Sunday, December 9, 2018

KESYUMULAN ISLAM DIREALISASIKAN DALAM SEBUAH JEMAAH


KESYUMULAN ISLAM DIREALISASIKAN DALAM SEBUAH JEMAAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji bagi Allah SWT Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan Salam atas Junjungan Besar Baginda Nabi Muhammad SAW.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT atas segala nikmat dan kasih sayang yang telah Allah berikan kepada kita terutamanya nikmat yang besar iaitu nikmat Iman dan Islam.

Suka saya menukilkan satu karya penulisan berdasarkan tema dan pembawaan BKPJM bagi sesi yang baru ini iaitu sesi 2018/2019. Semoga pimpinan BKPJM dapat merealisasikan tema dan pembawaan ini kepada seluruh anak Johor di Mesir.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

hai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Surah Al-Baqarah : 208)

Allah SWT menyebut perkataan beriman disitu kerana mereka diberi tanggungjawab untuk membawa Islam dan disusuli taklif (perintah dan kewajipan).

Kewajipan yang dimaksudkan disini ialah masuk ke dalam agama Islam itu secara keseluruhannya kerana kalimah "" ادخلوا  disitu membawa kepada "فعل الأمر".

Ulama menyebut bahawa "  " السلم  itu adalah agama Islam itu sendiri kerana ianya adalah agama perdamaian yang menyeru kepada kedamaian dan membawa kesejahteraan kepada manusia.

Maksud pada ayat ادخلوا في السلم كافة ""  ialah masuk lah ke dalam agama Islam itu secara menyeluruh dengan makna betul-betul sebati dengan ajaran Islam yang sebenar dan tidak mengambil sebahagian pun daripada ajaran Islam itu sendiri.

Jadi bagi sesiapa yang membawa satu pendekatan atau gambaran yang berlainan dan bertentangan daripada Islam maka ianya tidak membawa kepada ajaran Islam yang sebenar.

Allah SWT menyebut perkataan " الشيطان " disitu ialah kerana mereka adalah musuh ketat dan makhluk yang berusaha untuk memalingkan manusia dalam bentuk apa cara sekalipun.

Disebut dalam kitab "خواطر قرانية" karangan Amru Khalid bahawa diantara penyebab hadirnya ayat ini kerana ayat-ayat sebelumnya menjelaskan tentang sebahagian daripada Islam iaitu dari sudut beribadat, hukum waris, peperangan, aturan haji dan infaq.

Maka ayat ini hadir untuk memberitahu bahawa agar umat Islam mengambil Islam secara keseluruhannya dan juga memperingatkan tidak mengambil Islam dengan sebahagian sahaja.

Islam ini adalah agama yang menyeluruh dan Islam tidak sama dengan agama lain yang mengambil sebahagian sahaja dalam agamanya. Islam ini mengikut syariat iaitu merangkumi ibadat, munakahat, muamalat dan jenayat.

Sekecil-kecil perkara seperti memakai selipar bermula kaki kanan pun ada dalam Islam apatah lagi sebesar-besar perkara seperti pentadbiran Islam. Maka ini yang menunjukkan bahawa Islam bukan agama yang lemah bahkan agama yang syumul.

Habib Rizieq Syihab  اللهحفظه  ada menyebut bahawa “Islam ini bukan seperti makanan hidangan (boleh dipilih-pilih) tetapi Islam perlu masuk sepenuhnya. Agama Islam ini adalah aturan Allah dimana kita perlu buat apa yang Allah perintahkan dan kita perlu tinggal apa yang Allah larang.”

Penghayatan dan pengamalan segala syariat dalam Islam itu tidak boleh tidak perlu direalisasikan melalui wasilah sebuah jemaah atau kesatuan yang utuh lagi bersungguh-sungguh untuk mengamalkan Islam itu secara menyeluruh.

Firman Allah SWT :

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai. (Sura Ali-Imran : 103)

Ayat di atas menerangkan kepada kita bahawa kita perlu berpegang teguh dengan agama Allah keseluruhannya. Ini menunjukkan bahawa umat Islam perlu bersatu dan menjadikan Islam itu sebagai asas dan panduan utama bagi seluruh gerak kerja dalam kehidupan kerana Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah SWT.

Suka saya untuk memetik satu kalam daripada Saidina Umar Al-Khattab R.A :

”لا الإسلام إلا بالجماعة، لا الجماعة إلا بالقيادة، لا القيادة إلا بالطاعة“

“Tidak akan kuat Islam melainkan dengan Jemaah, Tidak akan kuat Jemaah melainkan dengan Kepimpinan, Tidak akan kuat Kepimpinan melainkan dengan Taat”

Berdasarkan kalam hikmah tersebut, kita dapat memahami bahawa kekuatan Islam itu akan hadir apabila semua bersatu padu dalam satu jemaah. Dan kekuatan jemaah itu akan hadir apabila wujudnya sifat taat dan wala' seorang ahli kepada kepimpinan dalam sebuah jemaah.

Kekuatan dalam menyeru manusia dan umat kepada ajaran Islam yang sebenar ialah tidak mencukupi jika dilakukan secara berseorangan tanpa jemaah tetapi perlu bergerak bersama jemaah supaya dapat saling membantu dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Ulama' ada menyebut dalam satu kaedah yang berbunyi :

”للوسائل حكم للمقاصد“

“Hukum bagi wasilah sama dengan tujuannya”

Kaedah ini bersesuaian dengan pelaksanaan gerak kerja Islam secara syumul. Jadi bagi mencapai tujuan kesyumulan Islam itu adalah tidak boleh tidak perlu dilaksanakan dengan wasilah sebuah jemaah yang kuat dan kukuh atas dasar Islam.

Akhir kalam, saya memetik satu kalam hikmah mulia daripada Sulthonul Ulama' Al-Allamah Al-Arif Billah Al-Habib Salim bin Abdullah Asy-Syatiri  الله رحمه  iaitu :

”مجالس الخير تجعلك الخير ولو أنت من الأشرار
ومجالس الشر  تجعلك الشر ولو أنت من الأخيار“

“Perkumpulan yang baik akan menjadikan kamu baik meskipun kamu adalah orang yang buruk dan perkumpulan yang buruk akan menjadikan kamu buruk meskipun kamu adalah orang yang baik”.

Kalam ini memberitahu tentang perihal fadhilat berada dalam sebuah jemaah. Ianya menunjukkan bahawa dengan berada dalam sebuah jemaah yang baik mampu mengislah dan mentarbiyah diri kita ke arah yang lebih baik.

Maka marilah kita sama-sama sebagai mahasiswa Johor yang berada di bumi Mesir ini untuk bersama-sama berada dalam bahtera BKPJM sebagai wasilah untuk mencapai tujuan kita yang sebenar iaitu merealisasikan kesyumulan Islam demi kesejahteraan dan kebajikan bagi seluruh anak-anak Johor di Mesir.

Wallahu'alam.
Muhammad Harith Osman
21 November 2018.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...