Saturday, February 13, 2016

Hukum Bermain Alat Muzik Bertali


HUKUM BERMAIN ALAT MUZIK BERTALI

Islam tidak menghalang untuk umatnya berhibur, akan tetapi setiap hiburan perlu bersandar dengan Islam atau tidak lari dari hukum Islam. Perlu diingatkan bahawa asal sesuatu hukum adalah harus. Namun, ia boleh berubah menjadi haram atau hukum selainya bergantung kepada waqi'e dan dalil yang menyokongnya.

Bermain alat muzik adalah diharuskan bagi golongan yang pertengahan (orang yang tidak dikuasai rasa cinta asyik yang mendalam terhadap Allah dan tidak juga dikuasai oleh hawa nafsu yang memuncak). Hal ini kerana, bagi orang yang terlalu asyik dengan Allah, bermain alat muzik adalah baik untuknya manakala bagi orang yang mudah terpengaruh dengan desakan hawa nafsu dan melalaikan, bermain alat muzik adalah haram untuknya.

Namun demikian, jika bermain alat muzik dijadikan sebagai kebiasaan sehingga banyak waktunya dihabiskan untuk itu, maka dia tergolong dalam kalangan orang bodoh yang kesaksian mereka tidak boleh diguna pakai.

Mengenai hukum penggunaan gitar dalam Islam, Imam Al-Ghazali menganggap bahawa alat muzik yang dipetik dengan tali (autar) adalah sebahagian daripada punca pengharamannya. Beliau beranggapan sedemikian kerana berasaskan kepada kenyataan bahawa ada dalil syarak yang telah melarangnya.

Hujah yang telah beliau kemukakan adalah :

Syarak tidak mengharamkannya (alat-alat muzik tersebut) kerana zat alat itu sendiri. Sebabnya ialah, jika ia diharamkan kerana keseronokan yang ada padanya, nescaya semua benda lain yang menjadikan manusia merasa seronok juga tidak boleh.

Ianya seperti hukum pengharaman arak. Oleh kerana pada ketika itu(zaman nabi s.a.w) orang ramai pada mulanya sudah begitu ketagih dan sukar untuk membuang tabiat tersebut, mereka terpaksa memecahkan tong-tong arak dan sebagainya. Justeru, setiap apa yang menjadikan peminum arak itu ketagih dan cenderung kepada melakukan dosa maka ianya juga diharamkan terhadap alat muzik bertali (autar).

Pengharaman alat muzik bertali(autar) ini adalah diambil daripada hukum pengharaman arak. Kerana perbuatan minum arak adalah gerbang dan muqaddimah ke arah maksiat keji.

Oleh itu, alat muzik autar  ini diharamkan ekoran daripada pengharaman arak dengan 3 sebab:

Muzik tersebut merangsang orang yang mendengar untuk meminum arak. Dan dengan meminum arak itu pula, perasaan seronok mendengar alat muzik itu tadi akan menjadi lebih memuncak.
Bagi seseorang yang baru berhenti minum arak pula, mendengar alat muzik ini akan menggamit ingatannya kepada sejarah silam iaitu tentang tempat dan pesta minumnya dulu. Ingatan ini akan membangkitkan rasa rindunya dan seterusnya akan membawanya semula ke tabiat lama.
Berhimpun dan berkumpul mendengarnya adalah menjadi adat kebiasaan golongan fasik. Sepertimana yang kita sedia maklum, Kita dilarang menyerupai golongan fasik. Ini kerana, “ Sesiapa yang menyerupai sesuatu puak atau golongan yang negatif, maka dia akan dianggap sebahagian daripada golongan tersebut.”

Setelah Imam Al-Ghazali membuat huraian tersebut, beliau kemudian menyatakan:
Dengan ini jelaslah bahawa sebab pengharamannya bukanlah kerana ia sesuatu yang baik dan menyeronokkan. Sebaliknya, kesimpulan yang diperolehi melalui sumber syarak membuktikan bahawa semua perkara yang baik adalah halal kecuali jika ia membawa kerosakan kepada manusia.
Bersesuaian dengan firman Allah,

“ Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani ) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?” (Al-A’raf:32)

Natijahnya. Segala apa yang telah diterangkan diatas merupakan hujah yang telah dikemukakan oleh Imam Al-Ghazali bagi menjelaskan sebab beliau mengharamkan penggunaan alat muzik yang bertali.
Sekian. Sedikit perkongsian mengenai isu alat muzik di dalam Islam. Jika ada sebarang kesalahan harap dapat diperbetulkan. Wallahua’lam.

RUJUKAN:

NYANYIAN DAN MUZIK MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AS-SUNNAH, DR. YUSUF AL-QARDAWI.

Disediakan oleh :

Unit Tafaqquh dan Thaqafah (TnT),
Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 15/16

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...