Sunday, January 29, 2017

PINDAAN AKTA RUU 355 :AGENDA MENONJOLKAN KEISTIMEWAAN SYARIAT ISLAM





Oleh :Farah Atiqah Binti Abdul Manan
Timbalan Unit Panitia Kecemerlangan Akademik Johor ( PAKAR ) BKPJM 2016/2017

Dan tidaklah harus bagi orang-orang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidak harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri, mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNnya maka sesungguhya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.
(Al-Ahzab : 36)

Syeikh Muhammad al-Ghazali menyebut bahawasanya “Apabila kamu ingin memelihara kebenaran dan menentukan batas-batasnya, kamu sepatutnya terlebih dahulu mengetahui kebenaran itu dan pelbagai perkara yang berkaitan dengan kebenaran tersebut.Kamu mungkin menimbulkan persoalan kenapa perkara-perkara ini begitu penting? Kenapa tidak mengetahui pelbagai perkara yang berkaitan dengan sesuatu kebenaran itu akan merosakkan dan menimbulkan kefahaman yang salah mengenai kebenaran tersebut?.Jawabnya adalah ,”Pengetahuan yang sempurna pasti memiliki batas-batasnya.” Ada pepatah arab menyebutkan bahawa (yang bermaksud) :

‘Kejahilan adalah musuh kepada dirinya sendiri.’

Syeikh Amir Syakib Arsalan melalui bukunya : “Mengapa umat Islam mundur dan mengapa umat selainnya maju?Beliau menyebutkan faktor utama penyebab kemunduran ialah faktor kejahilan dalam kalangan umat Islam sehingga ada di antara mereka tidak dapat membezakan antara arak dan cuka.Natijahnya, orang jahil akan pasrah sahaja menerima permasalahan yang dikemukan tanpa mengetahui cara untuk menolaknya.

Mutakhir ini, kita sering dimomokkan dengan isu pindaan Akta 355 yang telah menjadi tanda Tanya dan bualan rakyat Malaysia. Adakah pindaan ini releven dilaksanakan di bawah kuasa perundangan Islam?

Justeru, sebagai orang Islam kita perlu mengambil sikap cakna serta meneliti berkaitan isu-isu yang berlaku  di sekeliling kita.Dewasa ini ketidakjelasan dan salah faham isu meyebabkan timbul lontaran idea yang tidak lagi berpijak kepada hakikat yang nyata. Kegagalan memahami isu hasil daripada salah faham ketika menerima maklumat berpunca daripada kehilangan adab dalam kalangan pencari kebenaran akibat cuba mendapatkan ilmu daripada orang yang bukan ahli dalam sesuatu bidang tersebut.

Apakah sebenarnya Akta RUU 355? Apa tujuan pindaan akta ini? Apa kesan kepada sistem perundangan negara? Siapa sahaja yang terlibat? dan banyak lagi persoalan yang bermain di fikiran kita. Justeru, penawar bagi penyakit  kejahilan ini ialah merujuk, bertanya dan berbincang kepada ahli bidang dan juga pihak yang memahami dengan baik akan cadangan pindaan akta ini. Kesan daripada  salahfaham dan kejahilan akan terus menyebabkan keharmonian serta kehidupan masyarakat setempat terjejas. Ini akan merencatkan sebuah kejayaan yang sepatutnya dimiliki bersama.Sebelum menjawab semua persoalan ini pentingnya kepada kita semua untuk keluar daripada kegelapan kejahilan berkenaan sistem perundangan ini dengan mengetahui keistimewaan Syariat Islam itu sendiri.

Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, terdapat 7 keistimewaan Syariat Islam yang menjadikannya sentiasa relevan sepanjang masa di seluruh alam sejagat.
Antara 7 keistimewaan tersebut ialah :
1.    Rabbaniyyah (sifat bertuhan)
2.    Insaniyyah (kemanusiaan)
3.    Syumuliyyah (menyeluruh)
4.    Tawazun atau Wasatiyyah (seimbang)
5.    Waqieyyah (berpijak secara nyata)
6.    Wuduh (jelas)
7.    Thabat & Murunah (tetap dan anjal)

1. Rabbaniyyah (sifat bertuhan)

Rabbaniyyah yang dimaksudkan ialah Islam menjadikan tujuan akhir dan sasarannya jauh kedepan iaitu menjaga hubungan dengan Allah S.W.T dan meraih redhaNya kerana hakikat hidup di mata orang yang bodoh hanyalah untuk makan dan bersenang lenang di atas muka bumi ini tetapi bagi orang yang beriman dan berfikir itu hakikat kehidupan yang sebenar hanyalah untuk beribadah kepada penciptanya. Maka, buah daripada redha Allah itu akan menjadikan hamba itu pada fitrahnya. Fitrah iman yang merupakan sebuah kekayaan yang tidak ternilai. Mampu untuk hidup damai dan tenteram dengan ketenangan jiwanya di atas muka bumi ini.

2. Insaniyyah (kemanusiaan)

Bagi orang-orang yang mempelajari Islam akan tampak jelas kepadanya bahawa Islam itu sangat mementingkan aspek kemanusiaan dalam kehidupan manusia sehari-hari. Syariat Islam itu meliputi aspek-aspek kemanusian yang sangat luas baik dari aspek pembangunan syakhsiyah (keperibadian diri), muamalat (pergaulan), perundangan jenayah dan banyak lagi. Bahkan jika diperhatikan daripada 5 rukun Islam itu sahaja sudahpun meliputi aspek kemanusiaan. Sebagai contoh,Islam mewajibkan zakat sebagai sebuah sistem takaful sesama manusia yang mampu membebaskan manusia daripada kefakiran.

3. Syumuliyyah (menyeluruh)

Sungguh telah terbukti bahawa Islam itu bersifat sangat menyeluruh dan universal. Salah satu buktinya yang paling agung adalah Al-Quran. Al-Quran yang terpelihara sehingga kini biarpun usianya telah melampaui lebih 1400 tahun sejak diutuskan melalui baginda Rasulullah Muhammad S.A.W. Risalah yang dibawa bukan sahaja relevan sepanjang zaman di seluruh pelusuk alam bahkan relevan terhadap seluruh kehidupan tanpa mengenal batasan. Ketahuilah bahawa Islam itu negara dan tanah air, kerajaan dan rakyat. Islam itu akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan. Islam itu pengetahuan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman. Islam itu benda dan harta, pendapatan dan kekayaan. Islam itu jihad dan dakwah, tentera dan gagasan. Islam itu akidah yang sejahtera, ibadah yang betul.

4. Tawazun atau Wasatiyyah (seimbang)

Keseimbangan dalam Islam yang dimaksudkan ialah seimbang antara dua arah yang bertentangan di mana salah satu dari dua arah tersebut tidak mampu berpengaruh dengan sendirinya dan mengabaikan yang lain. Seimbang dengan maksud sesuatu itu tidak mampu untuk melampaui atau mengambil hak sesuatu yang lain. Sebagai contoh, Islam itu menuntut ibadah sebagai ruhiyyah tetapi Islam juga menuntut kerja sebagai maddiyah. Islam menuntut ibadah bersifat individu dan Islam juga menuntut untuk bernegara. Natijahnya, Islam itu menjadi adil dengan sifat wasatiyyah ini.


5. Waqieyyah (berpijak secara nyata)

Waqieyyah yang dimaksudkan oleh Islam ialah mengakui realiti alam sebagai suatu hakikat yang terjadi secara fakta dan mempunyai jisim atau sifat yang terlihat oleh pancaindera. Hakikatnya Islam melihat daripada sudut yang jauh lebih besar. Wujud yang abadi, lebih jauh daripada sekadar wujudnya alam ini. Waqieyyah Islam itu apabila setiap sesuatu itu dapat diterima oleh akal, membawa ketenangan jiwa dan tidak bertentangan dengan fitrah salimah. Islam mengajak beriman kepada Allah dengan menampakkan dalil-dalil kewujudan-Nya. Islam mengajak beriman kepada Rasul dengan menyempurnakan akhlak Rasulullah S.A.W dan mengurniakan mukjizat sebagai bukti kerasulan.

6. Wuduh (jelas)

Islam itu sangat jelas ajarannya dah tiada padanya keraguan sama sekali. Setiap sesuatu dihadirkan bersamanya dalil dan hikmah. Bahkan jelas Islam itu dibuktikan secara saintifik bagi saintis yang cuba menafikannya. Jelasnya Islam itu dibuktikan dengan syair dan kata-kata indah bagi penyair yang cuba mencabarnya. Jelasnya Islam itu dibuktikan dengan falsafah yang nyata bagi ahli falsafah yang cuba mendustakannya.

7. Thabat & Murunah (tetap dan anjal)

Islam itu tetap tetapi anjal. Hukum solat itu wajib tetapi gugur kewajipannya kepada wanita haid. Syarat sahnya solat zohor itu ialah didirikan dengan 4 rakaat tetapi diberikan rukhsah (keringanan) bagi musafir kepada 2 rakaat sahaja. Bangkai itu haram tetapi diharuskan untuk makan ketika dalam keadaan darurat.

Oleh itu, Ingatlah bahawa sebarang tindakan kita pada hari ini akan menjadi sejarah yang pasti dibaca dan diteliti oleh generasi kita akan datang. Dengan kedudukan Islam yang begitu tinggi dan terserlah ini, sudah tentu tiada sebab untuk Syariah Islam tidak dapat dilaksanakan atau sekurang-kurangnya diperkasakan dalam konteks perundangan yang sedia ada. Sesungguhnya Syariat Islam tidak menuntut kepada seorang hamba untuk melaksanakan kewajipan yang diluar kemampuan.Syariat Islam juga tidak memberikan bebanan kepada seseorang hamba melebihi kemampuannya. Namun, semua ini adalah merupakan sifat dasar Syariat Islam  yang Syumul yang dapat ditegakkan dan salah satu caranya dengan mempunyai sistem mahkamah dan kehakiman yang kukuh dan mantap.

Akhir kalam,saya meyeru kepada seluruh mahasiswa dan umat Islam agar melihat  kepada maslahat untuk membina sebuah negara yang maju dan berdaya saing.Sudah menjadi tuntutan utama kepada kita semua menyokong pindaan Akta 355. Semoga dengan kewujudan perundangan ini, Allah Taala memelihara negara yang kita cintai dengan menatijahkan  Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur.Amin. Wa Allahu A’lam.

“Kebersamaan Mengukuh Kesatuan”

“Membentuk Generasi Mithali”

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...