Monday, November 21, 2016

[ KAJIAN ILMIAH ] Mudharabah: Pelaburan Menurut Islam


1) Pendahuluan

Allah menciptakan manusia sebagai makhluk yang saling memerlukan antara satu dengan yang lainnya. Seseorang yang memiliki modal dan harta memerlukan pengusaha untuk mengembangkan modalnya. Seseorang yang memiliki kemahiran pula memerlukan modal untuk menjalankan perniagaan. Kerjasama antara kedua pihak tersebut menghasilkan satu aktiviti ekonomi yang dipanggil pelaburan. Islam sebagai cara hidup yang syumul turut membincangkan berkaitan aktiviti-aktiviti ekonomi seharian manusia seperti jual beli, pinjaman, hutang, gadaian, pelaburan, mahupun syarikat. Perniagaan perkongsian antara pelabur dan pengusaha dibincangkan dalam Islam sebagai Al-Qiradh atau Al-Mudharabah.

2) Ta’rif
- Dari segi bahasa:
Mudharabah ( )المضاربة berasal dari kata adh-dharbu fil ardhi )الضاب ارب ( , iaitu berjalan di muka bumi. Amalan ini dinamakan sedemikian kerana pada kebiasaannya perniagaan akan membabitkan perjalanan jauh untuk memperolehi barangan, memasarkan, mengaut keuntungan dan sebagainya.
Mudharabah disebut juga qiraadh ( القاابا ), berasal dari kata al–qardhu ( القااب ) yang bererti al-qath’u القطاا (sepotong), kerana pemilik modal ‘memotong’ sebahagian dari hartanya untuk diperdagangkan dan ‘memotong’ keuntungan untuk diberikan kepada pengusaha.
- Dari segi istilah:
Menurut istilah fiqh pula, Mudharabah ialah akad perjanjian (usaha sama) antara kedua belah pihak, salah satu dari keduanya memberi modal kepada yang lain supaya diusahakan dan diniagakan, keuntungannya pula dibahagikan antara keduanya sesuai dengan ketentuan yang disepakati.
Mudharabah: Pelaburan Menurut Islam

3) Kesahihan Menurut Syara’
Mudharabah hukumnya harus dan dibenarkan oleh syara’
Sebuah hadis diriwayatkan oleh Abdullah Bin Abbas r.a. daripada bapanya, Al- Abbas bin Abdul Mutalib r.a.:
Apabila dia menyerahkan harta untuk pelaburan, dia akan meletakkan syarat kepada sahabatnya iaitu dia tidak boleh membawa barangan ini melalui laut atau melalui lembah dan tidak menggunakan harta ini untuk membeli haiwan yang mempunyai “hati yang lembab” (masih hidup). Jika dia melakukannya juga, dia perlu menggantinya. Syarat ini telah disampaikan kepada Rasulullah s.a.w. dan baginda membenarkannya.
Nabi s.a.w. bersabda bermaksud:
Ada tiga perkara yang diberkati iaitu jual beli secara hutang, muqaradhah (mudharabah) dan mencampurkan gandum dan barli untuk kegunaan rumah bukan untuk dijual.
Para sahabat juga diriwayatkan pernah melakukan perniagaan ke atas harta yang akan diserahkan kepada Khalifah Umar r.a.. Saidina Umar menetapkan perniagaan dan keuntungan daripadanya sebagai qiradh atau mudharabah.
Kaedah Fiqh pula menyebutkan semua bentuk muamalah boleh dilakukan kecuali ada dalil yang mengharamkannya.

4) Rukun Mudharabah

a. Lafaz (sighah)
Penawaran dan persetujuan dengan kata-kata yang menunjukkan persetujuan untuk mewujudkan kontrak dan perkongsian.
Contoh ijab: “saya melabur pada anda”, “ saya serahkan urusan pada anda”, “ambillah wang ini dan niagakanlah. Keuntungan yang diperolehi akan dibahagi dua sesama kita”.
Contoh qabul: “saya terima” atau “saya setuju”.
Lafaz ini pula mestilah terus berkuatkuasa. Ia tidak sah jika tertakluk kepada sesuatu syarat. Contohnya pemodal memberitahu “jika Ramadhan tiba, saya laburkan harta saya kepada anda”.
Persetujuan juga mestilah berturutan dengan penawaran.
Mudharabah: Pelaburan Menurut Islam

b. Pihak yang berakad
Iaitu pelabur dan pengusaha. Kedua-duanya mestilah mempunyai kelayakan sebagai wakil dan pewakil. Pelabur sebagai pewakil manakala pengusaha sebagai wakil. Jika salah satu pihak tidak dibenarkan menguruskan harta kerana kebodohan ( safih iaitu tidak bijak menguruskan harta), kontrak tersebut tidak sah. Demikian juga jika pengusaha seorang buta. Akan tetapi, akad masih sah jika pelabur seorang buta kerana orang buta dibenarkan mewakilkan harta pada orang lain.

c. Modal
Tertakluk pada syarat-syarat berikut:
i. Mestilah berbentuk matawang seperti dirham atau matawang yang digunakan hari ini. Tidak boleh berbentuk barangan perniagaan.
ii. Mestilah dalam jumlah tertentu. Pelaburan tidak boleh melibatkan suatu jumlah yang tidak tepat.
iii. Mestilah dalam bentuk tunai. Pelaburan tidak sah jika membabitkan harta yang berada dalam tanggungan seseorang seperti hutang.
iv. Modal mesti diserahkan kepada pengusaha sepenuhnya. Hanya pengusaha yang berhak menggunakannya dalam perniagaan.

5) Syarat-syarat Mudharabah
a. Kebebasan menjalankan urusan tanpa tertakluk kepada syarat tertentu.
- Pelaburan mestilah bersifat terbuka. Tidak sah pelaburan jika pelabur menetapkan pengusaha perlu membeli barangan tertentu seperti sejadah atau barangan jenis tertentu daripada orang tertentu atau berurusan dengan orang tertentu sahaja.
Contoh: Pelabur menetapkan supaya pengusaha perlu membeli gandum milik Zaid atau hanya boleh membeli dan menjual kepada Amru atau perlu membeli barangan dari kampung tertentu. Maka pelaburan ketika ini tidak sah.
- Pelaburan mestilah tidak terikat dengan tempoh tertentu.
Sekiranya satu tempoh yang tidak dapat memenuhi tujuan pelaburan ditetapkan, iaitu apabila pembelian, penjualan dan pemasaran tidak dapat dilaksanakan serta untung tidak dapat diperolehi, maka pelaburan ketika itu tidak sah.
Sekiranya tempoh yang ditetapkan mencukupi untuk menjalankan pembelian dan selepas tempoh tersebut tamat pengusaha dilarang menjalankan pembelian lain tetapi dibenarkan menjalankan penjualan untuk mendapatkan keuntungan, pelaburan tersebut sah.
Mudharabah: Pelaburan Menurut Islam

b. Keuntungan hanya dikongsi antara pelabur dan pengusaha.
- Sekiranya keuntungan hanya dibayar kepada satu pihak sahaja maka kontrak tersebut tidak sah.
- Sekiranya disyaratkan keuntungan diserahkan sepenuhnya kepada pengusaha, kontrak tersebut tidak sah dan seluruh keuntungan menjadi milik pelabur. Pengusaha berhak mendapatkan upah yang sepadan dengan kerja.
- Jika disyaratkan keuntungan diserahkan sepenuhnya pada pelabur, kontrak ini juga tidak sah. Dalam keadaan ini, pengusaha tidak berhak memperolehi sebarang hasil kerana kerja yang dilakukan adalah secara sukarela.
- Keuntungan setiap pihak mestilah ditetapkan pada kadar tertentu. Contohnya 25 peratus, 50 peratus, dan sebagainya.
- Kontrak tidak sah sekiranya keuntungan ditetapkan menurut jumlah tertentu contohnya keuntungan salah satu pihak ialah sebanyak RM1000 daripada keuntungan.
- Keuntungan hanya dibahagikan antara pelabur dan pengusaha sahaja tanpa orang ketiga kecuali jika orang ketiga itu juga bekerja dan menjadi pengusaha. Dalam hal ini, pelabur seolah-olah membuat kontrak dengan dua orang pengusaha atau lebih.

c. Pengusaha mestilah bebas menguruskan modal dan bekerja.
- Kontrak tidak sah sekiranya wujud syarat pelabur perlu bekerja bersama pengusaha
- Akan tetapi jika syarat tersebut tidak wujud, dan pelabur turut membantu pengusaha dalam sesetengah kerja, maka tindakan ini adalah dibenarkan.

6) Status Pengusaha
Pengusaha adalah pihak yang memegang amanah (yad amanah) terhadap modal dan barangan yang dibeli menggunakan modal tersebut. Bermakna dia tidak perlu membayar ganti rugi terhadap modal pelaburan yang musnah dalam pegangannya kecuali jika disengajakan oleh pengusaha atau disebabkan kecuaiannya.

7) Kerugian Ditanggung Oleh Pelabur
Oleh kerana pengusaha dianggap sebagai orang yang memegang amanah, segala kerugian ditanggung oleh pelabur sahaja. Pengusaha menanggung kerugian masa dan usaha. Kecuali jika kerugian disebabkan oleh pengusaha dan kecuaiannya, maka pengusaha perlu bertanggungjawab atas kerugian modal tersebut.
Mudharabah: Pelaburan Menurut Islam

8) Garis Panduan Pengusaha
i. Pengusaha tidak boleh membeli barangan untuk pelaburan melebihi modal dan keuntungan yang diperolehi.
ii. Pengusaha tidak harus membawa modal bersama dalam perjalanan tanpa izin pelabur. Jika pelabur menetapkan syarat jika ingin membawa modal bersama dalam perjalanan, pihak pengusaha perlulah mematuhinya.
iii. Pengusaha tidak boleh menjual secara hutang tanpa izin pelabur.
iv. Pengusaha tidak boleh melabur pada pengusaha lain menggunakan modal pelabur.
v. Pengusaha tidak boleh menggunakan modal pelaburan untuk kegunaan peribadi ketika menetap di tempat perniagaan.
Menurut Mazhab Hanafi, pengusaha berhak mengambil semua perbelanjaannya daripada modal ketika dalam perjalanan kerana dalam perjalanan tersebut, segala tindakannya tertumpu hanya untuk pelaburan.

9) Tanggungjawab Pengusaha
- Pengusaha bertanggungjawab melakukan semua kerja sendiri bagi kerja-kerja yang kebiasaannya dilakukan oleh ahli-ahli perniagaan secara sendiri.
Sekiranya pengusaha mengupah orang untuk melakukan kerja yang kebiasaanya perlu dilakukan sendiri, upah tersebut perlu dibayar daripada wangnya sendiri bukan dari wang pelaburan.
- Manakala bagi kerja yang kebiasaannya tidak perlu dilakukan sendiri, pengusaha boleh mengupah orang untuk melakukannya menggunakan wang pelaburan. Walaubagaimanapun sekiranya pengusaha melakukannya secara sukarela dia tidak boleh mengambil upah kerana tindakannya seperti mengupah diri sendiri dan ini tidak dibenarkan.
10) Bilakah Pengusaha Memperolehi Keuntungannya?
Pengusaha berhak mengambil bahagian keuntungan setelah semua modal dan keuntungan selepas perniagaan diperolehi. Pelabur dan pengusaha akan membahagikan keuntungan selepas modal pelaburan diasingkan.
Mudharabah: Pelaburan Menurut Islam

11) Penamatan Kontrak Mudharabah
i. Pembatalan.
Kontrak mudharabah ialah kontrak yang tidak lazim (jaiz). Oleh itu, kedua-dua pihak berhak membatalkannya pada bila-bila masa, sama ada sebelum digunakan oleh pengusaha atau selepasnya, dan sama ada pihak kedua hadir atau tidak hadir, setuju ataupun tidak setuju.
ii. Kematian salah satu pihak.
Syarat sah kontrak ialah kelayakan melantik wakil. Sekiranya salah satu pihak meninggal dunia, kelayakan ini terbatal. Walaubagaimanapun, sekiranya pelabur meninggal dunia, pengusaha berhak menjual barangan yang ada bersamanya untuk mendapatkan semula modal. Sekiranya pengusaha meninggal dunia, waris pengusaha tidak boleh menjalankan pelaburan sekiranya tidak mendapat izin daripada pelabur.
iii. Salah satu pihak gila atau pengsan.
Dalam keadaan ini, pengusaha akan menguruskan modal jika pelabur menghidap gila atau pengsan. Sementara penjaga(wali) pengusaha akan menguruskan modal dengan izin pelabur jika pengusaha menghidap gila atau pengsan.
iv. Kemusnahan modal pelaburan.
Dengan kemusnahan modal pelaburan, kontrak tersebut tidak membawa apa-apa makna lagi. Walau bagaimanapun, pengusaha akan tetap mendapat bahagiannya jika kemusnahan tersebut disebabkan oleh pelabur. Pelabur juga berhak menuntut kembali modal sekiranya kemusnahan disengajakan oleh pengusaha.

12) Penutup
Kerjasama Mudharabah sangat digalakkan dalam Islam bagi menyuburkan sifat bantu membantu dan saling melengkapi sesama saudara. Harta dan kepakaran masing-masing dapat digunakan bagi manfaat bersama yang seterusnya menjana ekonomi umat Islam. Islam juga tidak menghalang sesuatu perniagaan itu asalkan mengikut garis panduan syariah serta mengamalkan prinsip-prinsip yang mulia dan jauh daripada penipuan dan kezaliman.

Disediakan Oleh : Unit Ekonomi BKPJM Sesi 2016/2017

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...