Thursday, July 13, 2017

MENGORAK JALINAN DAN KEMBARA DI BUMI MESIR


Oleh : Farah Atiqah Binti Abdul Manan

RABAAH, 9 Julai 2017 - Urusetia Sambutan Mahasiswa/wi  Baru (USMB) Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir telah mengadakan sebuah program istimewa untuk mahasiswa/wi 2017 yang diberi nama JALINAN '17. Program tersebut telah diadakan pada 8 Julai 2017 yang  bertempat di Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4).

Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa/wi baru tentang keadaan dan cara hidup di Mesir dan memberi penjelasan dan bimbingan berkaitan pengajian. Selain itu, program ini juga bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim antara mahasiswa/wi Johor di Mesir. Bertepatan dengan tema program ‘Merai, Mewarnai’, program ini dianjurkan bagi menyambut kedatangan mahasiswa/wi baru ke perlembahan Nil ini.

Program JALINAN '17 ini telah dirasmikan oleh En Adam bin Ibrahim selaku Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor Mesir. Dalam ucapannya beliau turut memberi nasihat dalam panduan dan langkah asas keselamatan di Mesir.

Program yang dijalankan ini di muat kan dengan sebanyak  6 slot yang begitu menarik iaitu :
Slot 1 : Al-Azhar : Kiblat Ilmu Dunia
Slot 2 : Penjagaan Kesihatan di Negara 2 Musim
Slot 3 : Hisbah & Panduan Keselamatan
Slot 4 : Ramah Mesra bersama pimpinan BKPJM
Slot 5 : Tazkirah Maghrib - Apa Kewajipan Pemuda Muslim Hari Ini?
Slot 6 : Mari Mengenali Biah Solehah dan Bait Muslim

Program ini juga turut diselitkan dengan GKB berkaitan ‘Taaruf’ bertujuan memberi kesempatan kepada mahasiswa/wi berkenalan antara satu sama lain dengan lebih mendalam sekaligus mengeratkan ukhuwah dalam kalangan mereka di perlembahan Nil ini.

Oleh yang demikian, BKPJM berharap dengan terlaksananya program ini dapat mengukuh kebersamaan dalam kesatuan dan memberi suntikan semangat dalam kalangan mahasiswa/wi baru bagi meneruskan pengajian di Bumi Para Anbiya’ ini.

"Merai, Mewarnai"
“KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN“
“MEMBENTUK GENERASI MITHALI“

Sunday, July 2, 2017

MERIAH RAYA DI PERANTAUAN



HAYYU SABI', 25 Jun - Menjelang pagi satu Syawal 1438H, anak-anak Johor yang berada di ardul kinanah ini telah bersama-sama menunaikan solat sunat hari raya aidilfitri di Masjid Musa an-Nusair, Hayyu Sabi'. Masjid ini telah turut dipenuhi oleh penuntut-penuntut ilmu di Mesir daripada seluruh anak-anak negeri di sekitar Hayyu Sabi'. Kemeriahan ini telah menguatkan lagi tali persaudaraan dan ukhuwah anak-anak Johor serta ukhuwah bersama seluruh anak-anak negeri yang berada di Mesir. - Wartawan BKPJM.

14 NEGERI TEMA DI AIDILFITRI



RABAAH, 27 Jun - Tema beraya di 14 negeri merupakan tema yang telah dipilih bagi meraikan hari raya aidilfitri pada tahun ini. Tema ini dipilih bertujuan mengingatkan bahawa Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut oleh anak-anak Johor tetapi kemeriahannya juga disambut di seluruh negeri di Malaysia.

Dewan Rabaah Asrama Pelajar Johor telah dihias dengan Pelayaran 14 negeri di Aidilfitri di bahagian ikhwah serta rumah kampung berkonsepkan minangkabau di bahagian akhawat. Tema ini menjadi lambang hari raya Aidilfitri telah disambut oleh seluruh umat Islam setelah sebulan berpuasa. Suasana raya dimeriahkan lagi dengan kehadiran wakil-wakil daripada BKAN taakhi BKPJM iaitu KPIPM (Perak) dan KPP (Perlis).

Program Senandung Kasih di Aidilfitri kali ini dimeriahkan oleh 2 hos yang begitu mencuit hati iaitu Ustaz Muhammad Ayub Bin Azizol dan Ustaz Muhammad Zahid Bin Mohamad Nor. Pelbagai pengisian menarik ditonjolkan di sepanjang program ini berlangsung. Antaranya tayangan video telemovie raya, sketsa Aidilfitri dan persembahan khas AJKT BKPJM. - Wartawan BKPJM.

BKPJM, PCM KINI 1 KELUARGA



RABAAH, 27 Jun - BKPJM akhirnya telah menjalinkan kerjasama secara rasmi bersama Perubatan Cawangan Mansurah (PCM). Pada sesi ini, BKPJM telah mengemukakan tema "Kebersamaan Mengukuh Kesatuan" dan di antara salah satu misi pembawaan BKPJM yang dibawa oleh tema tersebut adalah mengukuhkan hubungan luar BKPJM. Oleh itu, antara inisiatif yang diputuskan bersama bagi menjayakan tema dan pembawaan ini, BKPJM telah bersetuju menjalinkan kerjasama secara rasmi bersama PCM.

Perjanjian persefahaman ini telah disempurnakan oleh YDP BKPJM Ustaz Muhammad Arif Bin Hamzah dan Dr. Khairul Anuar Bin Jaafar dalam program Senandung Kasih di Aidilfitri 2017 yang bertempat di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah. Antara isi kandungan dokumen persefahaman tersebut, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk saling bekerjasama dalam apa jua bentuk program, aktiviti mahupun gerak kerja demi kemaslahatan bersama.

Diharapkan agar kerjasama ini dapat mengukuhkan lagi kekuatan dan kerjasama diantara Mahasiswa pengajian Islam dan mahasiswa pengajian sains kesihatan di kaherah dan muhafazah. - Wartawan BKPJM.

GEMA TAKBIR DAN PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI MEMECAH KEHENINGAN MALAM



RABAAH, 24 Jun - Malam 1 Syawal 1438H diceriakan dengan gema laungan takbir membesarkan Allah S.W.T. Majlis takbir tersebut bermula sejurus selesai menunaikan solat Isyak berjemaah seteleh mendapatkan pengesahan hari raya Aidilfitri daripada Darul Ifta' (Majlis Fatwa Mesir). Majlis takbir tersebut diketuai sendiri oleh YDP BKPJM, Ustaz Muhammad Arif Bin Hamzah.

Pada malam yang sama, BKPJM juga telah mengadakan majlis perutusan hari raya Aidilfitri yang telah dihadiri oleh anak-anak Johor khususnya yang berada di sekitar kaherah. Dalam perutusan tersebut YDP BKPJM banyak mengingatkan ahli supaya bersyukur akan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. YDP BKPJM juga menegaskan kepada seluruh anak-anak Johor di untuk k terus melestarikan kesatuan di bawah wadah BKPJM dan tidak mementingkan diri sendiri serta bersikap "ananiyah".

Majlis ini telah diakhiri dengan ahli-ahli saling beramah mesra di malam raya, tayangan video promo hari raya khusus buat anak-anak johor yang berada di mesir dan sedikit jamuan ringan. - Wartawan BKPJM.

Saturday, July 1, 2017

AIDILFITRI DIHAYATI RAMADAN DIRINDUI




OLEH : NORHALIM BIN LOKMAN
KETUA UNIT EKONOMI BKPJM 2016/2017

Aidilfitri sekali lagi disambut dengan meriah oleh seluruh umat islam di seluruh dunia. Hari kemenangan, hari kesyukuran, hari  yang istimewa ini sememangnya memberi kegembiraan buat seluruh umat islam lebih-lebih lagi bagi mereka yang bersungguh-sungguh menghayati bulan Ramadan dengan ibadah dan mujahadah mendidik hawa nafsu.

Sepanjang bulan Ramadan, kita diberikan peluang untuk meningkatkan amalan dengan dilipatgandakan ganjaran pahala. Kita diberikan peluang untuk mendapatkan keampunan daripada Allah S.W.T. malah diberikan peluang untuk mendidik hawa nafsu melalui ibadah puasa. Ramadan menjadi madrasah yang mentarbiah diri kita bagi mencapai matlamat utama puasa melahirkan hamba Allah yang bertaqwa.

Setelah berlalu Ramadan, tibalah hari kemenangan umat islam iaitu Aidilfitri. Maka seharusnya bagi umat islam menyambut Aidilfitri sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat-nikmat ini. Nikmat bertemu Ramadan dengan segala kelebihannya, juga nikmat diberikan kesihatan dan kekuatan untuk menyempurnakan perintah berpuasa sehingga sempurna.

Namun kebahagiaan dalam meraikan kemenangan ini bukanlah bermakna kita berlepas diri daripada melakukan ibadah dan bebas untuk berfoya-foya sehingga melanggar batasan syariat. Bahkan Aidilfitri merupakan natijah daripada tarbiah sepanjang bulan Ramadan?.  Adakah kita mampu untuk istiqamah dengan amalan-amalan yang kita lakukan sepanjang Ramadan. Adakah kita dapat terus memelihara hawa nafsu daripada melakukan perkara yang dilarang?Atau kita hanya menjadi hamba Ramadan yang mana berlalunya Ramadan tidak memberi kesan langsung kepada diri kita.

Amalan-amalan sepanjang bulan Ramadan perlulah diteruskan terutamanya amalan-amalan sunat yang dituntut seperti qiamullail, bersedekah, iktikaf dan membaca al-Quran. Tidak dilupakan juga puasa enam hari yang sangat dituntut oleh Rasulullah S.A.W. Sekiranya ruh Ramadan dapat kita teruskan dalam diri kita, barulah bermakna Aidilfitri yang kita sebut sebagai hari kemenangan. Minal a’idin wal faizin iaitu kita tergolong dalam golongan yang kembali kepada Allah juga golongan yang berjaya.

Aidilfitri juga menjadi kesempatan bagi kita mengukuhkan lagi hubungan silaturahim. Amalan ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan dan saling mendoakan sangat dituntut untuk dilaksanakan bagi menjaga ukhuwah islamiah sesama saudara.

                Nikmat Aidilfitri akan terasa lebih manis sekiranya kita mampu menghayati makna sebenar Aidilfitri itu sendiri. Usahlah bersedih dengan ketiadaan ketupat, lemang, burasak, mercun dan sebagainya akan tetapi berbahagialah dengan nilai-nilai ukhuwah yang kita dapatkan ketika sama-sama bergembira menyambut hari kemenangan.

Bergembiralah kerana kita telah berjaya menjadi tetamu Ramadan dengan keluar bersama keampunan dan ketaqwaan kepada Allah. Semoga penghayatan kita dalam menyambut Aidilfitri dengan menjaga adab-adabnya menjadikan ibadah kita diterima Allah dan diberikan lagi peluang untuk bertemu dengan Ramadan yang akan datang.

“KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN”

“MEMBENTUK GENERASI MITHALI”

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...