Wednesday, December 27, 2017

JALAN MUJAHADAH ITU INDAH


DISEDIAKAN OLEH : USTAZ MOHD KHAIRUL IQBAL BIN TAJUDDIN
UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN BKPJM 2017/2018

Terimalah kesusahan yang sementara, demi kesenangan yang abadi. Di akhirat nanti kita akan menuai hasilnya.

Jalan menuju ALLAH ertinya ialah jalan menuju ke syurga. Syurga itu tidak ternilai harganya. Perumpaman syurga itu seperti perbezaan antara kaca dengan permata. Kaca itu murah dan mudah didapati di mana-mana. Tetapi permata itu mahal, amat sukar untuk mendapatkannya.

                Sudah ditakdirkan, jalan menuju ALLAH penuh dengan godaan, ujian dan kesukaran. Tetapi adakah kita sengaja menempah kesusahan? Tidak!

Kita hanya rela dan tega menerima kesusahan yang sementara demi kesenangan abadi di sana (akhirat). Hanya kerana menginginkan kesenangan disini (dunia), sebahagian manusia alpa tanggungjawab mereka. Lupakah kita kepada hakikat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w yang mafhumnya :

“Neraka itu dipagari dengan penuh kenikmatan dan keseronokan,manakala syurga itu dipagari oleh ujian dan kesukaran.”

Namun aku, kamu dan kita tetap manusia biasa. Hati kita goyah jua di jalan mujahadah. Hati pasti merintih apabila pedih. Jiwa pasti terdera apabila berduka. Namun, kita tidak akan sesekali dipatahkan di jalan mujahadah. Patah sayap terbang jua. Biar jatuh bertongkat dagu, namun mengalah tetap tidak!

Mujahadah atau jalan menuju ALLAH itu berasal daripada perkataan jihad yang membawa maksud berjuang bersungguh-sungguh dengan penuh kegigihan. Di jalan ini, hamba yang menginginkan keredhaan ALLAH terpaksa berperang dengan musuh yang ada di dalam diri sendiri iaitu syaitan dan hawa nafsu. Perang dalam diri inilah yang paling hebat dan dahsyat.

               Ramai pendekar yang tersungkur. Bukan kerana tusukan senjata api, akan tetapi oleh godaan wanita. Ramai pula pendekar yang mundur, bukan kerana amukan musuh, akan tetapi oleh kerlipan kuasa dan harta.

                Bermujahadah ertinya berperang dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya menginginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Ia sangat membenci kebaikan, peringatan dan ketaatan.

                Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk 'menanam'. Di sana (akhirat) nanti barulah 'menuai'. Musim bertanam memanglah payah mencangkul, membaja, menjaga pepohon daripada serangga dan bermacam-macam lagi kesusahan. Apabila menuai nanti, baru terasa nikmat dan keseronokannya.

                Banyak kepahitan yang perlu ditempuh oleh orang mukmin untuk memperoleh syurga selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w :

“Syurga dipagari dengan kesusahan ,manakala neraka dipagari oleh keseronokan.”

                Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah lagi kehidupan di syurga. Justeru, marilah bersama-sama kita saling berpesan untuk rela menerima kepahitan yang sedikit dan sementara di sini demi menikmati kemanisan yang banyak dan abadi di sana. Alangkah jahilnya kita jika kita rela menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat yang sedikit dan sementara di dunia.
  
                Akan tetapi, kita ialah orang yang bijak kalau kita terus bermujahadah untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sehiggalah tiba saatnya kita boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita ingini. Dimana? Bila? Jawabnya, di syurga!

                Sesungguhnya jalan mujahadah itu ialah jalan kita. Di jalan itu, sering berlaku perang dialog di dalam diri. Apabila susah melanda, kita merintih. Apabila godaan mendatang, kita cuba bertahan. Apabila nikmat menjelma, kita lega. Akan tetapi tidak lama, sukar pun datang mencabar, kita cuba sabar.

Bertepatan dengan firman Allah :

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Al-‘Ankabut [29:69]


“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami ( yang menjadikan mereka gembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”.

MEMBONGKAR SIRAH NABI S.A.W


DISEDIAKAN OLEH : NUR AQILAH BINTI SAZALI
SETIAUSAHA UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 2017/2018

RABAAH, 10 DISEMBER 2017 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 17/18 di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan program Sambutan Maulidur Rasul bertempat di Asrama Pelajar Johor, Rabaah. Program yang saban tahun diadakan ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada mahasiswa-mahasiswa Johor.
           
            Seperti kebiasaan program-program tahun lalu, program Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini dipenuhi dengan pengisian rohani yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Syarifuddin bin Nor Azli yang berasal daripada BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri) Selangor.

Beliau yang kini sedang menuntut di Kuliah Usuluddin tahun 2 Universiti Al-Azhar menekankan beberapa aspek dalam pengisiannya, antaranya adalah supaya mahasiswa dan mahasiswi tidak hanya menyambut kelahiran Baginda Nabi dengan pujian kepadanya semata-mata, akan tetapi sambutan yang sebenar adalah dengan melaksanakan sunah terbesar yang ditinggalkan oleh baginda iaitu sunah berdakwah dan melakukan amar makruf dan nahi munkar.


Program pada kali ini menyaksikan kehadiran Ustaz Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal, wakil daripada Kembara Ilmu Al-Kazimie (KIKM) – sebuah agensi pelancongan - dan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Johor (ILMAM) bagi melaksanakan simbolik penyerahan sumbangan kepada BKPJM. Sumbangan yang berjumlah RM 5000 itu diperoleh melalui pengedaran kupon sumbangan BKPJM, sumbangan daripada ILMAM sendiri dan juga sumbangan ikhlas daripada jemaah umrah dan haji.

Ustaz Syed Miftahul Ulum yang juga merupakan mantan Yang di-Pertua BKPJM sesi 2010/2011 turut diberikan peluang untuk menyampaikan nasihat dan ingatan kepada ahli-ahli BKPJM.

Program diraikan lagi dengan ucapan daripada Yang di-Pertua BKPJM 17/18 sendiri, Ustaz Norhalim bin Lokman. Dalam ucapannya, beliau sempat mengutarakan kalam terima kasih kepada Ustaz Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal dan rombongannya atas sumbangan yang telah diberikan.


Harapan YDP dalam ucapannya adalah agar sumbangan yang telah diterima dapat melancarkan gerak kerja BKPJM seterusnya memudahkan lagi pelaksanaan agenda kebajikan yang senantiasa menjadi matlamat BKPJM selaku wadah kesatuan anak-anak Johor di Mesir.

Beliau juga berharap semoga sambutan yang telah dilaksanakan ini dapat membuka mata kita dalam melihat perjuangan Rasulullah S.A.W dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan yang terbaik dalam hidup kita.

Thursday, December 14, 2017

MALAM MUNAJAT WASILAH TARBIAH


DISEDIAKAN OLEH : NUR AQILAH BINTI SAZALI
SETIAUSAHA UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 2017/2018

RABAAH, 7 DISEMBER 2017 - Telah berlangsung Program Malam Munajat Siri 1 anjuran Unit Dakwah dan Tarbiah (BKPJM) 2017/2018 bertempat di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah. Program berlangsung bermula pukul 5.40 petang sehingga pukul 8 malam.

Program dimulakan dengan bacaan yassin dan tahlil yang dihadiahkan kepada Almarhumah Ustazah Nurul Anisah binti Alham. Almarhumah telah kembali ke rahmatullah pada 6 Disember 2017 dan jenazahnya telah selesai dikebumikan semalam. Program kemudiannya diteruskan dengan solat Isyak secara berjemaah.

Ustaz Muhammad Syahmi bin Ambe, pengerusi majlis kali ini turut memberikan beberapa nasihat ketika mengendalikan majlis tersebut. Kata beliau :

“Pengisytiharan Baitul Maqdis sebagai Ibu Negara Israel merupakan antara musibah besar yang menimpa umat Islam di seluruh dunia.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memohon kepada Allah agar Dia memberi kemenangan kepada umat Islam dan menjaga persatuan BKPJM kita ini.”

Program diteruskan lagi dengan perlaksanaan solat sunat hajat dan juga solat sunat hifzi yang julung-julung kalinya diadakan pada sesi ini. Berdasarkan info yang telah diterima daripada pihak penganjur, solat sunat hifzi bertujuan untuk meningkatkan daya hafalan individu.


Sebelum program berakhir, Ustaz Muhammad Syahmi bin Ambe yang juga merupakan Ketua Unit Dakwah dan Tarbiah BKPJM sesi 2017/2018 telah mengumumkan tarikh Muzakarah Berkelompok Amali bagi peringkat mahasiswa serta menggalakkan penglibatan daripada seluruh mahasiswa Johor. Program ditangguhkan dengan bacaan tasbih kafarah dan surah Al-Asr.



Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...