Tuesday, November 15, 2016

DARI BKPJM UNTUK BKPJM:UCAPTAMA KETUA HEWI BADAN KEBAJIKAN PELAJAR-PELAJAR JOHOR DI MESIR 2016/2017


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته..
ان الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلن تجد له وليا مرشدا اشهد ان لا اله الا الله و اشهد ان محمد رسول الله..أما بعد

Yang dimuliakan saudara pengerusi majlis, yang dihormati Yang diPertua Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Johor di Mesir Ustaz Muhammad Arif bin Hamzah. Yang berusaha ,Ustaz Ahmad Helmi bin Subhan selaku pengarah program. Yang dikasihi sahabat pimpinan AJKT & HEWI BKPJM 2016/2017  serta hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Selaut kesyukuran dipanjatkan kehadrat Ilahi diatas segala nikmat yang dikurniakan. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi Muhammad SAW ,ahli keluarga baginda serta para sahabat RA yang setia berkorban dalam menyokong risalah perjuangan Islam.

Alhamdulillah HEWI BKPJM pada sesi ini meneruskan lagi pentadbiran dengan membawa tema baru iaitu MEMBENTUK GENERASI MITHALI bagi mempertingkatkan pencapaian demi pencapaian kearah yang lebih cemerlang.
Sidang hadirin sekalian,

 Hari ini, Keberadaan kita dibumi  Anbia bukan hanya selaku mahasiswa yang menuntut ilmu sahaja tetapi sebagai seorang khalifah yang akan menyebarkan dan mempraktikkan ilmu di sini dan di Malaysia nanti. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kepada kita untuk mempersiapkan diri untuk menjadi generasi yang berilmu, berkemahiran dan berketerampilan. 

Bertemakan MEMBENTUK GENERASI MITHALI besarlah harapan diperingkat HEWI  menginginkan agar satu gelombang transformasi yang menitik beratkan kefahaman Islam, kesatuan ukhuwwah dan kemahiran gerak kerja daripada pelbagai sudut dapat dijayakan dan direalisasikan  bersama-sama dalam lapangan kerja di dalam BKPJM secara umumnya.

Di bawah tema HEWI BKPJM terdapat 3 subtopik :
1) Menerapkan kefahaman dan keilmuan Islam.
2) Mengukuhkan ukhuwwah islamiah dan kesatuan di antara mahasiswi.
3) Meningkatkan kualiti gerak kerja dan kemahiran mahasiswi.

Hadirin yang dirahmati sekalian,untuk subtopik yang pertama:

1) MENERAPKAN KEFAHAMAN DAN KEILMUAN ISLAM

Dr.Yusof Qardhawi didalam kitabnya واجب الشباب المسلم اليوم  telah mengariskan kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu muslim ialah memahami islam dengan pemahaman yang sebenar. Sabda Rasulullah S.A.W  :

"طلب العلم فريضة على كل مسلم"
menuntut ilmu adalah diwajibkan ke atas setiap individu muslim.

Oleh itu, memahami islam dengan kefahaman yang sebenar, mengamalkannya serta menyeru kearahnya adalah menjadi satu kewajipan kepada kita. Penghayatan ilmu yang sebenar haruslah disemai dalam diri mahasiswi islam bagi mencerna minda supaya benar-benar memahami konteks islam serta kewajipan sebagai seorang muslim.

Dewasa kini, dunia melihat umat islam dipengaruhi oleh pelbagai bentuk serangan pemikiran daripada segenap sudut kehidupan. Maka dalam menongkah arus serangan pemikiran yang mengalir deras ini, usaha ke arah menerapkan kefahaman dan keilmuan islam yang sebenar dikalangan mahasiswi terutamanya adalah sangat wajar digiatkan.

          Pendokong-pendokong fahaman ideologi songsang seperti  sekularisme, pluralisme, kapitalisme dan sebagainya yang terus menyusur laju dalam menyampaikan dakyah mereka perlu disekat dengan cara menerapkan kefahaman Islam yang benar. Hal ini sangat penting demi menjaga  assolah manhaj Islam yang telah dibawa daripada zaman rasulullah S.A.W, para sahabat dan para salafussoleh sehinggalah hari ini.

Tanggungjawab di dalam memahami Islam itu tidaklah hanya terpundak  pada golongan pemuda sahaja. Bahkan, wanita juga turut mempunyai tangungjawab yang sama. Seperti mana yang telah disebutkan didalam surah An Nahl ayat 97, maksudnya
 
Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman , maka sesungguhnya kami akan hidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya kami akan membalas mereka  dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.

Justeru itu HEWI BKPJM memandang serius terhadap perkara ini kerana kefahaman islam yang sebenar merupakan perkara tuntutan dalam sebuah persatuan .
 Antaranya dengan menerapkan kefahaman dan keilmuan islam dalam kehidupan mahasiswi dan menjana kelangsungan generasi pelapis dalam setiap lapangan bagi membuahkan kefahaman.

Bagi merealisasikan subtopik tersebut HEWI BKPJM progresif dalam menyusun beberapa medan antaranya dengan menubuhkan Madrasah Saidatina Nafisah sebagai medan akademik pemikiran, forum isu semasa ,pembentangan kertas kerja serta meneruskan lagi program berkala seperti memperanankan muzakarah berkelompok sebagai agen penerang dan pemberi fahaman yang benar, menganjurkan kelas tutorial dan diskusi kitab-kitab terpilih .

Sahabat yang dirahmati ALLAH, untuk subtopik yang kedua:

2) MENGUKUHKAN UKHUWWAH ISLAMIAH DAN KESATUAN DI ANTARA MAHASISWI

    Kesatuan adalah tonggak kekuatan sebuah organisasi dan ia dapat direalisasikan melalui senergi ukhuwah yang padu dan utuh. Firman Allah SWT ada menyebut didalam ayatnya yang bermaksud :

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah SWT dan janganlah kamu berpecah-belah. Dan ingatlah nikmat yang Allah kurniakan kepada kamu ketika kamu bermusuhan, maka Allah menyatukan hati-hati kamu dan jadilah kamu dengan nikmatnya bersaudara.

 Definisi kesatuan melalui ukhuwah yang dikarang di dalam kitab risalah taalim ialah merupakan satu ikatan hati dan jiwa yang dapat ditautkan dengan akidah Islamiah.

Sahabat seakidah sekalian,
BKPJM telah lama bertapak selama empat dekad, ini bermakna keberadaaan BKPJM ini adalah hasil daripada keutuhan ukhuwah sahabat seakidah dari dahulu hingga kini. Bahkan BKPJM masih lagi terus utuh dengan adanya sokongan daripada ahli tidak kira daripada pengajian islam mahupun sains kesihatan.

Keutuhan dalam kesatuan amat dititik beratkan malahan  Syed Mustafa Masyhur juga berkata didalam kitab karangannya kekuatan yang utama adalah kekuatan dalam kesatuan

Justeru itu, semua pihak perlu memainkan peranan penting dan bertindak dengan kreatif dalam mempelbagaikan dan memperkasakan ukhuwwah sesama mahasiswi. Oleh itu, HEWI BKPJM telah menyusun aktiviiti-aktiviti yang berkonsepkan ukhuwah seperti PERMATA , Ijtima Siswi, Katibah, ziarah ahli luar muhafazah dan riadah fatayat serta jaulah bagi mempelbagaikan medan dalam berinteraksi dan berkomunikasi sesama kita.

Hati yang diikat dengan ukhuwah mampu melahirkan rasa kasih dan sayang sesama kita seterusnya melahirkan gagasan generasi yang memberi pengorbanan yang lebih tinggi dan akan membuahkan kesatuan hati, fikrah dan amal sesama kita.
Dan ingatlah ukhuwah merupakan saudara bagi keimanan dan perpecahan adalah saudara bagi kekufuran.

     Sidang hadirin yang dihormati untuk subtopik yang terakhir adalah:

3) MENINGKATKAN KUALITI GERAK KERJA DAN KEMAHIRAN MAHASISWI

       Keunggulan mahasiswi Islam bukan hanya dinilai dari perspektif kecemerlangan akademik semata-mata malah penekanan kepada kualiti gerak kerja dan kemahiran perlu di ambil perhatian. Era globalisasi kini menuntut mahasiswi islam untuk mempertingkatkan kualiti gerak kerja dan kemahiran agar kredebiliti ini tidak dipandang enteng dan sepi oleh sesetengah golongan.

Justeru itu HEWI BKPJM telah mengambil inisiatif bagi memanfaatkan kedua-dua elemen penting ini ke dalam gelanggang mahasiswi untuk bergerak aktif.
 Sabda nabi muhammad SAW :

من اراد الدنيا فعليه بالعلم ومن اراد الأخرة فعليه بالعلم...
“Barang siapa yang mengkehendaki dunia maka keatasnya dengan ilmu dan siapa yang mengkehendaki akhirat keatasnya juga dengan ilmu…”.

Sebagai seorang muslim menjadi tuntutan kepada kita untuk meningkatkan produktiviti gerak kerja dari semasa ke semasa. Oleh itu, BKPJM secara optimis akan mengadakan himpunan aktivis secara berkala dan pemerkasaan Pusat Sumber Tenaga ( PESAT ) untuk kali ini. Tambahan lagi, ilmu kemahiran merupakan nilai tambah kepada mahasiswi Islam sebagai bekalan sebelum terjun ke medan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, HEWI BKPJM sangat optimis dalam menggerakan program yang berbentuk kemahiran seperti bengkel PA Sistem, bengkel penulisan, bengkel percussion dan sebagainya. Dan membentuk kelab dibawah unit-unit yang berkaitan seperti kelab nasyid, kelab silat, kelab khat dan sebagainya untuk melahirkan mahasiswi yang mahir dan berkualiti dalam bidang tersebut. 

Akhir kata Membentuk Generasi Mithali.
BKPJM Keluarga Kita

Sekian terima kasih.

أقول قولي هذا وأستغفر الله لي ولكم والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته...

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...