Thursday, November 23, 2017

DIARI : DARI HATI PIMPINAN KE HATI AHLI BKPJM

KAHERAH, 21 OKTOBER 2017 : Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM) telah berjaya menganjurkan sebuah program ucaptama atau pun nama lainnya, Dari Hati ke Hati (DIARI). Program ini dilaksanakan setelah sebulan berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan BKPJM kali ke-35.

Program DIARI ini diadakan bagi pemimpin memperdengarkan pembawaan BKPJM pada tahun ini kepada ahli-ahli. Ia juga memberi peluang kepada ahli untuk memberi cadangan, muhasabah dan perbahasan bagi melancarkan lagi gerak kerja BKPJM supaya terus tersusun dan berjalan lancar terutamanya dalam memberikan kebajikan kepada anak-anak Johor di Mesir.

Pengarah DIARI, Ustaz Muhammad Zaki bin Ramle (Setiausaha Agung BKPJM 17/18) dan Timbalan Pengarah, Ustazah Amalina Syahirah binti Hamidun (Timbalan Ketua HEWI BKPJM 17/18) serta barisan jawatankuasa pelaksana telah diamanahkan untuk melaksanakan program ini di Dewan Kutub Sittah, Asrama Pelajar Johor Rabaah.

Dengan bertemakan "BKPJM keluarga kita", program DIARI mempunyai objektif untuk memberikan kefahaman kepada ahli berkenaan tema dan pembawaan BKPJM sesi 17/18, memperkenalkan barisan kepimpinan BKPJM sesi 17/18, melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri ahli serta menyuburkan sifat ukhuwah dalam kalangan ahli BKPJM.

Program ini dimulakan pada jam 3.30 petang dengan bacaan surah Al-Fatihah, nyanyian lagu negeri Johor, lagu BKPJM dan ucapan pengarah DIARI. Kehadiran ahli dalam program ini berjaya mencecah 100 orang. Ia telah dipengerusikan oleh Ustaz Mohammad Amirnurrashidi bin Mohd Azlan.

Antara slot yang telah berlangsung ialah Ucaptama Yang di-Pertua BKPJM, Ustaz Norhalim bin Lokman dan Ucaptama Ketua HEWI BKPJM, Ustazah Sanisah binti Morney serta pengenalan barisan AJKT dan AJK HEWI pada sesi ini. Program ini diserikan lagi dengan pelancaran unit-unit BKPJM antaranya Unit Dakwah dan Tarbiah (UDT), Unit Pengetahuan dan Bimbingan (UPB), Unit Kebajikan dan Kemanusiaan (UKK) dan Unit Ekonomi (UEKON). Setiap gimik perasmian yang disertakan oleh setiap unit dilaksanakan dengan jayanya.

Program Ucaptama YDP atau DIARI pada kali ini telah membuka ruang kepada semua ahli untuk berbahas sejurus selepas Pembawaan Yang di-Pertua dibentangkan. Usaha ini mendapat sambutan yang baik dengan seramai 10 orang ahli atau lebih telah membuat perbahasan, memberikan cadangan serta muhasabah. Program DIARI melabuhkan tirainya pada jam 10 malam, diakhiri dengan sesi penggambaran, solat isyak berjemaah dan jamuan.

Semoga program ini dapat memberikan manfaat kepada ahli-ahli BKPJM dan merapatkan hubungan silaturrahim sesama mereka seperti yang diharapkan oleh BKPJM itu sendiri. Besar harapan BKPJM agar program ini dapat meneruskan survival legasi pimpinan dan ahli seterusnya menjaga keberlangsungan BKPJM pada masa hadapan.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...