Wednesday, December 27, 2017

JALAN MUJAHADAH ITU INDAH


DISEDIAKAN OLEH : USTAZ MOHD KHAIRUL IQBAL BIN TAJUDDIN
UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN BKPJM 2017/2018

Terimalah kesusahan yang sementara, demi kesenangan yang abadi. Di akhirat nanti kita akan menuai hasilnya.

Jalan menuju ALLAH ertinya ialah jalan menuju ke syurga. Syurga itu tidak ternilai harganya. Perumpaman syurga itu seperti perbezaan antara kaca dengan permata. Kaca itu murah dan mudah didapati di mana-mana. Tetapi permata itu mahal, amat sukar untuk mendapatkannya.

                Sudah ditakdirkan, jalan menuju ALLAH penuh dengan godaan, ujian dan kesukaran. Tetapi adakah kita sengaja menempah kesusahan? Tidak!

Kita hanya rela dan tega menerima kesusahan yang sementara demi kesenangan abadi di sana (akhirat). Hanya kerana menginginkan kesenangan disini (dunia), sebahagian manusia alpa tanggungjawab mereka. Lupakah kita kepada hakikat yang telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w yang mafhumnya :

“Neraka itu dipagari dengan penuh kenikmatan dan keseronokan,manakala syurga itu dipagari oleh ujian dan kesukaran.”

Namun aku, kamu dan kita tetap manusia biasa. Hati kita goyah jua di jalan mujahadah. Hati pasti merintih apabila pedih. Jiwa pasti terdera apabila berduka. Namun, kita tidak akan sesekali dipatahkan di jalan mujahadah. Patah sayap terbang jua. Biar jatuh bertongkat dagu, namun mengalah tetap tidak!

Mujahadah atau jalan menuju ALLAH itu berasal daripada perkataan jihad yang membawa maksud berjuang bersungguh-sungguh dengan penuh kegigihan. Di jalan ini, hamba yang menginginkan keredhaan ALLAH terpaksa berperang dengan musuh yang ada di dalam diri sendiri iaitu syaitan dan hawa nafsu. Perang dalam diri inilah yang paling hebat dan dahsyat.

               Ramai pendekar yang tersungkur. Bukan kerana tusukan senjata api, akan tetapi oleh godaan wanita. Ramai pula pendekar yang mundur, bukan kerana amukan musuh, akan tetapi oleh kerlipan kuasa dan harta.

                Bermujahadah ertinya berperang dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya menginginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Ia sangat membenci kebaikan, peringatan dan ketaatan.

                Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk 'menanam'. Di sana (akhirat) nanti barulah 'menuai'. Musim bertanam memanglah payah mencangkul, membaja, menjaga pepohon daripada serangga dan bermacam-macam lagi kesusahan. Apabila menuai nanti, baru terasa nikmat dan keseronokannya.

                Banyak kepahitan yang perlu ditempuh oleh orang mukmin untuk memperoleh syurga selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w :

“Syurga dipagari dengan kesusahan ,manakala neraka dipagari oleh keseronokan.”

                Demikianlah kehidupan, tidak ada yang percuma. Apatah lagi kehidupan di syurga. Justeru, marilah bersama-sama kita saling berpesan untuk rela menerima kepahitan yang sedikit dan sementara di sini demi menikmati kemanisan yang banyak dan abadi di sana. Alangkah jahilnya kita jika kita rela menanggung seksa yang begitu dahsyat dan kekal di akhirat hanya kerana nikmat yang sedikit dan sementara di dunia.
  
                Akan tetapi, kita ialah orang yang bijak kalau kita terus bermujahadah untuk melakukan perkara-perkara yang perlu dilakukan sehiggalah tiba saatnya kita boleh melakukan apa sahaja perkara yang kita ingini. Dimana? Bila? Jawabnya, di syurga!

                Sesungguhnya jalan mujahadah itu ialah jalan kita. Di jalan itu, sering berlaku perang dialog di dalam diri. Apabila susah melanda, kita merintih. Apabila godaan mendatang, kita cuba bertahan. Apabila nikmat menjelma, kita lega. Akan tetapi tidak lama, sukar pun datang mencabar, kita cuba sabar.

Bertepatan dengan firman Allah :

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Al-‘Ankabut [29:69]


“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami ( yang menjadikan mereka gembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...