Sunday, January 29, 2017

SENARAI CADANGAN KITAB SEMPENA PESTA BUKU ANTARABANGSA MESIR 2017




Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir di bawah Unit Maktabah,Unit Kebajikan dan Kemanusiaan BKPJM 2016/2017 telah menyediakan senarai cadangan kitab untuk dibeli sempena Pesta Buku Antarabangsa Mesir yang sedang berlangsung pada 26 Januari sehingga 10 Februari 2017.

Sila muat turun link pdf senarai cadangan kitab :
Pdf Senarai Cadangan Kitab

PINDAAN AKTA RUU 355 :AGENDA MENONJOLKAN KEISTIMEWAAN SYARIAT ISLAM





Oleh :Farah Atiqah Binti Abdul Manan
Timbalan Unit Panitia Kecemerlangan Akademik Johor ( PAKAR ) BKPJM 2016/2017

Dan tidaklah harus bagi orang-orang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidak harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri, mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNnya maka sesungguhya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
(Al-Ahzab : 36)

Syeikh Muhammad al-Ghazali menyebut bahawasanya “Apabila kamu ingin memelihara kebenaran dan menentukan batas-batasnya, kamu sepatutnya terlebih dahulu mengetahui kebenaran itu dan pelbagai perkara yang berkaitan dengan kebenaran tersebut.Kamu mungkin menimbulkan persoalan kenapa perkara-perkara ini begitu penting? Kenapa tidak mengetahui pelbagai perkara yang berkaitan dengan sesuatu kebenaran itu akan merosakkan dan menimbulkan kefahaman yang salah mengenai kebenaran tersebut?.Jawabnya adalah ,”Pengetahuan yang sempurna pasti memiliki batas-batasnya.” Ada pepatah arab menyebutkan bahawa (yang bermaksud) :

‘Kejahilan adalah musuh kepada dirinya sendiri.’

Syeikh Amir Syakib Arsalan melalui bukunya : “Mengapa umat Islam mundur dan mengapa umat selainnya maju?Beliau menyebutkan faktor utama penyebab kemunduran ialah faktor kejahilan dalam kalangan umat Islam sehingga ada di antara mereka tidak dapat membezakan antara arak dan cuka.Natijahnya, orang jahil akan pasrah sahaja menerima permasalahan yang dikemukan tanpa mengetahui cara untuk menolaknya.

Mutakhir ini, kita sering dimomokkan dengan isu pindaan Akta 355 yang telah menjadi tanda Tanya dan bualan rakyat Malaysia. Adakah pindaan ini releven dilaksanakan di bawah kuasa perundangan Islam?

Justeru, sebagai orang Islam kita perlu mengambil sikap cakna serta meneliti berkaitan isu-isu yang berlaku  di sekeliling kita.Dewasa ini ketidakjelasan dan salah faham isu meyebabkan timbul lontaran idea yang tidak lagi berpijak kepada hakikat yang nyata. Kegagalan memahami isu hasil daripada salah faham ketika menerima maklumat berpunca daripada kehilangan adab dalam kalangan pencari kebenaran akibat cuba mendapatkan ilmu daripada orang yang bukan ahli dalam sesuatu bidang tersebut.

Apakah sebenarnya Akta RUU 355? Apa tujuan pindaan akta ini? Apa kesan kepada sistem perundangan negara? Siapa sahaja yang terlibat? dan banyak lagi persoalan yang bermain di fikiran kita. Justeru, penawar bagi penyakit  kejahilan ini ialah merujuk, bertanya dan berbincang kepada ahli bidang dan juga pihak yang memahami dengan baik akan cadangan pindaan akta ini. Kesan daripada  salahfaham dan kejahilan akan terus menyebabkan keharmonian serta kehidupan masyarakat setempat terjejas. Ini akan merencatkan sebuah kejayaan yang sepatutnya dimiliki bersama.Sebelum menjawab semua persoalan ini pentingnya kepada kita semua untuk keluar daripada kegelapan kejahilan berkenaan sistem perundangan ini dengan mengetahui keistimewaan Syariat Islam itu sendiri.

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, terdapat 7 keistimewaan Syariat Islam yang menjadikannya sentiasa relevan sepanjang masa di seluruh alam sejagat.
Antara 7 keistimewaan tersebut ialah :
1.    Rabbaniyyah (sifat bertuhan)
2.    Insaniyyah (kemanusiaan)
3.    Syumuliyyah (menyeluruh)
4.    Tawazun atau Wasatiyyah (seimbang)
5.    Waqieyyah (berpijak secara nyata)
6.    Wuduh (jelas)
7.    Thabat & Murunah (tetap dan anjal)

1. Rabbaniyyah (sifat bertuhan)

Rabbaniyyah yang dimaksudkan ialah Islam menjadikan tujuan akhir dan sasarannya jauh kedepan iaitu menjaga hubungan dengan Allah S.W.T dan meraih redhaNya kerana hakikat hidup di mata orang yang bodoh hanyalah untuk makan dan bersenang lenang di atas muka bumi ini tetapi bagi orang yang beriman dan berfikir itu hakikat kehidupan yang sebenar hanyalah untuk beribadah kepada penciptanya. Maka, buah daripada redha Allah itu akan menjadikan hamba itu pada fitrahnya. Fitrah iman yang merupakan sebuah kekayaan yang tidak ternilai. Mampu untuk hidup damai dan tenteram dengan ketenangan jiwanya di atas muka bumi ini.

2. Insaniyyah (kemanusiaan)

Bagi orang-orang yang mempelajari Islam akan tampak jelas kepadanya bahawa Islam itu sangat mementingkan aspek kemanusiaan dalam kehidupan manusia sehari-hari. Syariat Islam itu meliputi aspek-aspek kemanusian yang sangat luas baik dari aspek pembangunan syakhsiyah (keperibadian diri), muamalat (pergaulan), perundangan jenayah dan banyak lagi. Bahkan jika diperhatikan daripada 5 rukun Islam itu sahaja sudahpun meliputi aspek kemanusiaan. Sebagai contoh,Islam mewajibkan zakat sebagai sebuah sistem takaful sesama manusia yang mampu membebaskan manusia daripada kefakiran.

3. Syumuliyyah (menyeluruh)

Sungguh telah terbukti bahawa Islam itu bersifat sangat menyeluruh dan universal. Salah satu buktinya yang paling agung adalah Al-Quran. Al-Quran yang terpelihara sehingga kini biarpun usianya telah melampaui lebih 1400 tahun sejak diutuskan melalui baginda Rasulullah Muhammad S.A.W. Risalah yang dibawa bukan sahaja relevan sepanjang zaman di seluruh pelusuk alam bahkan relevan terhadap seluruh kehidupan tanpa mengenal batasan. Ketahuilah bahawa Islam itu negara dan tanah air, kerajaan dan rakyat. Islam itu akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan. Islam itu pengetahuan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman. Islam itu benda dan harta, pendapatan dan kekayaan. Islam itu jihad dan dakwah, tentera dan gagasan. Islam itu akidah yang sejahtera, ibadah yang betul.

4. Tawazun atau Wasatiyyah (seimbang)

Keseimbangan dalam Islam yang dimaksudkan ialah seimbang antara dua arah yang bertentangan di mana salah satu dari dua arah tersebut tidak mampu berpengaruh dengan sendirinya dan mengabaikan yang lain. Seimbang dengan maksud sesuatu itu tidak mampu untuk melampaui atau mengambil hak sesuatu yang lain. Sebagai contoh, Islam itu menuntut ibadah sebagai ruhiyyah tetapi Islam juga menuntut kerja sebagai maddiyah. Islam menuntut ibadah bersifat individu dan Islam juga menuntut untuk bernegara. Natijahnya, Islam itu menjadi adil dengan sifat wasatiyyah ini.


5. Waqieyyah (berpijak secara nyata)

Waqieyyah yang dimaksudkan oleh Islam ialah mengakui realiti alam sebagai suatu hakikat yang terjadi secara fakta dan mempunyai jisim atau sifat yang terlihat oleh pancaindera. Hakikatnya Islam melihat daripada sudut yang jauh lebih besar. Wujud yang abadi, lebih jauh daripada sekadar wujudnya alam ini. Waqieyyah Islam itu apabila setiap sesuatu itu dapat diterima oleh akal, membawa ketenangan jiwa dan tidak bertentangan dengan fitrah salimah. Islam mengajak beriman kepada Allah dengan menampakkan dalil-dalil kewujudan-Nya. Islam mengajak beriman kepada Rasul dengan menyempurnakan akhlak Rasulullah S.A.W dan mengurniakan mukjizat sebagai bukti kerasulan.

6. Wuduh (jelas)

Islam itu sangat jelas ajarannya dah tiada padanya keraguan sama sekali. Setiap sesuatu dihadirkan bersamanya dalil dan hikmah. Bahkan jelas Islam itu dibuktikan secara saintifik bagi saintis yang cuba menafikannya. Jelasnya Islam itu dibuktikan dengan syair dan kata-kata indah bagi penyair yang cuba mencabarnya. Jelasnya Islam itu dibuktikan dengan falsafah yang nyata bagi ahli falsafah yang cuba mendustakannya.

7. Thabat & Murunah (tetap dan anjal)

Islam itu tetap tetapi anjal. Hukum solat itu wajib tetapi gugur kewajipannya kepada wanita haid. Syarat sahnya solat zohor itu ialah didirikan dengan 4 rakaat tetapi diberikan rukhsah (keringanan) bagi musafir kepada 2 rakaat sahaja. Bangkai itu haram tetapi diharuskan untuk makan ketika dalam keadaan darurat.

Oleh itu, Ingatlah bahawa sebarang tindakan kita pada hari ini akan menjadi sejarah yang pasti dibaca dan diteliti oleh generasi kita akan datang. Dengan kedudukan Islam yang begitu tinggi dan terserlah ini, sudah tentu tiada sebab untuk Syariah Islam tidak dapat dilaksanakan atau sekurang-kurangnya diperkasakan dalam konteks perundangan yang sedia ada. Sesungguhnya Syariat Islam tidak menuntut kepada seorang hamba untuk melaksanakan kewajipan yang diluar kemampuan.Syariat Islam juga tidak memberikan bebanan kepada seseorang hamba melebihi kemampuannya. Namun, semua ini adalah merupakan sifat dasar Syariat Islam  yang Syumul yang dapat ditegakkan dan salah satu caranya dengan mempunyai sistem mahkamah dan kehakiman yang kukuh dan mantap.

Akhir kalam,saya meyeru kepada seluruh mahasiswa dan umat Islam agar melihat  kepada maslahat untuk membina sebuah negara yang maju dan berdaya saing.Sudah menjadi tuntutan utama kepada kita semua menyokong pindaan Akta 355. Semoga dengan kewujudan perundangan ini, Allah Taala memelihara negara yang kita cintai dengan menatijahkan  Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.Amin. Wa Allahu A’lam.

“Kebersamaan Mengukuh Kesatuan”

“Membentuk Generasi Mithali”

Monday, January 23, 2017

PERMOHONAN BANTUAN DERMASISWA/PINJAMAN PELAJARAN MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR SESI 2017

Sukacita dimaklumkan bahawa pihak MAIJ telah membuka permohonan bantuan dermasiswa(zakat) kepada mahasiswa pengajian Islam dan bantuan Qard Al-Hasan kepada mahasiswa Sains Kesihatan di Mesir.Berikut merupakan cara-cara untuk membuat permohonan:

CARA-CARA PERMOHONAN

1. Permohonan hendaklah di buat menggunakan Borang Bantuan Pelajaran yang boleh di dapati melalui laman www.maij.gov.my atau di alamat :



Majlis Agama Islam Negeri Johor
Tingkat 5,Blok B,Pusat Islam Iskandar,
Jalan Masjid Abu Bakar,
80000 Johor Bahru,Johor.

2. Bagi permohonan pelajar yang berada di luar negara seperti Mesir dan Jordan boleh dibuat melalui Atase Pendidikan Johor di Mesir dan Badan Kebajkan Johor Jordan.

3. Semua permohonan hendaklah disertakan dengan :
3.1. Sekeping gambar berukuran passport
3.2. Salinan kad pengenalan pelajar
3.3. Salinan kad pengenalan ibu bapa/ penjaga.
3.4. Salinan slip gaji atau pengesahan pendapatan ibu bapa/penjaga.
3.5. Surat tawaran pengajian universiti.
3.6. Salinan keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM).
3.7. Salinan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.
3.8. Sijil -sijil keputusan peperiksaan yang disahkan.
3.9. Pengesahan tahun pengajian oleh Atase Pendidikan Johor di Mesir atau Pejabat Education Malaysia Jordan.

4. Borang yang telah lengkap boleh dihantar ke :

4.1. Ibu Pejabat Majlis Agama Islam Negeri Johor atau daerah.
       Majlis Agama Islam Negeri Johor
       Tingkat 5,Blok B,Pusat Islam Iskandar,
       Jalan Masjid Abu Bakar,
       80000 Johor Bahru,Johor.

4.2. Pejabat Atase Pendidikan Johor di Mesir
       Johor Student's Hostel Raba'ah,
       No 53 Dr Mohamed Mandur Street,El Hayyu El Awwal,
       Madinat Nasr,Cairo,
       Arab Republic of Egypt.

4.3. Wakil Badan Kebajikan Pelajar Johor Jordan (BKPJJ).

5. Permohonan hendaklah dihantar ke Majlis Agama Islam Negeri Johor sebelum 31 Januari 2017.

6. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Agihan Zakat (Unit Dermasiswa dan Pinjaman Pelajaran Majlis Agama Islam Negeri Johor di talian 07-2282935 07-2282999 07-2282929 07-2282937.

Berikut turut disediakan link untuk bacaan lebih lanjut berkaitan cara permohonan :

Permohonan Bantuan



PROSEDUR PERMOHONAN DERMASISWA DI MESIR

1) Muat turun (download) borang pada link di bawah yang telah disediakan :
2) Cetak (print) dan lengkapkan borang permohonan.
3) Hantar kepada pegawai Majlis Agama Islam (MAIJ) di Mesir,Ust Adam Bin Ibrahim di Pejabat Atase Pendidikan Negeri Johor,Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Tarikh Tutup Permohonan : 15 Februari 2017

Sebarang pertanyaan boleh merujuk terus ke Pejabat Atase Pendidikan Negeri Johor di Asrama Pelajar Johor Rabaah atau hubungi :
Ustaz Adam Bin Ibrahim
(+201158579933)

"Kebersamaan Mengukuh Kesatuan"

"Membentuk Generasi Mithali "

Tuesday, January 17, 2017

KRONOLOGI SEJARAH HITAM PEJABAT BKPJM DIPECAH MASUK



18 November 2015 (RABU)
- YDP bersama SUA Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir (BKPJM) bertemu En. Khairi Bin Jalalluddin bagi membincangkan beberapa masalah yang berlaku di kalangan anak Johor.
- Di akhir pertemuan, En. Khairi Bin Jalalluddin memberi memo berkaitan arahan pengosongan pejabat BKPJM di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin (APJ8) dan Kedai Al-Jauhar di Asrama Pelajar Johor Rabaah (APJ4). Memo tersebut dikeluarkan TANPA sebarang perbincangan diantara kedua-dua pihak.
- En. Khairi Bin Jalalluddin menyebarkan memo tersebut kepada umum melalui media.
21 November 2015 (SABTU)
- Rentetan memo yang tersebar, YDP BKPJM mengeluarkan kenyataan bagi menerangkan isu yang berlaku.
 - YDP BKPJM menyatakan bahawa memo yang di keluarkan oleh pihak pegawai tidak mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Hal ini kerana TIADA sebarang perbincangan lumat diadakan sehingga menatijahkan keputusan sebagaimana yang tertulis dalam memo tersebut.
23 November 2015 (ISNIN)
- BKPJM sekali lagi mengadakan pertemuan bersama Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor yang diwakili oleh YDP, SUA dan Mantan YDP BKPJM sesi 2014/2015.
- Pertemuan diadakan bagi menghantar surat bantahan dan membincangkan semula masalah berkaitan memo yang dikeluarkan.
- Namun TIADA sebarang keputusan yang dicapai melalui pertemuan tersebut.
27 November 2015 (JUMAAT)
- Penerangan isu Johor di Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) Selangor.
3 Disember 2015 (KHAMIS)
- Penerangan isu Johor di BKAN Kelantan dan BKAN Perak.
21 Disember 2015 (ISNIN)
- Penerangan isu Johor di BKAN Terengganu.
***Sepanjang tempoh ini, pihak BKPJM tidak menerima sebarang maklum balas mahupun panggilan perbincangan berkaitan memo tersebut. Oleh itu, AJKT BKPJM bersepakat untuk terus mempertahankan hak Pejabat Rasmi BKPJM di APJ8 berdasarkan sejarah serta bukti kewujudan BKPJM menguruskan APJ dan kebajikan anak-anak Johor di Mesir yang telah bertapak sejak tahun 1970 di bumi Mesir ini. Hal ini mendapat sokongan dan dokongan ramai yang terdiri dari pelbagai pihak.
18 Januari 2016 (ISNIN)
Sekitar Jam 9.00 - 11.00 pagi
- Pejabat Rasmi BKPJM yang bertempat di APJ8 telah dipecah masuk oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
 - Kesemua aset dan barang hak milik BKPJM telah dipunggah keluar daripada pejabat rasmi dan dihantar ke APJ4 tanpa sebarang pemakluman kepada YDP BKPJM.
12.30 pagi
- Seorang penghuni APJ8 memaklumkan kejadian tersebut kepada salah seorang AJKT BKPJM.
- Setelah mendapat makluman, AJKT tersebut segera memaklumkan perkara berkenaan kepada YDP BKPJM dan terus bergerak menuju ke tempat kejadian.
 - Malangnya ketika tiba disana, proses pengeluaran aset milik BKPJM telah pun selesai dan pintu dewan APJ8 telah ditutup dan dikunci oleh pihak Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor.
- Kesemua aset tersebut dipindahkan dan diletakkan di luar APJ4 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab berkenaan.
- Pada masa yang sama, setelah menerima laporan kejadian berkenaan, Penasihat BKPJM, Ustaz Mohd Helmi bin Nor Isham berusaha menghubungi Encik Khairi Bin Jalaluddin setelah panggilan daripada YDP BKPJM tidak dijawab. Panggilan tersebut dijawab dan Encik Khairi mengakui bahawa beliau bertanggungjawab mengarahkan tindakan tersebut.
1.00 petang
 - Orang ramai yang terdiri daripada para pendokong dan penyokong BKPJM mula bergerak dan memenuhi ruang APJ4 bagi melihat sendiri dan mendapatkan maklumat berkaitan kejadian yang berlaku.
1.30 petang
- Wakil BKPJM segera menemui Penolong Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor, Ustaz Adam Bin Ibrahim bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kejadian. - Beliau meminta agar perkara ini dirujuk terus kepada Encik Khairi Bin Jalalluddin.
- Setelah gagal mendapatkan penjelasan, wakil BKPJM memohon kebenaran daripada Ustaz Adam Bin Ibrahim untuk meletakkan aset-aset BKPJM berkenaan di dalam APJ4. Alhamdulillah, permohonan tersebut diluluskan oleh Ustaz Adam Bin Ibrahim.
 - Setelah dikenal pasti, terdapat beberapa kerosakan pada aset milik BKPJM selepas proses perpindahan yang dilakukan oleh warga Arab yang diupah. Malah terdapat juga beberapa aset BKPJM yang hilang.
3.00 petang
 - Orang ramai telah memenuhi perkarangan APJ4.
- Pimpinan BKPJM telah mengumpulkan semua hadirin yang hadir bagi memaklumkan kejadian berkenaan dan meminta agar semua ahli bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada pimpinan BKPJM bagi menyelesaikan isu yang berlaku.
3.51 petang
- Kenyataan YDP BKPJM dikeluarkan bagi memaklumkan kejadian yang berlaku dan menyeru ahli untuk bertenang serta menyerahkan kepercayaan kepada pimpinan BKPJM bagi menyelesaikan masalah yang berlaku.
 - YDP BKPJM juga meminta ahli untuk bersama bermunajat bagi memohon bantuan daripada Allah S.W.T.
5.30 malam
- BKPJM telah mengadakan Munajat Perdana dan penerangan isu pecah masuk pejabat BKPJM kepada mahasiswa/wi Malaysia di bumi Mesir. Majlis ini diadakan di APJ4.
- YDP BKPJM masih gagal menghubungi En. Khairi Bin Jalalluddin bagi mendapatkan penjelasan.
- BKPJM berjaya mengumpulkan sebanyak 288 tandatangan hadirin yang hadir menyatakan bantahan terhadap tindakan En. Khairi Bin Jalalluddin semasa majlis penerangan isu tersebut.
19 JANUARI 2016 (SELASA)
9.00 pagi
- BKPJM merupakan badan yang bernaung di bawah Kedutaan Besar Malaysia Ke Republik Arab Mesir. Oleh itu, Setiausaha Agung BKPJM, Ustaz Ahmad Helmi Bin Subhan menghubungi TYT Duta untuk membuat aduan serta melaporkan permasalahan yang berlaku.
-SUA BKPJM juga memohon untuk membuat perjumpaan pada 20 atau 21 Januari 2016 bersama TYT Duta bagi membincangkan perkara yang telah berlaku.
- Namun permohonan tersebut gagal, kerana TYT Duta terlibat dengan urusan lain pada tarikh tersebut.
2.30 petang
 - YDP BKPJM sekali lagi menghubungi TYT Duta bagi menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan agar masalah ini dapat di selesaikan secepat mungkin.
 - TYT Duta bersetuju untuk mengadakan pertemuan, akan tetapi YDP di minta untuk menghubungi ASP Hashim bagi menetapkan tarikh.
5.30 malam
- Munajat BKPJM di teruskan lagi bagi hari yang kedua (Solat Sunat Hajat, bacaan Hizib Bahar dan bacaan Yassin).
6.00 malam
- ASP Hashim menghubungi YDP BKPJM dan memaklumkan bahawa Encik Khairi Bin Jalalluddin akan memulangkan peti besi dan aset BKPJM yang diambil.
- ASP Hashim juga memaklumkan bahawa TYT Duta bersedia untuk bertemu dengan pihak BKPJM.
8.00 malam
- YDP BKPJM bersama penasihat BKPJM, Ustaz Mohd Helmi bin Nor Isham dan beberapa AJKT BKPJM bergerak ke APJ8 untuk bertemu dengan En. Khairi Bin Jalaluddin bagi mendapatkan semula peti besi serta aset BKPJM yang diambil.
9.00 malam
 - Dalam pertemuan tersebut, YDP BKPJM dan penasihat BKPJM cuba mendapatkan penjelasan daripada En. Khairi Bin Jalalluddin tetapi gagal. Sebaliknya beliau hanya berdiam diri dan menyatakan bahawa sebarang penjelasan akan diberikan semasa pertemuan bersama TYT Duta.
 - Peti besi dan barang-barang yang di simpan di Pejabat Atase Pendidkan Negeri Johor di APJ8 dikembalikan semula kepada BKPJM dan terus dibawa pulang ke APJ4.
20 JANUARI 2016 (RABU)
Jam 8.13 pagi
 - BKPJM melancarkan “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” melalui Ustaz Fathurrahman bin Mohd Saleh selaku Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM.
2.23 petang
- BKPJM mengeluarkan “Kenyataan Kerugian BKPJM Akibat Salah Laku Pihak Yang Tidak Bertanggungjawab” melalui Bendahari BKPJM, Ustaz Muhammad Syaker Naim Bin Aris.
 - Taksiran awal kerugian BKPJM dianggarkan sekitar LE 3000.
 - BKPJM juga menyeru kepada pihak berkenaan agar bertanggungjawab.
5.30 malam
 - “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 3.
 - Penyokong BKPJM dari negeri lain turut hadir bersama bermunajat di APJ4.
8.58 malam
- YDP BKPJM menghubungi ASP Hashim bagi menetapkan tarikh dan waktu pertemuan dengan TYT Duta.
 - Tarikh yang dicadangkan adalah pada 26 atau 27 Januari 2016.
11.33 malam
- Kenyataan ke dua daripada YDP BKPJM dikeluarkan.
- Isi kandungan kenyataan :
1. Menasihati semua agar tidak bertindak melulu dan menjaga adab serta tatasusila selaku mahasiswa Islam.
2. Makluman kepada semua berkenaan pertemuan YDP BKPJM bersama En. Khairi Bin Jalalluddin bagi mendapatkan semula aset BKPJM yang diambil.
3. Makluman kepada ahli berkaitan kerjasama baik pihak kedutaan bagi menyelesaikan masalah ini. BKPJM juga mengharapkan tindakan segera dan professional oleh pihak kedutaan.
4. Penghargaan buat semua penyokong dan pendokong BKPJM yang bersama bersatu memelihara kesatuan ini.
21 Januari 2016 (KHAMIS)
5.30 malam
- “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 4.
- Penyokong BKPJM dari negeri lain masih turut hadir bersama bermunajat di APJ4.
8.06 malam
- ASP Hashim memaklumkan perubahan tarikh pertemuan TYT Duta bersama BKPJM kepada 28 Januari 2016.
22 Januari 2016 (JUMAAT)
5.30 malam
- “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 5.
- Penyokong BKPJM dari negeri lain masih turut hadir bersama bermunajat di APJ4.
23 Januari 2016 (SABTU)
5.30 malam
- “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 6.
 - Penyokong BKPJM dari negeri lain masih turut hadir bersama bermunajat di APJ4.
24 Januari 2016 (AHAD)
2.57 petang
- YDP BKPJM menghubungi ASP Hashim bagi mendapatkan butiran pertemuan bersama TYT Duta.
- ASP Hashim memaklumkan butiran pertemuan tersebut iaitu pada 28 Januari 2016 jam 2.40 petang bertempat di Bangunan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.
5.30 malam
- “Kempen Munajat Selamatkan BKPJM” diteruskan lagi bagi hari yang ke 7.
 - Penyokong BKPJM dari negeri lain masih turut hadir bersama bermunajat di APJ4.
25 Januari 2016 (ISNIN)
8.03 pagi
- Satu kenyataan dari BKPJM berkaitan “ KRONOLOGI SEJARAH HITAM “PECAH MASUK PEJABAT BKPJM” OLEH PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB “ yang dikeluarkan oleh Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPJM
26 Januari 2016 (SELASA)
11.04 pagi
- Penerangan isu pecah masuk pejabat di muhafazah, Mansurah.
28 Januari 2016 (KHAMIS)
2.00 petang
- Barisan pimpinan AJKT dan Hewi mula bergerak ke Muhandisin untuk bertemu dengan TYT Duta.
6.30 malam
- Selesai pertemuan bersama TYT Duta di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.
29 Januari 2016 (JUMAAT)
3.00 petang
- Satu kenyataan Rasmi YDP BKPJM menyatakan “ PENGISTIHARAN : BKPJM MENGEMBALIKAN SEMULA HAK PEJABAT RASMI BKPJM KE ASRAMA PELAJAR JOHOR HAYYU THAMIN “.
4.18 petang
- Satu wallpaper “ MUNAJAT PERDANA & PENERANGAN ISU BKPJM “ telah dikeluarkan oleh Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPJM.
5.00 petang
- Semua barang selamat dimasukkan ke dalam pejabat BKPJM
7.36 malam
- Sesi penerangan isu BKPJM di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin yang disampaikan oleh Setiausaha Agung BKPJM, Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan.
1 Februari 2016 ( ISNIN )
8.00 pagi 
 - Satu kenyataan YDP “ Perpindahan Semula Barang dan Aset BKPJM ke Asrama Pelajar Johor Rabaah “
9.00 pagi
 - Barang dan aset BKPJM dipindahkan ke APJ 4
11.00 pagi
 - Selesai perpindahan barang dan aset BKPJM di APJ 4
25 Februari 2016
2.27 petang
 - Serahan Memorandum Bantahan kepada Prof. Madya Dr Mohd Radhi bin Ibrahim di Mohandisin, Kaherah.

“KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“MEMBENTUK GENERASI MITHALI”

Sunday, January 15, 2017

KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI DI MESIR


KENYATAAN BERSAMA YANG DIPERTUA BADAN KEBAJIKAN ANAK NEGERI DI MESIR
HENTIKAN PERSEPSI NEGATIF TERHADAP SEKOLAH AGAMA

1) Islam adalah agama yang mementingkan keharmonian dan keamanan manusia sejagat. Islam bukanlah agama yang melampaui batas bahkan ia melengkapi fitrah manusia serta sesuai dianuti untuk kebaikan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Surah Ar-Rum : 30)
2) Di dalam segenap aspek kehidupan manusia, Islam mementingkan aspek ilmu pendidikan yang menjadi tunjang penting di dalam pembangunan sesebuah negara. Oleh itu, sejak dahulu lagi, negara kita telah banyak terbina institusi-intitusi pendidikan yang berteraskan agama Islam yang menjadi salah satu institusi pilihan bagi rakyat Malaysia khususnya bagi yang beragama Islam.
3) Institusi pendidikan agama seperti pondok, madrasah, sekolah agama rakyat dan berbagai lagi telahpun melahirkan ramai tokoh-tokoh yang berwibawa yang banyak berjasa kepada negara. Jangan kita lupa kepada jasa pejuang-pejuang kemerdekaan kita yang merupakan pelajar pondok dan madrasah ini. Lihatlah bagaimana ketokohan mereka seperti Tok Janggut, Tok Kenali, Hj. Abdul Rahman Limbong, Dr. Burhanudin Al-Helmy dan ramai lagi pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita hasil daripada institusi pendidikan agama ini.
4) Justeru, institusi pendidikan agama ini tidak boleh sama sekali dipandang enteng akan kewibawaannya dan perlu dibersihkan segala tanggapan buruk yang boleh mewujudkan salah faham terhadap agama Islam.
5) Oleh demikian itu, kami sebagai Yang Dipertua-yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir (BKAN) mewakili seluruh mahasiswa Islam di Mesir menyatakan kekesalan terhadap kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, baru-baru ini supaya mengkaji semula dasar sekolah agama bantuan kerajaan. Sila rujuk kenyataan beliau pada link http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/12/gerakan-kaji-semula-dasar-sekolah-agama-bantuan-kerajaan/
6) Tanggapan yang dibuat terhadap institusi pendidikan agama ini hakikatnya merupakan satu fakta yang tidak benar dan berunsur hasutan yang mana boleh menimbulkan persepsi buruk sesama rakyat sekaligus mampu memecah belahkan perpaduan.
7) Jika kita meneliti dasar pendidikan di sekolah agama di negara kita ini, ia sama sekali tidak pernah menyeleweng daripada dasar kefahaman Islam yang sebenar bahkan selari dengan apa yang disusun oleh pihak kerajaan.
8) Justeru itu, kami juga menggesa agar beliau menarik balik kenyataan tersebut supaya ia tidak menimbulkan persepsi negatif khususnya terhadap institusi pendidikan agama bahkan kepada agama Islam itu sendiri yang mana merupakan agama persekutuan menurut perlembagaan Malaysia, dalam perkara 3 (1).
9) Kami mengharapkan kepada seluruh rakyat dalam setiap lapisan masyarakat tidak kira agama dan bangsa agar menjaga keharmonian dan keamanan negara tanpa menimbulkan persepsi dan tanggapan negatif yang boleh membawa kepada perpecahan. Kami menyarankan agar kita semua dapat mempertingkatkan kefahaman terhadap Islam dan beramal dengannya sekaligus menjadi mukmin yang sejati.

“Muafakat Asas Kejayaan”

Yang Benar,
Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri di Mesir
14 Januari 2017

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...