Friday, November 25, 2016

FEMINISME:RACUN PEMIKIRAN YANG KIAN MENULAR DI KALANGAN WANITA



DISEDIAKAN OLEH :NURHASLINDA BINTI GAZALI
MANTAN KETUA HEWI BKPJM 2013/2014

              Feminisme berasal dari bahasa Latin, femina yang bererti perempuan. Dalam kamus bahasa Inggeris feminism adalah kata benda dan diertikan sebagai sebuah doktrin atau gerakan yang menganjurkan persamaan hak antara lelaki dan perempuan di bidang sosial, politik dan ekonomi.

              Doktrin feminisme yang menular di kalangan wanita yang menginginkan kebebasan dan kesamarataan hak lelaki dan perempuan baik dari sudut memimpin, pembahagian harta pusaka, berpakaian, hak cerai lelaki terhadap prempuan dan lain-lain sebagai contoh golongan Sister In Islam(SIS) yang sangat lantang dalam memperjuangkan kebebasan hak wanita sedangkan agama Islam telah menjelaskan hak kebebasan wanita sejak dahulu lagi.

PERSAMAAN LELAKI DAN PEREMPUAN DALAM ISLAM

Allah berfirman :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً
“Wahai manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan Allah menciptakan pasangan (Hawa) dari dirinya, dan dari keduanya Allah mengembangkan lelali dan perempuan yang banyak”
(Surah An-Nisa : 1)

               Allah menegaskan bahawasanya lelaki dan perempuan berasal dari jenis yang sama dan Allah membiakkan keturunannya baik lelaki mahupun perempuan. Kesamaan lain antara lelaki dan perempuan dari sudut taklifan dalam melaksanakan hukum, yang mana balasannya adalah di akhirat kelak.Allah s.w.t  berfirman :

مَنْ عَمِلَ سَيِّئَةً فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا ۖ وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ يُرْزَقُونَ فِيهَا بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya, dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak di hitung.”
(Surah al-Ghafir : 40)

Allah menyeru kepada semua adalah sama iaitu bertaqwa kepada Allah, kewajipan solat, puasa, zakat,  haji, berbuat amal soleh, mencegah kemungkaran dan sebagainya.

 PERBEZAAN LELAKI DAN PEREMPUAN DALAM ISLAM

Allah berfirman :
لَمَّا وَضَعَتْهَا قَالَتْ رَبِّ إِنِّي وَضَعْتُهَا أُنْثَىٰ وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا وَضَعَتْ وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالْأُنْثَىٰ
“Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah Maryam : ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan(sedang yang aku harapkan ialah anak lelaki), dan Allah mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu, dan memang tidak sama anak lelaki dengan perempuan.”
(Surah Ali-Imran : 36)

              Dalam hal aurat , Islam mewajibkan perempuan menutup aurat kecuali muka dan tapak tangan, berbeza aurat lelaki hanya pusat hingga ke lutut. Perbezaan yang lainnya adalah khatib, imam solat Jumaat, qadhi adalah lelaki sedangkan perempuan tidak diwajibkan. Terdapat pula hukum khusus bagi perempuan seperti hukum tentang haidh,tempoh ‘iddah, kehamilan, penyusuan dan sebagainya.

              Dari sudut kepimpinan keluarga, Islam memandang  perempuan bukan hanya sebagai pelayan bagi suami malah, sebagai pelengkap bagi suami dalam urusan rumah tangga dan juga saling mencurahkan kasih sayang antara satu sama lain. Menurut pandangan Islam, perempuan adalah makhluk yang mulia dan terhormat, yang memiliki hak dan ketetapan yang telah di syariatkan Allah SWT.

ISLAM AGAMA YANG SEMPURNA

Firman Allah s.w.t:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagimu”
(Surah Al-Maidah : 3)

Jika dilihat dengan lebih teliti  wanita juga merupakan salah seorang yang mempunyai kepentingan yang begitu kuat dalam mengurus hal berkaitan rumah tangga.Wanita juga merupakan sosok yang sangat berperanan dalam mendidik, mengurus, merawat zuriatnya iaitu bakal generasi penerus Islam seharusnya mengetahui taktik bagaimana Barat dalam usaha memperdaya umat Islam melalui berbagai taktik serangan pemikiran yang licik.Wanita yang telah diracuni oleh pemikiran Barat akan memiliki impak yang besar bagi anak anaknya dan sudah tentu anak yang diasuhnya memiliki pemikiran yang tidak jauh dari ibunya yang merupakan guru utama mereka, mereka mendidik anaknya pada jalan yang salah dan tidak sesuai dengan aturan Islam, yang akan memandang Islam adalah sesuatu yang menurut mereka tidak sesuai dengan peredaran zaman dan berkiblat kepada Barat yang moden, apakah generasi Islam yang demikian yang kita inginkan ? Begitulah salah satu strategi barat untuk melemahkan kekuatan Islam melalui generasi Islam. Padahal generasi Islam memiliki peranan penting dalam memegang tongkat kemajuan dari generasi sebelumnya, jika generasi baru tersebut sudah ditanamkan oleh racun yang begitu bahaya semenjak dari kecil maka akan memiliki implikasi yang begitu dahsyat dalam peradaban umat Islam.

            Oleh itu,jelaslah bahawa agama selain dari agama Islam tidak di terima Allah apatah lagi ideologi -ideologi songsang yang dibawa oleh Barat. Seseorang muslim wajib berpegang teguh pada aqidah Islam dan meyakini setiap perintah dan larangan-Nya. Senario umat Islam hari ini sangat menyedihkan, mereka mengaku Islam tetapi tidak mengamalkan cara hidup Islam bahkan mempertikai setiap hukum hakam yang telah di tetapkan syara’.Wa Allahu A’lam

             


No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...