Monday, February 5, 2018

ISLAM DI AKHIR ZAMAN


DISEDIAKAN OLEH : AMALINA SYAHIRAH BINTI HAMIDUN
UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN HEWI BKPJM 2017/2018

Allah Azza wa Jalla berfirman :

(( الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ))

“… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redha Islam sebagai agama bagimu …”
 [ Al-Maa-idah:3 ]

Semakin hari dunia semakin tenat. Saban hari dunia semakin dipenuhi dengan penderitaan, kezaliman, permusuhan, kerakusan dan pelbagai bencana alam yang melanda silih berganti. Semua ini angkara tangan–tangan dan akhlak manusia. Janganlah kita menuding jari menyalahkan takdir dan fenomena alam semulajadi atas apa yang telah berlaku.

Mengimbau kembali sejarah yang telah berlaku pada zaman jahiliah, kesyirikan yang melanda masyarakat arab berfaktorkan kepercayaan dan kebudayaan yang jauh daripada nilai-nilai islam; saling menyerangi antara satu sama lain, wanita berhias ketika keluar rumah untuk menzahirkan kecantikannya di khalayak ajnabi, suka berfoya-foya dan sebagainya.

Kemudian, datanglah cahaya Islam memberi sinar baru. Masyarakat Mekah mula memeluk islam secara beransur-ansur.

Tetapi, lihatlah pada hari ini. Apakah yang telah berlaku? Cahaya islam semakin hari semakin menghilang. Ramai dalam kalangan umat manusia yang ditimpa penyakit yang sudah dikhabarkan oleh Baginda Nabi S.A.W. Hal ini seperti yang telah direkodkan di dalam sebuah hadis yang berbunyi :


عَنْ اَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَقُوْلُ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ: سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ اْلأُمَمِ فَقَالُوْا : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَا دَاءُ اْلأُمَمِ قَالَ : اَلْأَشَروَاْلبَطَرُ وَالتَّكَاثُرُ وَالتَّنَاجُشُ فِي الدُّنْيَا وَالتَّبَاغُضُ وَالتَّحَاسُدُ حَتَّى يَكُوْنَ اْلبَغْىُ
(
رواه الحاكم) 
Maksud: Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu.”
Sahabat bertanya: “Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?” Nabi Muhammad S.A.W menjawab:
“Penyakit-penyakit itu adalah terlalu banyak berseronok, terlalu bermewah, menghimpunkan harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam usaha merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi antara satu sama lain.
 ( Hadis riwayat : al-Hakim )

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis tersebut bukanlah satu perkara yang baru kerana penyakit ini telah banyak menjangkiti masyarakat Islam pada hari ini. Bahangnya sudah mula dirasai sejak zaman dahulu lagi. Apabila manusia menolak sistem hidup yang disyariatkan dalam Islam lantas mengambil dan memilih sistem hidup rekaan manusia, maka inilah padahnya.

Islam dipisahkan daripada kehidupan sebenar. Islam hanya pada ibadah semata-mata. Syariat yang dibawa dikatakan kuno dan tidak sesuai dilaksanakan mengikut peredaran zaman bahkan ada yang alergi dengan islam sehinggakan kita pada hari ini didoktrinkan dengan islamophobia, merasakan Islam itu lapuk dan tidak maju.

Saidina Umar bin al-Khattab R.A berkata:
Kita adalah umat yang dipilih oleh Allah S.W.T untuk dimuliakan dengan islam, maka jika kita mencari kemuliaan dengan yang lain, Allah akan memberikan kehinaan kepada kita.

Sebuah kisah:

AHAD, AHAD, AHAD… Itulah sebutan yang tidak lekang daripada mulut si hamba berkulit hitam walaupun dia diseksa dengan begitu teruk oleh tuannya sendiri; Umaiyah bin Khalaf. Bilal bin Rabbah al-Habsyi dari Ethiphio yang dijemur di tengah panas terik, ditimpa batu di atas dadanya dan disebat dengan rotan, tetap tidak berganjak imannya hatta walaupun beliau diseret mengelilingi pergunungan Mekah. Deritanya berakhir apabila Abu Bakar al-Siddiq r.a membelinya dan memerdekakannya.
          
Renungilah kisah para sahabat yang mengharungi segala perit pedih penderitaan namun iman mereka tetap tidak berganjak dan dan kekal utuh walaupun diseksa dengan sedemikan rupa.

Bayangkanlah jika kita berada di tempat mereka, adakah kita tetap mempertahankan Islam? Atau adakah Islam itu sekadar berada di Kad Pengenalan?

Memetik satu kalam daripada ustaz Hassan al-Hudaibi, beliau berkata:
Tegakkan daulah islam di dalam diri kamu, nescaya ia akan tertegak di sekeliling kamu.

Tuntasnya, islam hendaklah dijadikan panduan dalam semua aspek kehidupan individu. Hinanya sebuah kaum mahupun tamadun apabila ia mula meminggirkan dan mengabaikan pengajaran Islam. Realiti pasca kini, mereka yang tegas dan cekal dengan membawa sistem-sistem Islam dikatakan syadid, dipulaukan susuk tubuh dan kata-kata mereka walaupun pada hakikatnya, sudah termaktub di dalam al-Quran bahawa ajaran Islam itu sesuai untuk diamalkan sepanjang zaman.

              Moga sejarah lalu menjadi pengajaran dan mengukuhkan iltizam kita untuk meletakkan Islam sebagai tunjang utama dalam setiap aspek kehidupan.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...