Saturday, July 28, 2018

Hisbah Menurut Perspektif Islam




DISEDIAKAN OLEH: USTAZAH NUR FATIHAH BINTI MUSLIMAN
UNIT SAMBUTAN DAN REHLAH HEWI BKPJM 2017/ 2018

HISBAH ialah menegakkan yang ma’ruf apabila ianya ditinggalkan secara terang-terangan dan mencegah kemungkaran apabila ianya dilakukan secara terang-terangan pula.
Ini membawa maksud bahawa sekiranya ditinggalkan atau dilakukan secara sembunyi maka bukan lagi tangungjawab hisbah, tetapi menjadi tangunggjawab para hakim apabila wujud pendakwaan yang melibatkan penyaksian dan keterangan.

Ramai orang menyangka bahawa walaupun melaksana tugas-tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar diberikan ganjaran yang amat besar, tetapi mereka merasakan tidak menjadi kesalahan jika meninggalkan kerja-kerja tersebut. Malah mereka merasakan kejayaan hanya terhenti kepada usaha-usaha dan amal-amal berkaitan dengan perkara ibadat sahaja seperti solat, puasa, sedekah, haji dan lain-lain. Kesalahan dan keburukan orang lain tidak menjadi tangunggjawab mereka untuk membetulkannya.

Mereka seolah-olah telah lupa ataupun sengaja cuba melupakan bahawa tugas ini merupakan prasyarat kepada kejayaan di dunia dan di akhirat. Maka bersandarkan kepada perkara di atas ini, para ulama berpendapat bahawa kerja-kerja hisbah adalah suatu yang fardhu.

Agama itu nasihat.

Oleh itu, dalil yang mewajibkan perlaksanaan hisbah bersandarkan kepada :
  • ü  Arahan Allah dan RasulNya.
  • ü  Iman dan Hisbah merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.
  • ü  Antara syarat mendapat kejayaan ialah melaksanakan kerja-kerja hisbah.
  • ü  Amaran keras dengan azab Allah disebabkan meninggalkan kerja-kerja hisbah.

Para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan status kefardhuannya sama ada fardhu ain ataupun fardhu kifayah, namun dalam suasana-suasana tertentu para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa ianya boleh berubah menjadi fardhu ain. Antara suasana tersebut ialah :

  • ü  Apabila petugas atau pegawai dilantik oleh pihak berkuasa.
  • ü  Apabila kemampuan untuk melaksanakan tugas ini hanya terbatas kepada beberapa individu sahaja maka hisbah itu menjadi fardhu ain ke atas mereka.
  • ü  Apabila berlaku perubahan situasi di mana bilangan para da’ie berkurangan dan ditambah pula dengan kemungkaran berluluasa serta kejahilan menguasai keadaan, maka ketika itu hisbah menjadi fardhu ain.

Firman Allah Taala :

ولتكن منكم امة يدعون الى الخير ويامرون بالمعروف وينهون عن المنكر واولئك هم المفلحون

Maksudnya : Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan(mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Surah Ali Imran : 104)

Umat Islam kini semakin lemah kerana semakin meninggalkan ajaran Islam dan jauh daripada cara hidup muslim yang sebenar sebagaimana golongan terdahulu yang disebut sebagai as-Sabiqun iaitu mereka yang mengikut petunjuk dan panduan al-Quran.

Umat Islam kini juga didorong dengan penyakit wahn (cintakan dunia) sehingga terlupa akan kampung akhirat yang kekal abadi akibat jahil dengan panduan wahyu sebagai cara hidup Islam yang syumul (lemgkap).



Akidah asas perjuangan.

Kesimpulannya, umat Islam perlu mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap isu di sekitar mereka. Tugas amar ma’ruf nahi mungkar merupakan tuntutan yang lebih utama dalam Islam berbanding tuntutan-tuntutan yang lain. Tuntutan ini menggalakkan mahasiswa agar sentiasa memperbaiki diri dalam seluruh aspek kehiudupan dan bereterusan dalam mengajak yang lain kepada kefahaman Islam yang syumul.


Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...