang melibatkan seluruh  mahasiswa dan mahasiswi BKPJM yang berada di sekitar Kaherah. Antara tujuan program ini dilaksanakan agar menjadikan mahasiswa cakna tentang isu semasa  masa kini seperti isu Rohingya di luar negara serta isu GST yang melanda rakyat Malaysia kini.

     Justeru itu,program ini juga didedahkan dengan pengenalan Rohingya yang telah disampaikan oleh Saudara Helmi bin Norisham.
Antaranya ialah orang Rohingya adalah etnik Muslim yang tinggal di utara negeri Rakhine yang terletak di barat Burma. Kebanyakan populasi Rohingya tertumpu di dua buah badar utara Negeri Rakhine (dulunya dikenal sebagai Arakan). Adapun mengenai isu GST adalah berkaitan dengan harga barang memandangkan asas GST adalah luas. Pedidikan cukai harus diberikan harus diberikan secara berterusan kepada rakyat. Cukai merupakan sumber hasil negara bagi tujuan pembangunan.
  
    Program ini mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan dari mahasiswa BKPJM, serta mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang. Dengan adanya program seperti ini juga dapat menambahkan lagi pengetahuan kita selaku seorang mahasiswa yang berilmu.

     

Tuesday, June 16, 2015

KEDATANGAN DELEGASI KERAJAAN NEGERI JOHOR : Mempererat Hubungan Dua Hala Antara BKPJM dan Kerajaan Negeri


KAHERAH,  10-13 JUN 2015- Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir telah bekerjasama dengan pihak Atase Pendidikan Johor untuk menyambut kedatangan delegasi kerajaan negeri Johor yang telah diketuai oleh Y.A.B Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Besar Negeri Johor Darul Takzim.

Tujuan kedatangan delegasi kerajaan Negeri Johor ke Mesir adalah untuk melawat anak-anak Johor di Mesir.

Ketibaan rombongan yang pertama adalah pada 10 Jun 2015 terdiri dari Tuan Haji Abdul Rahim bin Nin, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Negeri Johor dan beberapa orang pegawai tadbir kerajaan yang lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah. Manakala pada 12 Jun 2015, delegasi kerajaan negeri Johor telah tiba yang diketuai oleh Menteri Besar Negeri Johor. Kesemua rombongan ini telah disambut mesra oleh Encik Khairi bin Jalaluddin, Pegawai Atase Pendidikan Johor dan Saudara Usama bin Aris, Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar Johor Di Mesir 2015 serta barisan pimpinan BKPJM.


Program ramah mesra bersama Y.A.B. Menteri Besar Johor telah diadakan bertempat di Dewan Asrama Pelajar Melayu Abassiah pada sebelah petang. Aturcara telah bermula dengan program Seminar Muafakat Johor yang terdiri dari tiga slot iaitu Slot Pelan Suara Hati Rakyat, Slot Peluang Pekerjaan dan Slot Pembangunan Minyak dan Gas di Pengerang. Program diteruskan pada sebelah malam dengan Ucapan Y.A.B. Menteri Besar Johor dan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Mahasiswi Johor dalam bidang Sains Kesihatan dan Pengajian Islam. Seterusnya, penyampaian cenderamata kepada Y.A.B Menteri Besar telah disampaikan oleh T.Y.T Ku Jaafar bin Ku Shaari,Duta Malaysia ke Kaherah seterusnya persembahan nasyid dan jamuan.

Manakala pada hari Sabtu, 13 Jun 2015, rombongan Y.A.B Menteri Besar bersama exco negeri yang lain telah mengadakan kunjungan ke Asrama Pelajar Johor Rabaah. Y.A.B Menteri Besar telah membuka ruang kepada Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir yang diketua oleh YDP BKPJM untuk bertemu dan bersoal jawab serta mengemukakan cadangan dan pandangan untuk kebajikan pelajar Johor dan pembangunan negeri Johor. Saudara Usama bin Aris turut menyampaikan cenderamata kepada Y.A.B Menteri Besar sebagai tanda ingatan dari BKPJM.





Semoga perjumpaan seperti ini dapat diadakan setiap tahun agar hubungan antara dua hala ini dapat memantapkan lagi ukhwah sekaligus memberi manfaat dan kebaikan kepada dua belah pihak. 

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...