Saturday, December 17, 2016

BERITA BKPJM: SELANGKAH MENUJU KECEMERLANGAN



Oleh :Ustazah Nurul Fadhilah Mohd Jais
(Setiausaha Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 2016/2017)

KAHERAH, 15 Disember 2016 - Unit Pengetahuan dan Bimbingan BKPJM 16/17 dengan kerjasama Biro Pelajaran dan Ilmiah KPIPM sesi 2016/2017 telah menganjurkan program “Bengkel Persediaan Imtihan” sempena imtihan fasa 1 yang telah berlangsung di Dewan Syeikh Idris Al-Marbawi, Baitul Ridzuan(Wisma B).Bengkel yang melibatkan semua lapisan anak-anak Johor  dan Perak di Mesir ini dianjurkan bersempena dengan imtihan fasa 1 yang hampir tiba.

Antara objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberi penerangan kepada mahasiswa/wi berkaitan teknik menjawab  peperiksaan Universiti Al-Azhar dan sebagai persediaan kepada mahasiswa/wi dalam menduduki peperiksaan dengan pendedahan berkenaan penggunaan uslub bahasa Arab.Bengkel ini juga dianjurkan untuk memberi semangat dan motivasi kepada mahasiswa/wi dalam menghadapi imtihan di samping merapatkan ukhuwah di kalangan mahasiswa/wi Mesir.

Bengkel dimulakan dengan slot yang menerangkan tentang kaedah pembacaan kitab, cara membuat ayat Bahasa arab dengan baik dan lain-lain lagi yang telah disampaikan oleh Ustazah Ulfatun Nadzirah Binti Tugiman Razaq.  Antara intipati pengisian beliau ialah teknik menjawab soalan dengan baik antaranya merujuk soalan-soalan yang lepas, mengenalpasti bilangan soalan dan mengingati tajuk soalan.Tambahannya  lagi, ikhlas dalam menuntut ilmu dengan berniat kerana Allah Taala dan berterusan melaksanakan amal.  Tips yang paling penting dalam menuntut ilmu ialah faham dan ikhlas  akan matlamat utama dan menyeru kepada orang lain, melazimi diri untuk sentiasa hadir ke kuliah  dan tolong menolong antara satu sama lain.

Program  ini seterusnya diakhiri dengan ucapan oleh Ustaz Muhammad Arif Bin Hamzah, YDP BKPJM 16/17 dan Ustaz Khairul Naim Bin Abdul Razak, YDP KPIPM 16/17.  Antara isi ucapan kedua-dua YDP ialah yakin dengan Allah,fokus pada usaha, sentiasa memberi manfaat pada diri dan orang lain dan sentiasa mendoakan kejayaan sahabat-sahabat yang lain.-Wartawan BKPJM-

“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

WANITA DALAM MEDAN KEILMUAN DAN DAKWAH



Oleh : Ustazah Sanisah Binti Morney
(Unit Pengetahuan dan Bimbingan HEWI BKPJM 2016/2017)

Wanita merupakan ciptaan terindah Allah SWT yang mempunyai kedudukan mulia dalam Islam.Jika kita soroti sejarah lampau sebelum Rasulullah SAW diutuskan,kita akan dapati banyak kelakuan masyarakat jahiliah yang menunjukkan kerosakan yang nyata telah berlaku.  Dengan kedatangan Islam yang membawa sinar cahaya keterangan, mengeluarkan mereka daripada kegelapan melalui wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW iaitu ketika baginda SAW di dalam gua Hira’ di Mekah.  Wahyu pertama yang diturunkan adalah ayat 1-5 daripada Surah Al-‘Alaq.Allah telah berfirman yang bermaksud:

Bacalah!Dengan nama TuhanMU yang menciptakan.Membuat manusia dari segumpal darah.Bacalah!Dan tuhanmu  ialah yang paling mulia.Mengajarkan dengan qalam.Hal-hal yang tidak diketahui oleh manusia.

Ini menunjukkan betapa masyarakat ketika itu muncul sebagai masyarakat yang berilmu.  

            Semangat yang kuat daripada masyarakat ketika itu, membuatkan mereka berlumba-lumba untuk mempelajari ilmu pengetahuan dengan membaca dan menulis.Tidak ketinggalan, kaum wanita turut memberi saingan yang sihat terhadap kaum lelaki ketika itu.Kedudukan mereka diangkat dalam Islam, yang mana kaum wanita tidak pernah dikecualikan untuk turut serta mempertingkatkan taraf keilmuan.

            Bermula di Mekah, mereka berpeluang menuntut ilmu pengetahuan.Siti Khadijah RA yang merupakan isteri Rasulullah SAW adalah seseorang yang dipilih Allah SWT sebagai anak murid pertama baginda SAW, yang menjadi lampu hijau kepada kaum wanita seluruhnya untuk menimba ilmu seoptimum yang mungkin seperti yang dikecapi oleh kaum lelaki.

            Setelah penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah, dunia keilmuan dan kebebasan para wanita dalam menuntut ilmu terbuka luas seiring dengan kaum lelaki tanpa ada diskriminasi.Ketika di Madinah, wanita-wanita Ansar berkumpul di sebuah rumah dan Rasulullah SAW menghantar Saidina Umar RA untuk mengajar mereka.Rasulullah SAW meletakkan tanggungjawab kepada ibubapa agar memastikan anak-anak mereka menuntut ilmu dan menyarankan kepada orang-orang lelaki menuntut ilmu agar dapat mengajarkan ilmu yang dipelajari kepada isteri dan anak-anaknya.Kesungguhan Rasulullah SAW memberi impak besar yang telah membawa perubahan yang baik kepada mereka.

            Sejurus dengan itu, telah muncul tokoh sarjana yang hebat di kalangan wanita seperti Saidatina Aisyah RA, Safiyyah RA, Ummu Salamah RA dan lain-lain. Ini menunjukkan wanita menjadi bijak dan dihormati dalam masyarakat.  Martabat wanita diangkat nilainya, tidak lagi seperti wanita-wanita sebelum kedatangan Islam.


AISYAH RA IKON MUSLIMAH TERUNGGUL

Bila disebut nama yang mulia ini, ia tidak asing lagi dalam dunia keilmuan dan sebagai rolemodel buat wanita kseluruhannya sehingga ke zaman kini.  Beliau telah mempelopori bidang pendidikan dan telah berjaya meletakkan taraf keilmuannya setanding dengan para sahabat RA.  Aisyah RA telah memanfaatkan kedudukannya sebagai salah seorang isteri Rasulullah SAW dengan sebaik-baiknya.Peluang ini menjadikan beliau seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap.

            Beliau telah meriwayatkan sebanyak 2210 buah hadis sehingga membariskan beliau dengan 6 orang sahabat Rasulullah SAW yang merupakan ahli pakar hadis, iaitu Umar Bin Al-Khattab, Ali Bin Abi Talib, Abdullah Bin Mas’ud, Abdullah Bin Umar, Abdullah Bin Abbas dan Zaid Bin Thabit.Keistimewaan periwayatan hadis daripada Aisyah RA, ia merupakan periwayatan secara langsung daripada Rasulullah SAW dan para sahabat RA.Kebanyakan hadis ini berkaitan dengan amalan-amalan peribadi Rasulullah SAW yang mampu diketahui oleh Aisyah RA.Hal ini menyebabkan pengiktirafan ketokohan beliau RA.  Anak saudaranya, Ibnu Al-Zubair berkata: “Demi Allah, Aisyah tidak berdusta sama sekali tentang Rasulullah SAW.”

            Selepas kewafatan Rasulullah saw, Aisyah RA menjadi rujukan utama para sahabat apabila timbul permasalahan dan kekeliruan dalam mengetahui soal-soal hukum.Abu Musa Al-‘Ashari pernah berkata: “Sekiranya dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW menghadapi kemusykilan, maka kami akan bawa permasalahan tersebut kepada Aisyah RA.” Aisyah RA bukan sahaja arif dalam bidang Feqah, bahkan juga dalam bidang perubatan (Tib) dan syair.Beliau juga pakar dalam permasalahan perwarisan harta yang memerlukan kemahiran matematik yang tinggi. Beliau juga mempunyai kepakaran dalam bidang tafsir dan hadis.

            Dengan demikian, Aisyah RA sebagai pendidik ummah yang menjadi contoh dari segi kehebatannya dalam menguasai bidang ilmu pengetahuan.Kehidupannya mampu mempengaruhi pandangan masyarakat tidak kira lelaki mahupun wanita, yang mana beliau telah membekalkan inspirasi dan kepimpinan yang mantap. Beliau seorang yang kaya dengan budi pekerti yang tinggi, lemah lembut dan sopan santun yang memberikan kebahagiaan kepada suamiya.Aisyah RA bukanlah seorang graduan daripada mana-mana universiti memandangkan belum lagi wujud institusi seperti yang ada sekarang.Namun demikian, beliau ibarat sebuah universiti yang jauh lebih hebat dan berkesan yang diperolehi daripada mana-mana wanita hari ini di universiti-universiti.Sifat ketaqwaan Aisyah RA dapat dilihat daripada kehidupannya yang sederhana dan zuhud hasil daripada didikan baginda SAW sepanjang hayatnya.

TUNTUTAN WANITA ISLAM TERUTAMANYA DALAM MEDAN PENDIDIKAN DAN DAKWAH

Tuntasnya,sebagai wanita Islam, seeloknya kita menjadikan tokoh-tokoh wanita Islam yang hebat seperti Aisyah RA dalam bidang keilmuannya.  Sebagai wanita, kita perlulah sedar bahawa wanita juga berperanan besar dalam membangunkan masyarakat.Wanita boleh memberi impak besar melalui kekuatan dan kelemahannya. Kita dapati sejarah ketika bagaimana tarikan Hawa kepada Nabi Adam ketika mereka di syurga dan kisah Zulaikha ketika terpana  dengan keindahan Nabi Yusuf a.s..Namun demikian, di akhirnya mereka menginsafi atas apa yang telah dilakukan. Selain itu, wanita dapat menjadi kekuatan kepada masyarakat.Antara kisah yang mempunyai pengajaran yang bernilai adalah apabila Fatimah Al-Khattab, adik kepada Saidina Umar RA yang menjadi asbab Umar memasuki Islam melalui bacan Al-Quran. Asiyah yang merupakan isteri firaun, apabila ingin membela seorang bayi lelaki yang dijumpainya, diberi keizinan oleh firaun dek kerana sayang akan isterinya. 

Contoh umum yang dapat kita lihat, adalah ketika wanita-wanita menjadi penguat bagi suami-suami mereka ketika di medan peperangan,menjadi perawat-perawat setia kepada tentera yang tercedera, menjadi pembakar semangat kepada suami dalam menyampaikan dakwah dan sanggup mengorbankan harta dan jiwa demi kemenangan Islam. Semoga dengan wujudnya pelbagai contoh tauladan tokoh srikandi Islam  ini, dapatlah kita sebagai wanita menetapkan prinsip dalam kehidupan dengan mengikuti syariat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.WaAllahu A’lam.


“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

BERITA BKPJM : LEBIH 150 MERIAHKAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL BKPJM


Oleh : Ustazah Syahidah Binti Abdul Hadi
(Timbalan Unit Dakwah BKPJM 2016/2017)

KAHERAH,12 DISEMBER 2016 (ISNIN) – Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM 2016/2017 dengan kerjasama Pejabat Atase Pendidikan Negeri Johor telah mengadakan Sambutan Maulidur Rasul di Dewan Asrama Pelajar Johor,Hayyu Thamin.Antara objektif sambutan ini dianjurkan adalah untuk melahirkan perasaan kasih sayang terhadap Rasulullah SAW dan menghayati sirah perjuangan baginda dalam berdakwah.

Program bermula pada jam 4.00 petang dan disambut penuh meriah dengan kehadiran lebih 150 anak-anak Johor yang mengalunkan Selawat,Qasidah dan bacaan Maulid Dibaie yang memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.Usai solat Isyak berjemaah,majlis sambutan diteruskan dengan ucapan Ustaz Muhammad Arif Bin Hamzah selaku Yang Di-Pertua BKPJM dan ucapan Ustaz Khairi Bin Jalaluddin,Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor.Setelah itu,majlis diteruskan lagi dengan Ceramah Maulidur Rasul yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ariff Bin Haron.Mantan YDP BKPJM 2015/2016 ini telah menyampaikan ceramah dengan tajuk “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah “ yang bertepatan dengan tema Maulidur Rasul peringkat kebangsaan bagi tahun 1438H.Antara isi ceramah beliau adalah dengan menyebutkan tentang akhlak Rasulullah SAW dalam perjuangan yang sentiasa sabar dalam menghadapi mehnah dan ujian.Baginda meminta pertolongan dan hanya bergantung harap semata-mata kepada Allah SWT.

Alhamdulillah,majlis telah berakhir pada sekitar jam 9 malam dengan sedikit jamuan yang disediakan.Semoga program ini dapat melahirkan generasi khairul ummah yang mampu untuk meneruskan perjuangan Nabi Muhammad SAW dan menjadikan beliau sebagai uswatun hasanah dalam menjalani kehidupan seharian.-Wartawan BKPJM-

“ KEBERSAMAAN MENGKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Friday, December 16, 2016

BERITA HEWI : JAULAH SEKITAR TAMAN-TAMAN SYURGA PARA AULIYA’



Disediakan Oleh : Ustazah Solihah Binti Rosli
(Unit Sambutan dan Rehlah,Lajnah Kebudayaan,Kesenian dan Sukan HEWI BKPJM 2016/2017)

KAHERAH, 14 DISEMBER 2016 – Unit Sambutan Dan Rehlah HEWI BKPJM 2016/2017 telah menganjurkan Jaulah Maqam Di Sekitar Kaherah pada hari Ahad, 11 Disember 2016 yang lalu dengan jayanya. Peserta yang turut serta bersama adalah seramai 37 orang siswi beserta 2 orang musyrif siswa.

Jaulah makam di sekitar Kaherah ini diadakan bersempena imtihan yang bakal menjelang tiba yang bertujuan untuk meneroka bumi Musa A.S dan bumi para Auliya’ ini.Di samping itu, jaulah ini bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah antara ahli BKPJM serta menghayati ibrah dan sirah para auliya’ terdahulu. Selain itu, ahli dapat memahami perjuangan para salafussoleh terutamanya kesungguhan para ulama’ dalam menuntut ilmu dan sekaligus mengingatkan kita bahawa kematian itu pasti dan hampir.

Perjalanan kami mengambil masa kira-kira 12 jam bermula pada jam 8.15 pagi dan tiba semula di APJ4 pada jam 8 malam.Makam pertama yang kami lawati adalah makam Syeikh Soleh Al-Jaafari dan perjalanan terakhir kami di Jabal Muqattam.Sebanyak 38 buah makam yang telah kami lawati, dan di setiap makam yang kami singgah telah diberi penerangan secara ringkas oleh Ustazah Hanisah Bin Abd Rani Dan Ustazah Siti Norfatihah Binti Mohamad Anuar.

Semua peserta dilihat puas dengan pengisian jaulah yang dianjurkan pada kali ini dan dilihat semakin bersemangat setelah mengetahui sejarah berkenaan kembara ilmu para Ulama’ terdahulu di perlembahan Nil ini.Semoga jaulah kali ini dapat memberi sedikit sebanyak manfaat buat peserta yang turut serta dalam menjayakannya. 

" MEMBENTUK GENERASI MITHALI "

Thursday, December 8, 2016

JALAN 1.0 Meribat Romantika Kekeluargaan



Kaherah, 28 November 2016 - Unit Bait Muslim (UBM) BKPJM dengan jayanya telah menganjurkan Jaulah Tarbawi Bait Muslim BKPJM (JALAN 1.0) pada hari Sabtu, 19 November 2016 yang lalu. Matlamat utama JALAN 1.0 ini antaranya adalah mengukuhkan Ukhuwah Islamiah di kalangan Para Mutazawwijin Johor di Mesir. Sebanyak 9 pasangan mutazawwijin daripada Kaherah hadir menjayakan JALAN 1.0.

Program dimulakan dengan slot perasmian yang bertempat di Rumah Ustaz Muhamad Zulhilmie bin Omar. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua BKPJM, Ustaz Muhammad Arif bin Hamzah. Seterusnya, peserta terus menuju ke Asfour, Shoubra Khimah sebagai destinasi pertama jaulah. Terdapat pelbagai produk daripada kristal yang dihasilkan di sana seperti lampu meja, lampu dinding, perhiasan rumah, dan perhiasan peribadi. Betapa indahnya ciptaan Allah SWT, daripada pasir yg berdebu dapat menghasilkan batu kristal yang cantik dan indah begemerlapan.

Kemudiannya, setelah selesai menunaikan solat fardu Zohor di Masjid Khazandarah peserta jaulah telah berpeluang untuk bertemu dengan Syeikh Muhammad Nur Masjid Tauhid bagi mendapatkan nasihat dan kalam tazkirah daripada beliau. Syeikh mengingatkan kepada peserta jaulah petikan petikan ayat Allah SWT daripada Surah Luqman ayat 12 hingga 19. Beliau mengingatkan kepada peserta agar meneguhkan taqwa kepada Allah SWT di samping membentuk akhlak mulia di dalam diri dan keluarga. Beliau juga menyebutkan bahawa sikap anak-anak lahir adalah celupan daripada sikap ibu bapanya sendiri. Bak kata peribahasa Melayu, "bagaimana acuan, begitulah kuihnya".

Peserta jaulah seterusnya menuju ke Rumah Ustaz Yassaruddin bin Samsul bagi menikmati juadah makan tengahari dan istirehat. Peserta jaulah disajikan lagi dengan santapan rohani melalui Kisah Keluarga Yaaser yang disampaikan oleh Ustaz Yassaruddin bin Samsul. Menurut sejarah, keluarga Yaaser antara sahabat Nabi SAW yang menerima ujian berat dek kerana keislaman mereka. Pada sekitar jam 7 malam, semua peserta jaulah selamat kembali ke Kaherah. Semoga JALAN 1.0 kali ini dapat mencapai objektifnya dan memberikan manfaat kepada ummah hendaknya. -UBM BKPJM Disediakan Oleh : Unit Wartawan, Lajnah penerangan dan penerbitan BKPJM Sesi 16/17

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...