Friday, May 4, 2018

HAMBA DAN PENCIPTA



DISEDIAKAN OLEH: USTAZAH NUR BAIDURI BINTI MOHD ZAMRI
UNIT DAKWAH DAN TARBIAH HEWI BKPJM 2017/ 2018


Allah S.W.T berfirman:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌۖ أُجِيبُ دَعۡوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِۖ فَلۡيَسۡتَجِيبُواْ لِي وَلۡيُؤۡمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمۡ يَرۡشُدُونَ

Terjemahan: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

(Surah al-Baqarah: 186)         

Menyebut tentang kenal dan cinta kepada Allah S.W.T, adakah kita menyedari bagaimana Allah S.W.T menginginkan kita untuk mengenaliNya? Jika kita tidak pernah merasai kesakitan, mungkinkah kita akan mengenal Allah sebagai Maha Penyembuh?

Jika kita tidak pernah merasai kesedihan, mungkinkah kita akan mengenal Allah S.W.T sebagai Maha Pengasih? Jika kita tidak pernah melakukan kesilapan, mungkinkah kita akan mengenal Allah S.W.T sebagai Maha Pengampun?

Jika kita tidak pernah ditimpa masalah, mungkinkah kita akan mengenali Allah S.W.T sebagai Maha Mengetahui? Jika kita tidak pernah merasai kesusahan, mungkinkah kita akan meyakini bahawa Allah S.W.T akan datang menyelamatkan?

Jika kita diberikan segala-galanya, mungkinkah kita akan mengenal erti bersyukur kepada Allah S.W.T? Jika Allah S.W.T tidak pernah memperbaiki kita, mungkinkah kita akan menyedari bahawa Allah S.W.T menyayangi hamba-hambaNya?

Ujian Allah S.W.T untuk kebaikan manusia.

Kerana itulah kita digelar hamba. Hamba kepada Tuhan yang Maha Esa. Bukan kuli, bukan majikan dan bukan pekerja. Hamba tiada apa-apa melainkan menerima rahmat, perlindungan dan kasih sayang daripadaNya.

Wahai sahabatku,

Cinta itu buta. Apabila sudah bercinta, yang susah akan menjadi senang, yang jauh akan menjadi dekat, yang letih akan menjadi kuat, yang sakit akan menjadi sihat. Namun begitu, benarkah kita juga begitu apabila berhadapan dengan tuntutan agama?

Atau adakah ibadat yang senang menjadi susah, yang dekat menjadi jauh, yang kuat menjadi letih, yang sihat menjadi sakit? Daripada sini terkandung sebuah penilaian, marilah kita muhasabah bersama.

Firman Allah S.W.T:

ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢

Terjemahan: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

(Surah al-Mulk: 2)

Setiap hamba akan membawa amalannya di hadapan Allah S.W.T. Para syuhada akan gembira dengan darah syuhada mereka. Para dermawan akan gembira dengan dermanya, para pejuang akan gembira dengan perjuangannya. Wahai sahabatku, apakah yang mengembirakanmu nanti di hadapan Allah S.W.T?

Dunia tempat sementara, akhirat kekal selamanya.
Apabila kita berbicara soal amalan, sedarkah kita bahawa dunia tempat kita beramal, manakala akhirat tempat menerima balasan akan segala hal yang telah diamanahkan? Apabila seseorang itu menarik nafas terakhirnya di dunia, tamatlah segala peluang untuk menyelesaikan segala amanah dan tamatlah masa untuk bertaubat. Putuslah segala peluang dan harapan. Bekal kita hanya apa yang telah diusahakan semasa hidup di dunia.
 Wahai sahabatku,

Apabila permasalahan sewaktu hidup kita diambil tahu, apatah lagi permasalahan sewaktu mati, sudah pasti perlu lebih lagi. Mesti diambil tahu kerana selepas mati nanti, ada fasal syurga dan neraka. Masa hadapan yang sebenar ialah akhirat. Jika kita tidak ingin menggadaikan masa hadapan, hendaklah sentiasa fikir tentang akhirat. Amatlah tidak tepat jika menyebut tentang masa hadapan, akan tetapi dalam masa yang sama menggadaikan kepentingan akhirat.

Keinginan hati yang tidak pernah habis adalah peluang untuk meraih taqwa yang sebenar-sebenarnya jika didasari dengan cinta dan tujuan yang jelas semata-mata untuk mencari reda Allah S.W.T. Juga diraih dengan menggenggam syariat Islam malah membawanya di atas muka bumi Yang Maha Pencipta.

Dengan cinta yang tulus dan ikhlas kepada Allah S.W.T, akan terpandulah hati. Jiwa-jiwa di sekeliling yang kering dahagakan kasih sayang kian hidup subur bersama benih-benih yang menyatukan. Itu namanya cinta yang membawa bahagia, bahagia kerana keikhlasan.

Wahai sahabatku,

Permainan hidup yang dicipta manusia ‘mendidik’ kita untuk mengejar kehendak hawa nafsu, mengutamakan pangkat dan kekayaan serta keseronokan. Permainan ini umpama lautan yang amat dalam. Lautan yang gelap dan tiada hala tujuan. Tanpa bantuan yang secukupnya, nescaya manusia sesat di dalam kegelapan itu.

Lantaran itu, Allah telah menyediakan sebuah bahtera untuk manusia supaya tidak tenggelam dalam lautan yang sementara dalam mengharungi ujian Allah yang diterima. Taqwa adalah kapalnya manakala iman menjadi nakhodanya. Kapal melindungi kita daripada malapetaka umpama taqwa melindungi kita daripada bergelumang leka. Nakhoda membelah lautan mencari jalan umpama iman menjadi penyuluh kebenaran.

Hidup ini umpama berlayar di lautan.


Firman Allah S.W.T:

فَلَا تُطِعِ ٱلۡمُكَذِّبِينَ ٨

Terjemahan: Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah).

(Surah al-Qalam: 8)

Maka, ketika orang beriman mula memikirkan bahawa selepas kehidupan ada kematian dan selepas kematian ada kehidupan serta balasan ganjarannya di akhirat kelak, terbitlah keinsafan untuk kekal bersabar melaksanakan perintah Allah S.W.T. Tersemailah benihan tabah dalam beramal selagi usia dikandung badan. Mereka kekal akan istiqamah di jalan dakwah ini, sehinggalah kematian yang pasti datang menjemput ke alam abadi.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...