Friday, September 29, 2017

MAKLUMAN | Direktori Ahli Jawatankuasa Tadbir dan AJK Hal Ehwal Wanita Islam BKPJM Sesi 17/18

Berikut merupakan direktori bagi Ahli Jawatankuasa Tadbir BKPJM dan AJK Hal Ehwal Wanita Islam Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir sesi 2017/2018.


Thursday, September 28, 2017

DELEGASI KERAJAAN JOHOR SERIKAN IKHTITAM HEWI BKPJM


OLEH : SYAHIDAH ABD HADI
SETIAUSAHA IKHTITAM HEWI BKPJM 2016/2017

24 September 2017 – Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) BKPJM 2016/2017 telah menganjurkan satu program yang diberi nama Ikhtitam HEWI pada hari Selasa 16 September 2017 bertempat di Asrama Pelajar Johor Rabaah. Objektif program ini dilaksanakan ialah  membentangkan laporan gerak kerja Tahunan Kepimpinan BKPJM 2016/2017.

Selain itu, program memberi peluang kepada ahli dalam menyuarakan pendapat, pandangan ,idea, komen serta cadangan berkaitan gerak kerja HEWI BKPJM. Program ini juga dianjurkan bagi menentukan hala tuju HEWI BKPJM dan melantik saf kepimpinan baru BKPJM bagi sesi 2017/2018 serta mengeratkan ukhuwah Islamiah yang terjalin dalam kalangan ahli baik yang baru mahupun yang lama.

Istimewanya penganjuran Ikhtitam HEWI pada tahun ini ialah program disempurnakan oleh wakil Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) iaitu Pn. Hajah Khasanah Binti Sufaat selaku Ketua Penolong Pengarah Khidmat Pengurusan MAIJ. Turut hadir ialah YB Datuk Ayub Rahmat, Exco Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim. - Wartawan BKPJM


"  KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “
“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Saturday, September 23, 2017

[ SPR BKPJM 2017 ] PENGISYTIHARAN MEMBUKA 1 KERUSI BAGI AJKT DAN 1 KERUSI BAGI HEWI


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Saya Nik Mohammad Azahari bin Nik Salleh selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2017 (SPR BKPJM) bagi menguruskan proses pemilihan kepimpinan BKPJM bagi sesi 2017/2018 bersama pegawai-pegawai SPR BKPJM yang dilantik.

Berikutan usul yang diterima dan disepakati sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke-35 baru-baru ini dengan matan yang berbunyi :

" Meminda Undang-undang Tubuh BKPJM Bab 5, Fasal 19 (A) :

1. Ahli Jawatankuasa Tadbir badan dianggotai 10 orang kepada 11 orang.

2. Perkara ini juga akan meminda Fasal 22 (A) iaitu Hal Ehwal Wanita Islam dianggotai seorang Ketua HEWI dan 8 orang ahli jawatankuasa kepada 9 orang ahli jawatankuasa dan mana-mana fasal yang berkaitan".

Maka dengan ini SPR BKPJM membuka 1 hari pencalonan bagi 1 borang B (AJKT) dan 1 borang D (AJK HEWI).

Bilik gerakan SPR akan beroperasi pada 24 September 2017 dari jam 10.00 pagi sehingga jam 12.00 tengahari bagi proses pencalonan dan 25 September 2017 bagi proses bantahan calon pula dibuka bermula jam 12.00 tengahari hari sehingga jam 2.00 petang.

Bilik gerakan SPR BKPJM bertempat di Bait Mustofa untuk pencalonan Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Bait Hasanah untuk pencalonan AJK HEWI bagi kepimpinan BKPJM sesi 2017/2018.

"BERSIH, TELUS, AMANAH"

.:: Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan ::.
.:: Kebersamaan Mengukuh Kesatuan ::.
.:: Membentuk Generasi Mithali ::.
.:: Kebajikan dan Perpaduan ::.

Monday, September 18, 2017

BKPJM GESA SEMUA PELAJAR MENINGKATKAN TAHAP KESELAMATAN DIRI


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد,

Firman Allah SWT melalui Surah At-Tahrim ayat 6 yang berbunyi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ - 66:6

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.


Mutakhir ini, dunia mahasiswa/wi Mesir digemparkan dengan isu keselamatan yang begitu membimbangkan. Ini rentetan kes penahanan beberapa mahasiswa/wi yang gagal memperbarui visa belajar di Mesir. Sehubungan dengan itu, pihak BKPJM menggesa dan menasihatkan kepada semua mahasiswa/wi agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan kerajaan Mesir.


Dalam menghadapi situasi yang getir ini pihak BKPJM telah menggariskan beberapa perkara penting dalam pekeliling keselamatan untuk panduan semua mahasiswa/wi di Mesir. Pekeliling keselamatan yang digariskan tersebut adalah seperti berikut :

1.  1)  Patuhi pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Pejabat Atase Pendidikan Negeri.

2.    2)     Pastikan visa hidup dan sentiasa diperbaharui sebaik tamat tempoh.

3.    3)   Menghadkan pergerakan jika visa anda tamat tempoh.

4.    4)   Pastikan bawa bersama pasport dan kad pelajar ketika keluar rumah.
5.    Elakkan bergerak secara bersendirian.

6. 5) Jika memandu kenderaan, pastikan anda memiliki lesen memandu dan cukai jalan kenderaan yang sah.

7.    6) Tidak keluar rumah pada waktu malam kecuali kecemasan dan urusan mustahak.

8. 7) Jika berlaku sebarang permasalahan sila dapatkan bantuan dengan segera dengan menghubungi Pegawai Atase Pendidikan Negeri Johor, YDP BKPJM dan Ketua Jabatan Hisbah BKPJM.

Pihak BKPJM juga ada mengeluarkan pekeliling keselamatan (am), pekeliling keselamatan (demonstrasi) dan langkah-langkah keselamatan sebelum keluar rumah dan memandu atau menunggang kenderaan. Oleh itu, saya selaku YDP BKPJM sesi 16/17 berharap agar semua mahasiswa/wi Johor khususnya dapat mematuhi pekeliling keselamatan yang telah dikeluarkan demi kesejahteraan bersama.

Sekian. Terima kasih.

Hormat dari saya

Muhammad Arif Bin Hamzah
Yang di-Pertua

Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 16/17

Saturday, September 16, 2017

ISLAM SEBAGAI PENYUNTIK SEMANGAT KEMERDEKAAN


OLEH : AIZAT BIN SHAHADAN
UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN BKPJM 16/17

Islam merupakan agama yang bersifat syumul, merentangi seluruh dimensi kehidupan sama ada politik, sosial, ekonomi dan ianya telah diterjemahkan secara praktis di zaman Rasulullah S.a.w dan kerajaan islam selepas kewafatannya.

Dalam Islam, peperangan mempunyai motif yang bertepatan dengan kehendak syarak. Misi utama peperangan adalah meruntuhkan kekufuran yang melata di atas muka bumi, menentang kesyirikan dan menegakkan tauhid sebagaimana firman Allah yang bermaksud  : “ Dan perangilah mereka itu sehingga tiada ada fitnah dan sehingga agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada lagi permusuhan melainkan  terhadap orang-orag islam.” (Surah al Baqarah :193).

Sesungguhnya bukanlah matlamat peperangan  dalam Islam untuk memaksa penganut agama lain untuk beriman dengan Islam sebagaimana yang dituduh oleh golongan orentalis yang mengatakan Islam tersebar dengan mata pedang.


Matlamat peperangan ini adalah untuk meruntuhkan jahiliyah yang merantai pemikiran dan kehidupan manusia dan Islam memberi kewajaran untuk berperang sekirannya musuh Islam menyerang dan cuba menguasai umat Islam apatah lagi musuh yang cuba memalingkan aqidah umat Islam sebagaimana matlamat penjajahan barat. Allah berfriman yang bermaksud: “ Dan perangilah kerana menegakkan dan mempertahankan  agama Allah swt akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah swt tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh”  (Surah Al Baqarah :190)

Tambahan pula, adakah kita lupa dengan sejarah silam atas perilaku penjajah dengan segala pakej kezaliman dengan menindas umat Islam seperti mengenakan cukai yang tinggi, memperhambakan umat Islam seperti di negara Afrika, Asia barat dan Nusantara, memijak syariat Islam yang membahagikan bumi umat Islam ssesuka hati mereka. Dalam kontek peperangan, konsep jihad dan mati syahid telah menjadi motivasi yang besar kepada umat islam, malah disyairkan seperti kes di bumi Acheh sehingga anak-anak kecil membesar dengan kecintaan kemuliaan mati syahid. Mati syahid ialah gambaran sebaik-baik kematian iaitu para shuhada akan diampunkan dosanya, dapat memasuki syurga tanpa hisab, dapat memberi shafaat kepada 70 orang yang lain, dapat terbang ke mana-mana di dalam syurga, mereka tidak merasa sakit semasa ruh keluar dari jasad. Ulama-ulama yang mengarang kitab berkaitan dengan jihad ada juga sentiasa  menekankan soal kemuliaan dan kelebihan mati syahid.

Allah tujuan kami      

Rasulullah tauladan kami

Al Qur’an penuntun kami

Jihad jalan kami

Syahid cita-cita kami tertinggi

Itu adalah lima lafaz kaum muslimin yang perlu kita segarkan kembali. Banyak orang yang ragu-ragu atau tidak berani mengaplikasikannya. Hanya menjadi muslim yang duduk melihat kezaliman berlaku di depan mata dan tidak bersuara apabila berlaku hak dan batil, bahkan bukan menjadi muslim yang mendokong pejuangan Islam.

Kesimpulannya,jika semua itu dapat kita terapkan dalam kehidupan, Insya-Allah kematian terindah bakal menjemput kita pada saat kita menjadi hamba Allah yang beriman dan menegakkan agama Islam seterusnya terlaksanalah cita-cita tinggi yang kita idamkan selama ini untuk bergelar syahid.

Marilah kita bersama pasakkan niat seluruh aktiviti seperti belajar,berpersatuan,muzakarah berkelompok, bekerja, dan seumpamanya sebagai gerak kerja Islam.Wa Allahu A'lam.

Friday, September 15, 2017

GEMPA DI RABAAH



KAHERAH, 6 september 2017 – 3 September 2017 – Asrama Pelajar Johor Rabaah ibarat dilanda gempa dengan kehadiran tetamu jemputan yang sangat memberansangkan di Majlis Rumah Terbuka SAIED’17 anjuran BKPJM. Seramai lebih 400 orang anak Johor dan para tetamu yang hadir memeriahkan suasana majlis. Majlis yang bermula pada jam 2 petang dan berakhir pada jam 6 petang itu tidak putus-putus menerima kehadiran tetamu majlis dibuka. Rumah Terbuka SAIED ’17 turut menerima kehadiran tetamu dan anak-anak Johor yang berada di muhazafazah antaranya Zagazig, Mansurah, Iskandariah, Tanta serta dari Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) lain.


Seorang anak Johor yang ditemui berkata "Tahniah BKPJM. Alhamdulillah, ramai yang hadir. Kawan-kawan yang jarang dapat jumpa dah bertemu semula. Makanan pun sedap. Semoga BKPJM terus utuh menaungi anak-anak Johor di Mesir." - Wartawan BKPJM.




BKPJM BERPERANAN SEBAGAI MEDAN ILMU DAN AMAL


KAHERAH, 6 September 2017 – 1 September  2017, Wisma Nusantara menjadi saksi kepada “Ibrah Dihayati, Ukhuwah Terpatri”. Pada siri sambutan aidiladha kali ini, BKPJM memaknakan ibadah korban dengan menganjurkan program SAIED 17 dengan kerjasama Kembara Ilmu al-Kazimie (KIKM) dan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia Cawangan Johor (ILMAM). Lebih 40 ekor kambing berjaya ditumbangkan pada hari pertama penyembelihan dan seekor unta diselesaikan pada hari kedua program.


Sepanjang 2 hari program berlangsung, teori dan praktikal sembelihan dapat dipelajari seiring ketika program sembelihan berlangsung. Di samping itu, peserta juga berpeluang untuk mempelajari teknik melapah dan menguruskan daging dengan betul. Anak-anak Johor yang hadir juga dihidangkan dengan hidangan sup tulang kambing dan unta usai daging selesai diuruskan. Program ini melibatkan hampir 100 tenaga mahasiswa dan mahasiswi Johor yang bermula seawal jam 7.00 pagi.


Program yang dilangsungkan ini adalah bagi menjayakan objektif program dalam menyemai rasa sanggup berkorban dan meneladani sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Mengeratkan ukhuwah islamiah dalam kalangan anak-anak Johor di Mesir. Melatih anak-anak Johor dalam ilmu kemasyarakatan. Seterusnya menjadikan (BKPJM) sebagai medan ilmu dan amal. -Wartawan BKPJM.

140 KG DAGING KORBAN DIAGIHKAN



KAHERAH, 10 September - Sekurang-kurangnya 140 kg daging korban diagihkan kepada fakir miskin warga tempahan dan anak-anak Johor di sekitar Kaherah. Agihan dimulakan sejurus selepas daging siap ditimbang dan dibungkus pada setiap 2 hari sembelihan berlangsung.


Sebanyak 53 buah rumah anak-anak Johor di sekitar Kaherah menerima bahagian daging korban masing-masing. Kawasan agihan meliputi kawasan HayyuSabik, Hayyu Asyir, Hayyu Thamin, Rabaah el-Adawiyah, Abbasiyah, Darrasah dan Abdeen. Semua penerima yang menerima agihan daging tersebut mengucapkan terimakasih dan mendoakan agar ibadah korban yang dilaksanakan diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. -Wartawan BKPJM.


MERDEKA YANG BERMAKNA


KAHERAH, 6 September 2017 – Pada 31 Ogos 2017 yang lalu, Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) memaknakan MERDEKA dengan cara yang yang tersendiri dengan menganjurkan aktiviti Sukan Merdeka. Acara sukan ini berlangsung di dua tempat berbeza iaitu di Nadi Syabab Hayyu Asyir bagi mahasiswa dan di Nadi Syabab Hayyu Sadis bagi mahasiswi. Seterusnya pada sebelah malam, BKPJM telah mengadakan malam munajat Malaysia merdeka yang berlangsung di AsramaPelajar Johor Rabaah. 2 hari sebelumnya BKPJM juga telah menganjurkan Malam Munajat Kemerdekaan bersama 2 BKAN taakhi KPIPM (Perak) dan KPP (Perlis) yang bertempat di Rumah Negeri Perlis Hayyu Sabik.


Berbetulan tarikh hari kemerdekaan negara yang turut jatuh pada malam Hari Raya Aidiladha, majlis turut diisi dengan perutusan raya aidiladha oleh Ustaz Muhammad Arif bin Hamzah selaku Yang di-Pertua BKPJM. Selesai perutusan dibacakan, YDP BKPJM juga merasmikan gimik kemerdekaan selepas tayangan video SAIED '17. Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Kuiz Kemerdekaan anjuran Unit Pengetahuan dan  Bimbingan BKPJM, dan Pertandingan Poster Kemerdekaan anjuran Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKPJM. BKPJM mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta pertandingan. - Wartawan BKPJM

Tuesday, September 5, 2017

[ SPR BKPJM 2017 : PENGISYTIHARAN CALON KALI KEDUA ]


السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Saya Nik Mohammad Azahari bin Nik Salleh selaku individu yang telah diamanahkan sebagai Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir 2017 (SPR BKPJM) bagi menguruskan proses pemilihan kepimpinan BKPJM bagi sesi 2017/2018 bersama pegawai-pegawai SPR BKPJM yang dilantik.
Untuk makluman semua, pihak SPR BKPJM telah membuka bilik gerakan SPR BKPJM yang bertempat di Bait Mustofa untuk pencalonan Yang di-Pertua (YDP) & Ahli Jawatankuasa Tadbir (AJKT) dan Bait Hasanah untuk pencalonan Ketua Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) & AJK HEWI bagi kepimpinan BKPJM sesi 2017/2018. Sesi pencalonan dibuka bermula pada 28-30 Ogos 2017, manakala sesi bantahan calon pula pada 31 Ogos 2017 yang lalu.

Pihak SPR BKPJM telah membuka pencalonan bagi memilih SEORANG Yang di-Pertua (Borang A), 7 ORANG AJKT (Borang B, SEORANG Ketua HEWI (Borang C) dan 6 ORANG AJK HEWI (Borang D). Oleh itu, sepanjang proses pemilihan berlangsung pihak SPR BKPJM telah menerima pencalonan sebanyak 1 borang A, 7 borang B, 1 borang C dan 6 borang D dengan tanpa sebarang bantahan.

Sehubungan dengan itu, sukacita dimaklumkan bahawa semua calon MENANG TANPA BERTANDING. Sekian, Terima kasih. Siiru a'la barakatillah.
"BERSIH, TELUS, AMANAH"
Yang Menjalankan Amanah,
Nik Mohamad Azahari bin Nik Salleh,
Pengarah SPR BKPJM 2017.


Saturday, September 2, 2017

PERUTUSAN AIDIL ADHA 1438 H YANG DI-PERTUA BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR

اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ كَبِيرًا.
وَالۡحَمۡدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبۡحَانَ اللَّهِ بُكۡرَةً وَأَصِيلًا. نَحۡمَدُهُ سُبۡحَانَهُ وَتَعَالَى حَمۡدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الۡحَمۡدُ كَمَا يَنۡبَغِي لِجَلَالِ وَجۡهِكَ وَعَظِيمِ سُلۡطَانِكَ.
أَمَّا بَعدُ.
فَيَا عِبَادَ اللَّهِ اتَّقُوا اللَّهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ الزَّادِ التَّقۡوَىٰ. فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah, bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah bekalan. Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah. Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.
Firman Allah SWT :
وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ﴿١٣٠﴾ إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿١٣١﴾
                Surah Al-Baqarah  : 130-131
Maksudnya : Dan sesiapa yang tidak suka kepada agama ( Islam) yang dianuti oleh nabi Ibahim a.s maka sesungguhnya orang itu telah membodohkan dirinya sendiri. Dan sesungguhnya kami telah memilih Nabi Ibrahim a.s di dunia ini (menjadi rasul) dan sesungguhnya dia di akhirat nanti termasuk dalam kalangan orang-orang yang soleh. Ingatlah apabila tuhan telah berfirman kepadanya : “ serahlah dirimu.” Dia menjawab : “ Saya menyerah diri ( dengan ikhlas) kepada tuhan semesta alam.

Mahasiswa/wi Johor yang dirahmati Allah sekalian,
            Hari ini kita menyambut hari raya adha atau hari raya korban dengan memperingati sirah (perjalanan hidup) Nabi Ibrahim a.s yang menjadi contoh yang dipilih oleh Allah SWT kepada seluruh manusia. Contoh seorang Muslim yang sebenar. Islam dengan makna menyerah diri kepada Allah dengan hati yang ikhlas yang diikuti dengan tubuh (jasadnya) beramal dengan perintah Allah, walaupun mengorbankan diri dan keluarga, setelah beriman kepada ucapan لا اله الا الله  ( Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah) dan menolak segala rupa yang dinamakan syirik (menyekutukan Allah) dengan sesuatu yang lain sehingga terpaksa menghadapi ujian kerana imannya

            Inilah yang disebut oleh firman Allah :
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ [٢٩:٢] وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ [٢٩:٣]
Surah al- Ankabut : 2-3
            Maksudnya : Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan begitu sahaja setelah mereka berkata : “kami telah beriman”, dalam keadaan mereka tidak diuji (oleh Allah)? Dan sesungguhnya kami (Allah) telah menguji orang-orang yang lebih dahulu daripada mereka. Maka ((benarlah) apa yang diketahui Allah, orang-orang yang benar (beriman) dan orang-orang yang berbohong).
            Nabi Ibrahim a.s bukan sahaja menjadi contoh seorang Islam yang benar-benar menyerah diri kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya, dia juga telah diuji dan Berjaya menghadapi ujian itu, sehingga menghadapi hukuman yang menggerunkan apabila dijatuhkan hukuman dibakar ke dalam api yang besar dinyalakan dengan dahsyatnya. Apabila Nabi Ibrahim a.s menerima hukuman yang zalim itu dengan tidak berganjak imannya dan bersedia mati menjadi abu, tiba-tiba Allah menyelamatkannya secara mukjizat yang dinyatakan oleh firman Allah di dalan quran :
Surah al-Anbia’ 68-70 yang bermaksud
            Mereka berkata bakarkan dia (ke dalam api) dan tolonglah tuhan kamu jika kamu mahu bertindak keatasnya. Lalu kami berfirman (kepada api) : “wahai api! Jadilah sejuk dan sejahtera kepada Ibrahim.” Mereka (yang kafir) itu melakukan perancangan, maka kami jadikan mereka orang-orang yang paling rugi (di dunia dan di akhirat).
            Akhirnya Nabi Ibrahim a.s dihalau keluar oleh bapanya sendiri dan raja yang zalim sehingga terpaksa berhijrah ke bumi Palestin Bersama keluarga dan pengikutnya yang beriman. Maka Allah memilih Nabi Ibrahim a.s diuji dengan perintah meletakkan anaknya Ismail a.s bersama ibunya Siti Hajar di bumi Mekah yang tidak ada manusia. Kering tidak ada air dan makanan. Allah memberi kepada mereka rezeki yang datang secara luar biasa, seterusnya diuji lagi supaya menyembelih anaknya Ismail a.s, mendirikan ka’bah dan memanggil manusia daripada seluruh dunia datang mengerjakan haji. Firman Allah : Surah al-Baqarah : 124
وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ [٢:١٢٤]
                Maksudnya : dan ingatlah. Apabila Allah telah menguji Ibrahim a.s dengan beberapa perintah, lalu dia telah melaksanakannya dengan sempurna. Lalu kami (Allah) berfirman : “sesungguhnya aku jadikan kamu pemimpin.” Ibrahim a.s menjawab : “wahai tuhanku, jadikanlah juga dikalangan zuriat keturunanku.”Allah berfirman : “tidak termasuk di dalam janjiku ini orang-orang yang zalim.

Sahabat dan sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,
            Hari ini kita sedang menyaksikan janji Allah memilih nabi kita Muhammad s.a.w yang menjadi nabi dan rasul di akhir zaman kepada seluruh manusia di atas muka bumi ini. Dilahirkan di Makkah yang menjadi tempat Nabi Ibrahim a.s meletakkan keluarganya yang dipilih oleh Allah swt.
Ingatlah! Apabila Rasulullah SAW mengajak penduduk Makkah supaya beriman bersamanya bagi menerima Islam dan memerintah dunia dengan hukum syariatNya mereka menolak kerana takutkan kepada makhluk manusia, lupakan kekuasaan Allah SWT. Allah menceritakan di dalam al-Quran melalui surah al-Qasas ayat 57
وَقَالُوا إِن نَّتَّبِعِ الْهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا ۚ أَوَلَمْ نُمَكِّن لَّهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَىٰ إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِّزْقًا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ [٢٨:٥٧]
Maksudnya : Dan mereka berkata : Jika sekiranya kami mengikut petunjuk Bersamamu, nescaya kami akan dibinasakan (oleh musuh) daripada berada dalam negeri kami ini. (Allah berkata) : Tidaklah mereka sedar bahawa Kamilah yang menempatkan mereka di tanah haram (Makkah) yang aman yang diberi kepada mereka kedatangan berbagai jenis buah-buahan., yang merupakan rezeki daripada sisi kami,  tetapi kebanyakan mereka tidak mengerti (seperti tidak mengetahui).
Adalah diluar daripada akal pemikiran manusia bahawa Rasulullah SAW yang telah memulakan dakwahnya kepada seluruh alam ini daripada bumi Makkah yang kering kontang jauh daripada manusia telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh dunia pada hari ini walaupun Rasullulah SAW sudah wafat meninggalkan dunia. Para sahabatnya telah berjaya menjatuhkan Parsi dan Rom, dua kuasa besar dunia yang kuat dengan bala tentera dan paling banyak hartanya, serta ramai rakyat jelatanya, akhirnya Islam menjadi kuasa besar yang memerintah sebahagian besar muka bumi ini.
Malangnya, Hari ini kita menyaksikan pula umat Islam dalam keadaan yang sangat lemah, bukan sahaja negeri-negeri umat islam dijajah dan dikuasai oleh musuh-musuh Islam, mereka juga telah membahagikan bumi islam sesama mereka. Memperhambakan rakyatnya dan merampas hasil buminya yang baik. Digunakan pula untuk membunuh umat Islam, samaada secara langsung menyerangnya, atau melagakan umat Islam membunuh sesama sendiri. Walaupun dikatakan sudah merdeka, tetapi hidungnya masih dicucuk seperti lembu dicucuk hidungnya. Boleh diheret ke mana sahaja mengikut kehendak penjajah itu.

Sebab utama perkara ini berlaku adalah umat Islam pada hari ini tidak lagi beramal dengan semua ajaran Islam! Walaupun ibadat sembahyang, puasa, zakat, haji, zikir dan doanya cara Islam, tetapi cara hidupnya dalam urusan siasah, ekonomi, dan pergaulan tidak mengikut hukum syariat Islam dengan sepenuhnya. Inilah dia amaran Allah kepada umat di zaman dahulu apabila mereka tidak beramal dan mengikut Islam semuanya seperti di dalam kitab taurat yang diceritakan di dalam Alquran.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 85-86 berbunyi
 ۚ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ [٢:٨٥]
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ ۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنصَرُونَ [٢:٨٦]
Maksudnya : Adakah kamu beriman dengan setengah daripada kitab (Taurat) dan kamu kufur daripada setengah yang lain. Maka tiada balasan bagi mereka yang berbuat begitu, melainkan Kenistaan (menjadi hina) dalam kehidupan dunia dan di hari akhirat nanti dicampakkan kedalam azab (neraka) ke atas mereka dan mereka tidak diberi pertolongan oleh Allah SWT.

Ahli-ahli Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir yang dikasihi sekalian
Hari ini kita menyambut hari raya aidiladha bersama umat Islam yang mengerjakan haji, mereka menyahut seruan Allah SWT yang diucapkan oleh nabi Ibrahim AS setelah mendirikan ka’bah, semenjak beberapa ribu tahun yang lalu. Hari ini juga terdapat dikalangan umat Islam yang mampu menyembelih binatang Qurban, menghidupkan ajaran Allah yang dimulakan oleh nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anak yang disayanginya Ismail AS kerana perintah Allah SWT. Dan Allah menerima amalan orang yang ikhlas niatnya bukan pada sembelihan tersebut. Akan tetapi Allah melihat kepada Ketaqwaan dan keimanannya dalam melaksanakan segala perintah yang diberikan. Allah SWT berfirman lagi dalam surah Haj ayat ke-31 :
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ [٢٢:٣٧]
Maksudnya : Allah SWT tidaklah menjadikan (menerima) daging dan darah (binatang qurban itu) tetapi Allah SWT menerima taqwa yang ada pada kamu. Begitulah Allah menjadikan kamu dapat memelihara binatang itu untuk kamu supaya kamu membesarkan Allah (bertakbir memuliakannya) menandakan kesyukuran kerana hadiahnya kepada kamu menjadi Islam dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang mengerjakan amalan yang baik.
Akhirnya, di malam yang mulia ini, marilah sama-sama meningkatkan keimanan kita kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir Takbir, Tahlil dan Tahmid sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat yang diberikan kepada kita. Seterusnya marilah sama-sama kita mengorbankan diri dan jiwa kita ke jalan Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan gerak kerja Islam dan menjadikan BKPJM sebagai salah satu wasilah dalam mempraktikkan kesyumulan Islam di dalam kehidupan kita. Inshaa Allah.
Di kesempatan yang diberikan ini Saya Muhammad Arif Bin Hamzah mewakili barisan Ahli Jawatankuasa Tadbir dan HEWI BKPJM mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1438H. Semoga kehadiran Aidil Adha pada tahun ini akan dapat meningkatkan iman kita sebagai seorang muslim yang benar-benar mengamalkan Islam sebagai cara hidup bukan ibadat semata-mata. Teruskan berdoa mudah-mudahan pada tahun-tahun akan kita semua dapat menjadi tetamu Allah bagi mengerjakan ibadah Haji di tanah haram kota suci Makkah al-Mukarramah.

كل عام وانتم بالخير
تقبل الله منا جميعا

#Ibrah Dihayati Ukhuwah Terpatri
#Kebersamaan Mengukuh Kesatuan

Sekian, Terima kasih.
ما أصابك من حسنة فمن الله وما أصابك من سيئة فمن نفسي. أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم وبالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.



Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...