Sunday, January 1, 2017

MENDEPANI ZAMAN FITNAH YANG KIAN MENCABAR



Oleh :Ustaz Mohamad Azrul Bin Raf’an
Ketua Research & Development(R&D),Jabatan Fasilitator BKPJM 2016/2017

    Setiap yang bernyawa pasti akan mati dan menuju pengakhirannya. Begitu juga dengan dunia yang sedang kita diami detik ini, semakin hari  semakin hampir kepada penghujungnya. Ini adalah satu kebenaran yang tidak boleh disangkal lagi oleh sesiapa pun, kita boleh melihat kebenarannya melalui bukti peringatan dariNya melalui (Al- Quran) dan KekasihNya melalui (Hadis) Baginda SAW.

     Bukanlah penghujung dunia yang perlu dibicarakan dan dikhuatirkan akan tetapi yang perlu difikirkan adalah bagaimana untuk kita menghadapi saat saat terakhir dunia yang mana akan berlaku pelbagai kerosakan dan kekacauan yang sangat dahsyat di atas muka bumi. Ini jelas melalui sabdaan Baginda Nabi Muhammad SAW  yang berbunyi :

“Akan terjadi menjelang kiamat nanti hari-hari di mana ilmu agama ditarik dan kebodohan bermaharajalela di mana-mana serta terjadi berbagai bentuk kekacauan di seluruh penjuru bumi. Kekacauan yang dimaksudkan berbentuk pembunuhan”.
(Muttafaqun ‘Alaih)

    Sekitar isu semasa yang berlaku pada hari ini membuktikan kebenaran apa yang telah dikhabarkan oleh Baginda SAW.Cuba kita renungkan kembali apa yang sedang berlaku ketika ini, orang Islam di Rohingya, Myanmar cuba di usir dari tempat mereka sendiri dan lebih menyayat hati mereka di bunuh tanpa rasa belas kasihan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

   Begitu juga apa yang sedang berlaku di Aleppo, Syria penduduk Muslim dibantai dengan sangat teruk dan dikepung dengan sangat dahsyat sehingga tidak mampu keluar dari tempat mereka sendiri untuk mendapatkan perlindungan.

    Di dalam kitab yang bertajuk Nihayatul Alam ( tanda tanda berlakunya hari kiamat ) yang dikarang oleh  Sheikh Duktur Muhammad bin Abd Rahman beliau ada menyebutkan beberapa tanda kecil sebelum sampai kepada pengakhiran dunia. Antaranya ialah :

1 1)  Fitnah tersebar secara berleluasa.
2 2)  Wanita berpakaian tetapi telanjang ( tidak mengikut syariat ).
3 3)   Menuntut ilmu bukan kerana Allah.
4 4)   Memutuskan silaturrahim sesame manusia.
5 5)   Penghalalan sutera untuk lelaki.
6 6)   Penghalalan arak.
7 7)   Meninggikan suara di dalam masjid.
8 8)   Pemimpin dari golongan yang fasik.
9 9)   Menyembunyikan kebenaran.
110) Tersebarnya kejahilan.

    Dari sudut lain pula kita dapat melihat bagaimana orang Islam pada hari ni diserang dari segenap aspek kehidupan terutamanya serangan dalaman iaitu serangan dari sudut pemikiran.Kita dapat lihat munculnya ideologi-ideologi Barat yang semakin berleluasa meracuni pemikiran umat Islam baik dikalangan para ilmuwan serta cendekiawan atau pihak awam.Tanpa adanya landasan syariat dan rujukan dari Al-Quran dan As-sunnah akan membuatkan diri umat Islam mudah terpengaruh dan terikut-ikut rentak budaya mereka.Dampaknya, muncullah golongan Sekularisme yang mengatakan membawa manhaj Islam yang sempurna akan tetapi pada hakikatnya mereka hanya mengambil separuh daripada ajaran Islam. Contohnya bila disebut tentang berjihad di jalan Allah (menegakkan hukum Allah) di atas muka bumi mereka diam membisu.

  Selain itu,kita boleh lihat pada hari ini bagaimana orang Islam kian dimomok dan dilalaikan dengan media elektronik  dimana pelbagai hiburan yang tidak terkawal ditayangkan di kaca televisyen sehingga membuatkan mereka kalah dan gagal membendung diri dari keseronokan media elektronik bahkan menjadikan mereka golongan yang lalai daripada mengingati Allah. Inilah hakikat yang sedang melanda seluruh umat Islam pada hari ini.

  Justeru itu, bagi menghadapi situasi yang semakin gentir ini kita selaku umat Islam perlulah berwaspada dengan mempersiapkan diri dalam segenap aspek kehidupan supaya kita terselamat dari fitnah akhir zaman yang semakin dahsyat melanda bumi ketika ini. Beberapa tips yang ingin dikongsikan bagi mendepani fitnah akhir zaman ini. Antaranya :

   -  Menguatkan ikatan kehambaan kepada Allah dan sentiasa bermohon perlindungan daripadaNya.
2  - Berusaha mendalami ilmu agama dan sentiasa berdamping dengan orang-orang soleh.
3  - Sentiasa bersama Jemaah Islam yang mebawa manhaj Islam secara syumul.
4  - Sentiasa mengingati mati dan pengakhiran dunia yang pasti berlaku.
5  -  Mengamalkan bacaan surah Al Kahfi.
6  -  Mengambil cakna akan isu umat Islam yang berlaku dan berusaha membantu mengikut kemampuan diri.

Kesimpulannya,tiada solusi yang terbaik bagi diri kita selaku umat Islam untuk mampu berdepan dengan arus zaman fitnah ini melainkan dengan kembali dan berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah.Sepertimana sabda Rasulullah SAW :

اَنَّ رَسُوْلَ اللهِ ص قَالَتَـرَكْتُ فِـيْكُمْ اَمـْرَيـْنِ لَنْ تَضِلُّـوْا مَا تَـمَسَّكْـتُمْ بِـهِمَاكِـتَابَ اللهِ وَ سُنَّـةَ رَسُوْلـــِهِ.
Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda : “Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang teguh kepada keduanya,iaitu : Kitab Allah(Al-Quran) dan sunnah Rasul-Nya”. [HR. Malik]

WaAllahu A’lam

“KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN”
“MEMBENTUK GENERASI MITHALI”

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...