Wednesday, September 26, 2018

SPR BKPJM 2018 : KENYATAAN RASMI SPR BKPJM 2018



السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُه

الحمدللّه ربّ العالمين والصّلاة والسّلام على أشرف الأنبياء والمرسلين و على أله وصحبه أجمعين.

أما بعد.

Firman Allah S.W.T:

(وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ)
[Surat At-Tawbah 71]

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Saya Muhammad Nur Asyraf bin Mohd Jamal selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2018 (SPR BKPJM) bagi menguruskan proses pemilihan kepimpinan BKPJM bagi sesi 2018/2019 bersama pegawai-pegawai SPR BKPJM yang dilantik.

Untuk makluman semua, pihak SPR BKPJM akan membuka bilik gerakan SPR BKPJM yang bertempat di dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ 4) untuk pencalonan Yang di-Pertua (YDP) & Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) serta pencalonan Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) & AJK HEWI bagi kepimpinan BKPJM sesi 2018/ 2019. Sesi pencalonan akan dibuka bermula pada 1-3 Oktober 2018, manakala sesi bantahan calon pula akan dibuka pada 6 Oktober 2018.

Pencalonan dibuka bagi memilih :

SEORANG Yang di-Pertua (Borang A),
8 ORANG AJKT (Borang B),
SEORANG Ketua HEWI (Borang C) dan
7 ORANG AJK HEWI (Borang D).

Sekiranya pencalonan melebihi kuota yang ditetapkan, maka pilihan raya akan dijalankan.

Sebarang maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih, Siiru a'la barakatillah.

"BERSIH, TELUS, AMANAH"


Yang Menjalankan Amanah,

Muhammad Nur Asyraf bin Mohd Jamal,
Pengarah SPR BKPJM 2018.

Wednesday, September 12, 2018

APA BUKTI DIRIMU MUSLIMAH?


DISEDIAKAN OLEH: NURIZZAH SOFEA BINTI ISMAIL
TIMBALAN RESEARCH AND DEVELOPMENT, JABATAN FASILITATOR,
UNIT DAKWAH DAN TARBIAH, BKPJM 2017/ 2018

Muslimat kini menjadi penentu kepada keseimbangan perjuangan islam. Bahkan muslimat merupakan agen-agen utama dalam membentuk pelapis-pelapis pejuang agama Islam daripada peringkat yang terawal, sekaligus menunjukkan peranan muslimat amat penting.

Maka peranan muslimat tersebut mestilah dipastikan berlandaskan ilmu dan kefahaman yang jelas mengenai Islam dalam menceburi medan amal Islami. Kefahaman muslimat dalam memainkan peranannya dalam medan amal memerlukan keringat yang tidak kenal erti lemah dan lelah sebagai penyuluh generasi. Peranan muslimat agar tidak menjadi orang yang melampaui batasan dan terlalu tertutup sehingga kewujudan mereka dianggap bagaikan tiada.



Sejarah telah menunjukkan peranan muslimat yang cukup besar dalam kehidupan apatah lagi dalam bidang yang khusus melibatkan kewanitaan. Antaranya yang dapat dijadiakn contoh pada zaman Nabi sehingga kini iaitu Saidatina Aisyah RA, isteri Rasulullah S.A.W yang senantiasa menjadi salah seorang tempat rujukan para sahabat RA mengenai permasalahan-permasalahan yang melibatkan bidang kewanitaan. Bahkan para ulama’ ada menyebutkan ketika wafatnya Saidatina Aisyah RA, umat Islam kehilangan satu per empat ilmu. Beliau mendapat keistimewaan dalam sudut penerangan terutama ilmu-ilmu Islam. Selain itu tokoh muslimat moden iaitu Zainab al-Ghazali, beliau merupakan antara salah seorang penggerak muslimat di dalam gerakan Islam. Keringat tenaga, masa dan wang ringgitnya banyak dilaburkan menabur bakti dalam medan Islam.

Makanya di sini, muslimat perlu mencerna ideologi dalam memahami peranan wanita muslimah daripada pelbagai aspek realiti kehidupan dewasa kini. Apa yang dapat dinilai bila mana kaum wanita terpandu pada dua arah, iaitu :
1)      Ideologi yang cenderung ke arah mengongkong dan meyekat kebebasan wanita Islam.
Sehinggakan menutup keterbatasan ruang lingkup pergerakan wanita.
2)      Ideologi yang keterlaluan dalam membuka pintu kebebasan terhadap wanita sehingga menghalalkan segala tindakan mereka, mengadaptasikan budaya barat lantas terus tenggelam dalam arus taqlid (mengikut-ikut) dan ikutan membabi buta.

Menjadi seorang wanita sama ada akan menjadi seindah-indah perhiasan atau seburuk-buruk fitnah.
Realiti masa kini yang dapat dilihat bilamana kaum wanita terlalu berkeinginan untuk terkehadapan sehinggakan hilang batasan syariat, hilang arah panduan, hilang rasa malu dan menuntut hak sebelum menunaikannya. Hal ini amat terkesan bilamana pengaruh barat mengelolai seseorang wanita seperti apa yang terjadi pada realiti kini. Sebagai contoh golongan LGBT, tarian-tarian barat, hak kedudukan wanita yang ingin disamaratakan daripada segi kepimpinan dan sebagainya.
Perkara sebegini dapat dilihat kerana wanita barat memiliki tabiat, pegangan, nilai, dan adat serta persekitaran hidup yang berbeza. Begitu juga kita sebagai muslimat punya adat, nilai hidup, pegangan dasar, pendirian Islam yang teguh. Justeru, tidak wajar bagi wanita Islam yang tinggal di negara Islam menurut jejak langkah wanita Eropah.

Sebagaimana Firman ALLAH SWT  dalam surah An-Nur:31 :

"وقل للمؤمنات يغضضن من ابصرهن  ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن الا ما ظهر منها وليضربن بخمرهن على جيوبهن"
Maksudnya : “Dan katakanlah pada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripda memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju dengan tudung kepala mereka”.

Wanita menjadi elemen penting dalam Islam apabila martabat wanita diangkat setelah datangnya Islam dan membetulkan persepsi masyarakat yang pada asalnya wanita menjadi punca kemunduran sesebuah institusi. Bertitik tolak dalam hal ini dapat kita lihat kedudukan wanita terjamin disebabkan keadaanya sentiasa di bawah tanggungjawab lelaki dalam segenap situasi mengikut sistem hidup Islam dalam perlaksanaannya.

Maka cabaran muslimah hari ini ialah bagaimana mereka melengkapkan diri dengan kehendak-kehendak semasa, mengisi ruangan-ruangan yang penting dalam umat Islam di hari esok merupakan satu tanggungjawab besar yang mesti difikirkan. Hal ini kerana pihak barat mengeksploitasikan wanita dalam meruntuhkan tamadun Islam yang meninggikan martabat wanita itu sendiri. Islam sangat menuntut dalam mencerminkan keperibadian akhlak yang tinggi  dengan berpegang pada prinsip Islam berpaksikan kepada iman yang kuat dan pegangan agama yang kukuh. Tidak mustahil suatu hari muncul serikandi Islam bangkit mempertahankan agama biarpun dengan laungan takbir di medan juang ataupun bertemu Ilahi dengan tenang. Akhir kalam ‘janganlah impikan lelaki sehebat Rasulullah SAW jika dirimu tidak setulus seperti Khadijah RA’.


Thursday, September 6, 2018

HIKMAH PENGORBANAN, MEMUPUK KESATUAN



DISEDIAKAN OLEH : GHAZALI BIN AB KADIR
SETIAUSAHA SACRIFICE OF AIDILADHA (SOFWAH '18)

KAHERAH, 26 Ogos 2018 - Kemeriahan Sacrifice of Aidiladha (SOFWAH ’18) diserikan lagi dengan majlis rumah terbuka yang bertempat di Asrama Pelajar Johor, Hayyu Thamin. Majlis yang bermula pada jam 10 pagi itu dihadiri oleh para jemputan daripada wakil BKAN lain termasuk wakil daripada PERUBATAN dan Persatuan Mahasiswa Ulum Islamiah (PMUI) yang ada di Mesir ini. program kemudiannya disusuli dengan majlis perasmian penutup pada jam 2 petang dan dimulakan dengan ucapan pendahuluan daripada Ustaz Ahmad Lutfi bin Subahan selaku Pengarah SOFWAH '18. Beliau telah menerangkan serba sedikit perjalanan program yang telah dirancang dan dilaksanakan lebih kurang seminggu ini dan objektif yang ingin dicapai dalam program ini. Seterusnya, majlis penutup SOFWAH '18 ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Keluarga Pelajar-Pelajar Islam Perak Mesir Ustaz Mohamad Bukhari Ridha bin Mohd Bakri yang juga merupakan taakhi Zon C.


Kehadiran tetamu dianggarkan seramai 500 orang dan berjaya mengumpulkan seluruh anak Johor yang berada di Mesir ini yang terdiri daripada pelbagai bidang pengajian. Ikatan ukhuwah ini diharapakan dapat berkekalan sehingga bila-bila. Tetamu juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah istimewa Nasi Biryani dan unta sweet sour sebagai santapan rumah terbuka.



Wednesday, September 5, 2018

PENGALAMAN ISTIMEWA BERSAMA BKPJM



DISEDIAKAN OLEH : GHAZALI BIN AB KADIR
SETIAUSAHA SACRIFICE OF AIDILADHA (SOFWAH '18)

KAHERAH, 23 & 24 Ogos 2018 - Majlis sembelihan dan melapah haiwan korban anjuran Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sempena Sacrifice of Aidiladha dapat dilaksanakan dengan jayanya. Majlis yang telah berlangsung selama dua hari bertempat di Asrama Pelajar Johor Thamin dengan kehadiran kira-kira 80 orang anak-anak Johor daripada sekitar Kaherah.


Sebanyak 41 ekor kambing dan biri-biri serta seekor unta telah selamat dikorbankan hasil kerjasama semua anak-anak Johor sepanjang dua hari program berlangsung. Sebahagian haiwan-haiwan korban ini disumbangkan oleh rakyat Malaysia dan juga mahasiswa Johor yang berada di Mesir. Proses melapah daging telah dibuat di syaqah-syaqah dan sutuh Asrama Pelajar Johor Thamin. Pada sebelah petang pengagihan daging korban kepada rumah-rumah sewa anak Johor telah dapat diagihkan dengan baik. Selepas proses pengagihan daging korban selesai, pada sebelah malamnya pula anak-anak Johor dijamu dengan sup tulang istimewa. "Terima kasih kepada BKPJM kerana telah memberi pengalaman sebesar ini kepada kami mahasiswa Johor di Mesir."



Tuesday, September 4, 2018

KEMERIAHAN AIDILADHA DI MESIR



DISEDIAKAN OLEH : GHAZALI BIN AB KADIR
SETIAUSAHA SACRIFICE OF AIDILADHA (SOFWAH '18)

KAHERAH, 21 Ogos 2018 - Ahli BKPJM memenuhi ruangan dataran Hayyu Asyir bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama mahasiswa Mesir dari pelbagai negeri yang telah dianjurkan oleh Majlis Gabungan Badan Kebajikan Anak Negeri.


Kemudian program disambung dengan Pengijazahan Hadis Musalsal berkaitan Hari Raya Aidiladha khusus untuk anak-anak Johor di Mesir yang telah disampaikan oleh Al'allamah Dr. Rif'at Fauzi bin Abdul Mutalib. Program tersebut berlangsung di Asrama Pelajar Johor Rabaah dan diadakan di Syaqah 2 atas faktor keuzuran Syeikh Rifaat.

Majlis diteruskan lagi dengan Perutusan Hari Raya Aidiladha yang telah disampaikan oleh Ustaz Norhalim bin Lokman selaku Yang di-Pertua BKPJM di Asrama Pelajar Johor Rabaah. Harapan daripada Yang di-Pertua BKPJM supaya kita selaku hamba untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah S.W.T di bulan Zulhijjah ini.



Sunday, September 2, 2018

DAURAH FEQH KORBAN SEMPENA HARI RAYA AIDILADHA 1439 H



DISEDIAKAN OLEH : GHAZALI BIN AB KADIR

SETIAUSAHA SACRIFICE OF AIDILADHA (SOFWAH '18)

KAHERAH, 19 Ogos 2018 - Badan Kebajikan Pelajar- pelajar Johor di Mesir saban tahun menganjurkan program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan pada tahun ini telah diberi nama Sacrifice Of Aidiladha (SOFWAH ’18) dengan bertemakan ‘Hikmah Pengorbanan Memupuk Kesatuan’. SOFWAH ’18 telah membuka tirai pada petang 19 Ogos 2018 dengan Daurah Feqh Korban yang telah dibentangkan oleh Ustaz Ahmad Izzat Irfan bin Izani bertempat di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah, Kaherah.



Daurah yang bermula pada jam 3.30 petang hingga 8 malam itu telah mendapat sambutan yang amat positif dan juga kehadiran yang memberasangkan lebih-lebih lagi daripada adik-adik mahasiswa baru. Antara perkongsian daurah yang telah telah disampaikan di dalam pembentangan tersebut adalah berkaitan kaedah dan aturan penyembelihan. Selain itu, daurah ini juga diakhiri dengan tayangan video promo SOFWAH '18 yang dibuat oleh Eksekutif Promosi dan Teknikal.



Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...