Tuesday, March 26, 2019


[ WANITA YANG DIRINDUI SYURGA ]

  Fahamilah seseorang wanita itu melalui Al-Quran, kerana wanita itu terlalu istimewa di mata Tuhan.

  Menurut pandangan Islam, bilamana diteliti dalam setiap ayat indah Kalamullah, pasti banyak didapati hukum-hakam yang ditujukan buat kaum Hawa khususnya, bukanlah kerana terzahirnya kekurangan mahupun kelemahan, akan tetapi inilah tanda-tanda betapa besarnya kasih sayang Allah buat hambanya yang bernama wanita.

  Sudah menjadi Sunnatullah bagi anak Adam apabila diberikan kepada mereka berbagai kenikmatan yang mereka cintai dan indah di pandangan mereka dengannya di dunia  sebagaimana dalam firman Allah Ta'ala:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلْبَنِينَ وَٱلْقَنَٰطِيرِ ٱلْمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلْفِضَّةِ وَٱلْخَيْلِ ٱلْمُسَوَّمَةِ وَٱلْأَنْعَٰمِ وَٱلْحَرْثِ ذَٰلِكَ مَتَٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَٱللَّهُ عِندَهُۥ حُسْنُ ٱلْمَـَٔاب

maksudnya,“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu:wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak, dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (Syurga).”
(QS. Ali Imran:14)

  Berdasarkan ayat Allah Ta'ala, maka jelas kita lihat bahawa Allah mendahulukan wanita sebelum yang lainnya, indah setiap aturan kalam Allah yang cuba disampaikan melalui Kitabullahil Aziz, menunjukkan isyarat bahawa wanita solehah secara umumnya adalah suatu bentuk wasilah kepada sesebuah ketenangan juga sebaik-baik perhiasan di dunia ini.

  Akhlak persis Rasulullah SAW menjadi salah satu sifat yang perlu dicontohi umat masa kini, kerana prinsip Baginda telah menetapkan wanita adalah sesuatu yang paling beliau hormati dan sayangi, jauh sekali dari menyakiti kerana hakikat seseorang wanita itu mempunyai hikmah tersendiri dalam memainkan peranan penting dalam menggerakkan bahtera Islam.


  Bukalah kembali sirah-sirah terdahulu yang terkait rapat dengan semangat perjuangan srikandi Islam yang jauh lebih mencabar ujiannya jikalau ingin dibandingkan dengan ujian wanita hari ini. Antaranya, kisah seorang wanita yang menjadi dambaan syurga iaitu Asiah binti Muhazim, isteri Firaun. Keimanan Asiah diuji sewaktu berhadapan dengan seorang suami yang jauh mengingkari perintah dan arahan Allah SWT. Beliau diuji dengan pelbagai seksaan daripada suaminya, harta dan nyawa menjadi taruhan bila berdepan dengan pelbagai ujian yang dahsyat menggugat keimanan. Asiah tetap teguh dengan pendiriannya selaku seorang hamba dan menyerahkan dirinya hanyalah kepada Allah.

  Kisah Asiah ini bukanlah hanya untuk wanita beriman, akan tetapi lebih mendasar, daripada itu untuk kita lebih memahami betapa pentingnya hidup bertunjangkan ketakwaan dan keimanan. Mahkota seseorang wanita itu letaknya pada jiwa dan hidupnya yang bertuhankan yang maha Esa semata-mata.

  Akhir kalam, khususnya buat para wanita, yakinlah Allah itu sentiasa ada dan sentiasa punya cara tersendiri untuk mendidik dan mentarbiah wanita dengan melalui wasilah yang berbungkuskan ujian dahsyat diluar, akan tetapi hikmah yang besar bakal tersingkap bilamana seseorang wanita itu benar-benar memandang setiap satu ujian Allah dengan pandangan cinta dan kasihNya. Maka kerana  itu, wanita yang dirindui syurga bukanlah dilihat dari paras rupa, harta mahupun pangkat yang tinggi, akan tetapi berdasarkan baiknya segumpal darah yang bernama hati, penuh ketenangan disaat ujian menimpa. Maka, milikilah hati dan akhlak yang bertunjangkan syariat Islam demi membentuk generasi yang kian mendatang.

  Teruskan menjadi wanita yang gigih memberi manfaat buat agama kerana itulah wanita yang dijanjikan syurga.

Wallahualam.

Izzatul Mardhiah binti Huslizan,
Kuliah Syariah Islamiah,
Setiausaha Hal Ehwal Wanita Islam BKPJM 18/19.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...