Sunday, December 23, 2018

MENJADI HAMBA KEPADA ALLAH BUKAN KEPADA PEPERIKSAAN


   Peperiksaan merupakan sebuah penilaian yang dilaksanakan untuk mengetahui tahap penguasaan atau pemahaman pelajar di sesebuah institusi pengajian, baik di peringkat persekolahan mahupun di universiti, dengan tertakluk kepada gred yang ditetapkan oleh jabatan pendidikan sesebuah negara terhadap setiap tingkatan penguasaan.  Justeru itu, semestinya semua pelajar menginginkan keputusan yang terbaik dalam setiap peperiksaan yang diduduki mereka.

 Namun, ada segelintir pelajar yang berpendapat bahawa peperiksaan adalah segala-galanya dalam menentukan hala tuju dan baik-buruk kehidupan mereka di masa hadapan, sehinggakan acapkali terlupa tujuan utama kehidupan iaitu untuk menggapai keredhaan-Nya.  Lantas, kita perlu sentiasa beringat dan kembali kepada fitrah seorang hamba iaitu menjadi hamba kepada Allah bukannya kepada peperiksaan yang hanya merupakan penetapan manusia semata-mata.

  Ramai manusia mencari kedudukan di sisi manusia, dengan menginginkan keputusan yang cemerlang.  Akan tetapi, berapa ramai yang beringat untuk menjadi hamba yang cemerlang di dunia dan di akhirat sana. Malah, ilmu yang bermanfaat bukan hanya bertujuan untuk cita-cita, akan tetapi untuk mengecapi sebuah makna. Dengan ilmu yang bermakna dan sikap yang ikhlas, kita dapat mendidik diri kita untuk melakukan amal islami dan menyumbang kepada agama Allah. Apabila belajar sesuatu ilmu hanya untuk mengejar cita-cita, pastinya ia merugikan masa kerana tujuan hidup bukan untuk bekerja dan mendapat pangkat tinggi semata-mata.  Akan tetapi, untuk menegakkan amar makruf nahi munkar  (Menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) di samping menjadi hamba Allah yang bertaqwa.  Bertepatan dengan firman Allah SWT:

 وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
Surah Adz-Zariyat, ayat 56

Maknanya: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk mereka menyembah-Ku "

  Ramai manusia mampu menghafal ilmu, tetapi tidak ramai yang mampu mengamalkan ilmu-ilmunya.  Hal ini kerana, hakikat ilmu itu bukan apa yang dihafal tetapi apa yang diamalkan. Secebis kata yang daripada Imam As-Syafie:

"Apabila kamu tidak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kejahilan"

"العلم نور، ونور الله لا يهدى لعاصي"

" Ilmu itu cahaya dan cahaya Allah tidak akan memasuki hati orang yang bermaksiat."


Oleh: Ustazah Nurhazirah binti Abdul Manan
Unit Sambutan dan Rehlah HEWI BKPJM 18/19

.::Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan::.
.::Kesyumulan Islam Tunjang Kesatuan Ummah::.
.:Memacu Profesionalisme Mahasiswi::.
.::Kebajikan dan Perpaduan::.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...