Wednesday, December 27, 2017

MEMBONGKAR SIRAH NABI S.A.W


DISEDIAKAN OLEH : NUR AQILAH BINTI SAZALI
SETIAUSAHA UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 2017/2018

RABAAH, 10 DISEMBER 2017 - Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) 17/18 di bawah Unit Dakwah dan Tarbiah telah mengadakan program Sambutan Maulidur Rasul bertempat di Asrama Pelajar Johor, Rabaah. Program yang saban tahun diadakan ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada mahasiswa-mahasiswa Johor.
           
            Seperti kebiasaan program-program tahun lalu, program Sambutan Maulidur Rasul pada kali ini dipenuhi dengan pengisian rohani yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Syarifuddin bin Nor Azli yang berasal daripada BKAN (Badan Kebajikan Anak Negeri) Selangor.

Beliau yang kini sedang menuntut di Kuliah Usuluddin tahun 2 Universiti Al-Azhar menekankan beberapa aspek dalam pengisiannya, antaranya adalah supaya mahasiswa dan mahasiswi tidak hanya menyambut kelahiran Baginda Nabi dengan pujian kepadanya semata-mata, akan tetapi sambutan yang sebenar adalah dengan melaksanakan sunah terbesar yang ditinggalkan oleh baginda iaitu sunah berdakwah dan melakukan amar makruf dan nahi munkar.


Program pada kali ini menyaksikan kehadiran Ustaz Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal, wakil daripada Kembara Ilmu Al-Kazimie (KIKM) – sebuah agensi pelancongan - dan Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Johor (ILMAM) bagi melaksanakan simbolik penyerahan sumbangan kepada BKPJM. Sumbangan yang berjumlah RM 5000 itu diperoleh melalui pengedaran kupon sumbangan BKPJM, sumbangan daripada ILMAM sendiri dan juga sumbangan ikhlas daripada jemaah umrah dan haji.

Ustaz Syed Miftahul Ulum yang juga merupakan mantan Yang di-Pertua BKPJM sesi 2010/2011 turut diberikan peluang untuk menyampaikan nasihat dan ingatan kepada ahli-ahli BKPJM.

Program diraikan lagi dengan ucapan daripada Yang di-Pertua BKPJM 17/18 sendiri, Ustaz Norhalim bin Lokman. Dalam ucapannya, beliau sempat mengutarakan kalam terima kasih kepada Ustaz Syed Miftahul Ulum bin Syed Mustafa Kamal dan rombongannya atas sumbangan yang telah diberikan.


Harapan YDP dalam ucapannya adalah agar sumbangan yang telah diterima dapat melancarkan gerak kerja BKPJM seterusnya memudahkan lagi pelaksanaan agenda kebajikan yang senantiasa menjadi matlamat BKPJM selaku wadah kesatuan anak-anak Johor di Mesir.

Beliau juga berharap semoga sambutan yang telah dilaksanakan ini dapat membuka mata kita dalam melihat perjuangan Rasulullah S.A.W dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan yang terbaik dalam hidup kita.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...