Sunday, June 25, 2017

PERUTUSAN AIDILFITRI BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2017H / 1438H


PERUTUSAN AIDILFITRI
BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2017M/1438H

اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ، اللَّهُ أَكۡبَرُ كَبِيرًا.
الۡحَمۡدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبۡحَانَ اللَّهِ بُكۡرَةً وَأَصِيلًا. نَحۡمَدُهُ سُبۡحَانَهُ وَتَعَالَى حَمۡدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الۡحَمۡدُ كَمَا يَنۡبَغِي لِجَلَالِ وَجۡهِكَ وَعَظِيمِ سُلۡطَانِكَ.
أَمَّا بَعدُ.
فَيَا عِبَادَ اللَّهِ اتَّقُوا اللَّهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيۡرَ الزَّادِ التَّقۡوَىٰ. فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ يَٰٓأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ.
Wahai hamba Allah SWT..
Bertaqwalah kepada Allah SWT dengan mengikut segala perintahNya dan meninggalkan segala larangannNya dan carilah bekalan. Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah SWT. Maka bertaqwalah kepada Allah SWT wahai mereka yang mempunyai aqal fikiran supaya kamu Berjaya di dunia dan di akhirat.

Sahabat dan Sahabiah, Ahli-ahli Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir serta seluruh anak-anak Johor yang dikasihi sekalian,
Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat kita bersama dalam sebulan Ramadan menjadi tetamu Allah SWT. Bulan yang dihidangkan dengan pelbagai makanan  jasadiah, aqliyah dan ruhiyah bagi membina diri menjadi beriman yang sempurna dan bertaqwa.
Hari ini kita menyambut hari raya Aidilfitri setela sudah menunaikan ibadat puasa selama sebulan yang juga merupakan salah satu daripada rukun-rukun Islam. Yang terpenting adakah kita telah berusaha untuk mencapai tujuan berpuasa yang telah dinyatakan oleh Allah SWT dengan FirmanNya :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣ [سورة البقرة : ١٨٣]
Maksudnya : Wahai orang-orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa sepertimana di wajibkan ke atas orang-orang yang lebih terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.
Maka perlu diketahui bahawa antara sifat orang yang bertaqwa adalah menjadikan al-Quran itu sebagai sebenar-benar petunjuk bahkan panduan dalam kehidupan sebagaimana Firman Allah SWT :
ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢ [سورة البقرة : ٢]
Bermaksud : Kitab (Al-quran) ini tidak ada syak lagi menjadi petunjuk kepada orang-orang bertaqwa.
Kitab Al-Quran inilah menjadi petunjuk ke jalan yang betul yang diminta dalam bacaan Al-Fatihah yang menjadi rukun dalam semua sembahyang. Sama ada wajib atau sunat, termasuk sembahyang jenazah yang tidak ada rukuk dan sujud.
Jalan yang betul yang dinyatakan di dalam Al-quran hendaklah mengikut cara dan petunjuk daripada Rasulullah SAW yang dipilih Allah sebagai rasul kepada seluruh manusia akhir zaman ini. Perkara ini hanyalah diterima dan diamalkan oleh orang-orang yang bertaqwa sahaja. Mereka yang menjadikan Al-quran itu petunjuk kepada semua perkara dalam urusan kehidupannya sama ada perkara ibadat berhubung dengan Allah SWT dan juga urusan yang berhubung kehidupan di dunia semuanya. Tidaklah menjadikan Al-quran itu petunjuk dalam sebahagian urusan sahaja atau memilih sebahagian dan menolak sebahagian yang lain.
Allah telah memberi amaran yang sangat keras kepada kaum yahudi bani Israil yang tidak menerima semua perkara daripada kitab Allah SWT supaya menjadi pengajaran kepada kita semua, iaitu firman Allah SWT :

أَفَتُؤۡمِنُونَ بِبَعۡضِ ٱلۡكِتَٰبِ وَتَكۡفُرُونَ بِبَعۡضٖۚ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفۡعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمۡ إِلَّا خِزۡيٞ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۖ وَيَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰٓ أَشَدِّ ٱلۡعَذَابِۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَٰفِلٍ عَمَّا تَعۡمَلُونَ ٨٥ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا بِٱلۡأٓخِرَةِۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنۡهُمُ ٱلۡعَذَابُ وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ ٨٦ [سورة البقرة : ٨٥-٨٦]
Maksudnya : Adakah kamu beriman (percaya) kepada sebahagian daripada kitab dan kamu kufur (tidak percaya) kepada sebahagian yang lain, maka tidak ada balasan bagi mereka berbuat begitu melainkan hidup di dunia dan pada hari akhirat nnti dimasuki ke dalam Azab yang sangat pedih (di dalam neraka) dan Allah tidak lalai daripada apa yang telah kamu lakukan. Mereka itu ialah orang-orang yang membeli kehidupan dunia sahaja dengan membayar (meninggalkan bekalan) kehidupan di hari akhirat. Maka tidaklah diringankan daripada azab (neraka dan azab dunia ) dan Allah tidak memberi pertolongan kepada mereka.

Hadirin dan Hadirat yang dirahmati Allah SWT,
Pada hari ini di tanah air kita terdapat golongan orang-orang yang berusaha supaya hukum Allah SWT diamalkan dengan sepenuhnya yang mana perkara tersebut menepati apa yang terdapat di dalam Al-quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Syariat yang pernah dilaksanakan dahulunya akan tetapi telah dibuang oleh penjajah sejak sekian lama abadnya. Walaupun tanah air kita telah berjaya meletakkan di dalam perlembagaan melalui rundingan bahawa islam adalah agama rasmi bagi negara, tetapi di dalam perlembagaan itu juga masih ada halangan-halangan yang menyekat kuasa dan hukum-hukum Islam. Diantaranya ialah perkara yang disebut dengan akta 355 daripada perlembagaan negara yang menjadikan mahkamah syariah bagi pengadilan orang-orang Islam disekat kuasanya.
Ini adalah ujian Allah SWT kepada orang Islam di negara kita ini, sejauh manakah kepercayaan kita kepada syariat Allah SWT. Ingatlah firman Allah SWT di dalam Al-quran :
وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ ٥٠ [سورة المائدة : ٤٩-٥٠]
Maksudnya : Dan hendaklah kamu berhukum di kalangan kamu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT dan jangan sekali-kali mengikut segala kemahuan hawa nafsu mereka. Dan berwaspadalah kamu daripada tipu daya mereka supaya kamu meninggalkan sebahagian daripada apa-apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT kepada kamu. Maka jika sekiranya mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa Allah SWT hendak mengenakan kepada mereka sebahagian daripada dosa-dosa mereka dan sesunguhnya ramai kalangan manusia itu menjadi orang0orang yang fasik. Adakah mereka mahukan hukuman jahiliah? Padahal siapakah yang lebih baik hukumannya daripada Allah SWT dari segi hukuman nya kepada orang-orang yang yakin(percaya). 
Para kekasih Allah SWT sekalian,
Di bulan Ramadan, Allah SWT telah mendidik kita dengan ibadah puasa dengan meninggalkan makan minum dan kemahuan hawa nafsu yang dihalalkan di waktu siang hari pada bulan-bulan yang lain. Tujuannya adalah supaya kita sedar akan hakikat kehidupan manusia yang merupakan hamba kepada tuhannya. Kita menjadi manusia dengan adanya aqal fikiran mencari ilmu dan pengenalan hidup. Juga rezeki harta dan kemahuan adalah pemberian Allah SWT. Kita adalah hamba-hambaNya. Maka hendaklah memperhambakan diri kepadaNya menandakan kesyukuran kepadaNya. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢ [سورة البقرة : ٢١-٢٢]
Maksudnya : Wahai manusia , sembahlah (Perhambakan diri kamu) kepada tuhan yang telah menjadikan kamu dan orang-orang yang lebih dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Dialah yang telah menjadikan bumi untuk kamu seperti hamparan yang tetap dan menjadikan langit seperti binaan. Lalu dia menurunkan daripada langit itu air hujan, maka keluar daripadanya buah-buahan yang menjadi rezeki kepada kamu. Maka janganlah kamu jadikan bersama Allah itu sekutu-sekutu yang sama sepertinya dalam keadaan kamu mengetahuinya.
Alhamdulillah…
Di malam yang mulia ini juga kita bertakbir memuliakan Allah dengan mengulang-ulang peristiwa Ahzab dengan menyebut lafaz :
وَهَزَمَ الأَحۡزَابَ وَحۡدَهُ
(Maksudnya): Dan Allah membinasakan kumpulan Ahzab dalam keadaannya Maha Esa.
Allah yang Maha Esa telah mengalahkan barisan pakatan kumpulan kafir musyrikin. Golongan ahli al-kitab (yahudi) dan orang-orang munafiq yang berjuang menghalang Islam itu supaya ditinggikan dan berusaha menghapuskan Islam dengan berbagai tipudaya. Ia menginggatkan kita pada hari itu juga adanya kumpulan ahzab campuran musyrikin, ahli kitab dan orang-orang munafiq yang mengaku Islam.
Tindakan Rasulullah s.a.w. memilih cara memaafkan dan perdamaian menyebabkan akhirnya mereka yang bermusuh itu menerima Islam. Inilah petunjuk Allah didalam al-Quran :

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٢٥ [سورة النحل : ١٢٥]
(Maksudnya) : Berdakwahlah (serukan) kepada jalan tuhanmu (Islam) dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik, dan berhujah dengan mereka dengan cara yang terbaik. Sesungguhnya tuhan kamu lebih mengetahui sesiapa yang terus sesat daripada jalannya dan dia juga lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayahnya.

Mahasiswa/wi Al-Azhari sekalian,
Di dalam kita menikmati hidup di bumi anbia’ ini, ditambah dengan nikmat kesatuan hati dalam BKPJM ini. Marilah kita memperkuatkan ukhuwah sesama kita dengan melaksanakan gerak kerja Amal Islami yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Setiap amalan kita dengan tujuan meninggikan syariat Allah SWT itu di nilai di sisiNya sebagai pahala dan kejayaan yang amat besar balasanNya. Firman Allah SWT:
  وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menuruh berbuat segala perkara yang maaruf (baik), serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang Berjaya.
Dengan itu marilah kita terus menjadikan BKPJM sebagai wadah kesatuan anak-anak Johor di perlembahan nil ini. BKPJM bersama dengan Badan kebajikan Anak Negeri yang lain, lantas ini memberikan satu nikmat yang sangat besar kepada kita untuk melakukan segala perkara kebaikan yang di redhai oleh Allah SWT. Semoga perkara tersebut diterima sebagai amalan baik olehNya.

Sahabatku yang dirahmati Allah SWT sekalian,
Di bulan Syawal yang berbahagia ini hendaklah kita saling mengingati akan betapa besarnya nikmat persaudaraan yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagama dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah SAW :
  لَا يُؤۡمِنُ أَحَدُكُمۡ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحَبُّ لِنَفۡسِهِ. [رواه البخاري]
Bermaksud : Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri.
Akhirnya, saya Muhammad Arif Bin Hamzah mewakili kepimpinan BKPJM menyusun 10 jari memohon kemaafan zahir dan batin sekiranya sepanjang kami memandu bahtera kesatuan ini terdapat kesalahan dan kesilapan di dalam tindakan mahupun tutur bicara samada sengaja mahupun sebaliknya. Tegur dan perbetulkan kami jika kami melakukan kesilapan dan sokong dan dokonglah kami apabila kami melaksanakan kebaikan.
Di kesempatan ini, kami juga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1438 Hijrah.
كل عام وانتم بالخير
تقبل الله منا جميعا

#Sesuci Ramadan Seindah Syawal
#Kebersamaan Mengukuh Kesatuan

Sekian, Terima kasih.
ما أصابك من حسنة فمن الله وما أصابك من سيئة فمن نفسي. أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم وبالله التوفيق والهداية السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.


Tuesday, June 13, 2017

MUKJIZAT DAN KEMENANGAN UMAT ISLAM


OLEH : SITI NORFATIHAH BINTI MOHD ANUAR
BENDAHARI HEWI 2016/2017

                Allah telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat terbesar dan teragung yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. dan kewujudan Allah dengan segala sifat kesempurnaanya. Membaca al-Quran serta menghayatinya dan mengamalkannya adalah satu ibadah sunnah. Maka peristiwa Nuzul al-Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi S.A.W. khasnya. Ayat al-Quran diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini.Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawwatir , pasti dan qati’ serta ditulis mushaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mushaf “ Uthmani” , adalah agar bagi umat Islam mengkaji sejarah al-Quran dan perkara yang berkait dengannya.

                Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad berusia 41 tahun iaitu pada malam Jumaat bersamaan 17 Ramadan, sewaktu Baginda sedang beribadat di Gua Hira’. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau pindah dari atas ke bawah. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq. Al-Quran juga merupakan penunjuk bagi ummah yang mana ianya adalah ‘petunjuk’ (huda)  dan ‘pembeza’ (furqan).

                Allah s.w.t berfirman, mafhumya :
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta membezakan di antara yang haq dan batil (antara benar dengan yang salah).” [Surah Al-Baqarah (2): ayat 185].

“Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat.”
[Surah Ad-Dukhan : ayat 3]

Ayat ini menunjukkan penurunan berlaku pada bulan Ramadan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam Al-Qadr yang merupakan satu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadan.

                Selain itu, peristiwa penting juga buat umat Islam, ketika itu berlaku di tempat berhampiran Wadi (lembah) Rahqan juga pada 17 Ramadan , tahun ke-2 Hijrah (tahun yang sama berlaku pensyariatan ibadah puasa) iaitu Ghazwah Badar Kubra. Pada waktu itu kekuatan tentera Islam 313 mujahidin dengan kekuatan 2 tentera berkuda iaitu Zubair Bin Awwam dan Miqdad Bin Ai-Aswad serta 70 ekor unta. Panglima tertinggi ialah Rasulullah S.A.W sendiri , baginda membahagikan tentera Islam kepada dua kelompok iaitu Muhajirin dan Ansar. Manakala, tentera Musyrikin seramai 1,000 lebih yang dipimpin oleh Abu Jahal.

                Memintas Kafilah Quraisy yang pulang dari Syam dipimpin oleh Abu Sufian menjadi asbab kepada peperangan tersebut. Justeru itu, kemenangan dalam Perang Badar ini jelas membuktikan pertolongan Allah terhadap tentera Islam dan sekali gus mencampakkan kekuatan dan kegerunan pihak musuh kepada mereka. kemenangan ini telah Allah rekodkan di dalam kitab mulia (Al-Quran) surah Al-Imran ayat : 123-128.

                Kesimpulannya, marilah kita sama-sama menghayati Nuzul al-Quran dan Ghazwah Badar Kubra ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Telusuri sejarah dan menyingkap hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.Wallahu a’lam.

“KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “
“MEMBENTUK GENERASI MITHALI”

Thursday, June 8, 2017

IHTIRAM '17 DISAMBUT MERIAH


OLEH : SYAKIRAH BINTI MOHD SALLEH
SETIAUSAHA IHYA TARBAWI  RAMADAN (IHTIRAM ’17)

RABAAH, 4 Jun - Berlangsungnya hari perasmian program Ihya' Tarbawi Ramadan (IHTIRAM '17) yang bermula sekitar jam 4.40 petang di Dewan Asrama Pelajar Johor Rabaah. Majlis dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran kemudian diselangi dengan ucapan Pengarah IHTIRAM '17, Saudara Mohammad Amirnurrashidi Bin Mohd Azlan dan ucapan YDP BKPJM yang juga perasmi program Alfadhil Ustaz Muhammad Arif Bin Hamzah.

Majlis dimeriahkan lagi dengan pengisian ilmiah iaitu diskusi kitab "Maza Nurid Min Ramadan" yang telah disampaikan oleh Alfadhil Ustaz Aiman Fitry Bin Zulkifli, Graduan Usuluddin Al-Azhar dan calon Master Amerika Maftuh. Majlis tersebut menerima kehadiran hadirin sekitar 150 orang dalam kalangan pelajar-pelajar Johor. Usai pembentangan kitab majlis ditutup dengan juadah berbuka puasa beramai-ramai.

Melihat daripada jumlah kehadiran memberi impak bahawa majlis sebegini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang. Insya-Allah, program IHTIRAM '17 ini akan berlangsung sepanjang Ramadan dan akan terdapat pelbagai pengisian ilmiah dan thaqafah disediakan kepada seluruh mahasiswa/wi Johor di Mesir. Semoga dengan usaha ini dapat memeriahkan kehadiran Ramadan yang mulia sesuai dengan pembawakan tema IHTIRAM '17 iaitu "Sesuci Ramadan, Seindah Syawal". - Wartawan al-Jauhar-

" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “
“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...