Saturday, March 24, 2018

HEDONISME PEROSAK MAHASISWA




DISEDIAKAN OLEH: USTAZ MUHAMMAD SYAKIR BIN SAHIMI
KETUA UNIT DAKWAH, UNIT DAKWAH DAN TARBIAH BKPJM 2017/2018 

Firman Allah Taala :

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ 

Maksudnya: Dan hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Surah Ali Imran: 104)

Umat Islam kini semakin lemah kerana semakin meninggalkan ajaran Islam dan jauh dari cara hidup muslim yang sebenar sebagaimana golongan terdahulu yang disebut sebagai as-Sabiqun.

Golongan as-Sabiqun ialah mereka yang mengikut petunjuk dan panduan al-Quran. Merekalah golongan yang membawa seruan dan tugas yang satu iaitu menyeru manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah dan mencegah daripada berlakunya perkara-perkara yang toghut (buruk) dan sesat dengan slogan amar makruf nahi mungkar melalui medium yang pelbagai dalam masyarakat yang berbilang.

Umat Islam kini juga didorong dengan penyakit cintakan dunia yang melampau sehingga terlupa akan kampung akhirat yang kekal abadi akibat jahil dengan panduan wahyu sebagai cara hidup Islam yang bersifat syumuliah dan fleksibel.

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan berita yang menyedihkan dan menjatuhkan imej dan integriti mahasiswa Islam di bumi anbia’ Mesir iaitu penganjuran program dengan dicemari dengan majlis tari menari bertemakan Bollywood. Tidak cukup sekadar itu, turut berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu majlis.

Adakah mahasiswa kini sedar mereka sedang ditimpa 'virus' hedonisme?
Majlis tersebut turut mendapat kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak kerana ianya bersifat hiburan yang melampau dan tersasar daripada batasan dan garis panduan Islam yang sebenar. Budaya hedonisme ini sudah semakin menular dan menjadi fenomena dalam kalangan mahasiswa yang inginkan kebebasan berlandaskan panduan akal yang terbatas. Mereka cenderung untuk dipengaruhi oleh nafsu semata-mata tanpa menyedari bahawa keasyikan dunia hanyalah sementara.

Tidaklah menjadi satu kesalahan untuk berhibur kerana Islam juga membolehkan umatnya untuk berhibur. Akan tetapi, hiburan yang dibolehkan bukanlah hiburan yang melampaui batasan sehingga menyimpang daripada etika dan panduan kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang mulia:

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما : كتاب الله وسنة نبيه - صلى الله عليه وسلم

Mafhumnya: Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara nescaya kamu tidak akan sesat selamanya sekiranya kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitabullah dan Sunnahku.

(Hadis Riwayat al-Hakim)

Hadis ini menjelaskan kepada kita agar sentiasa menjadikan panduan wahyu sebagai penyelamat umat akhir zaman dengan pembawaan slogan amar makruf nahi mungkar. Hal ini perlu diaplikasikan dalam kehidupan mahasiswa terutamanya  bagi membentuk biah (suasana) yang baik dan harmoni dalam kehidupan bermasyarakat.

Sekiranya merujuk kepada suasana pelajar-pelajar Malaysia di Mesir, penekanan amar makruf nahi mungkar telah diterjemahkan melalui medium Badan Kebajikan Anak-anak Negeri (BKAN) seperti Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir (BKPJM), Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM), Keluarga Pelajar-pelajar Perlis (KPP) serta BKAN-BKAN lain yang menjadikan agenda dakwah, kebajikan dan kesatuan sebagai matlamat utama persatuan. Persatuan-persatuan ini menjadi simbolik kesatuan dalam membendung kemungkaran dan maksiat yang semakin menular dalam kalangan mahasiswa Islam di Mesir.

Amar makruf nahi mungkar merupakan suruhan Ilahi.
Kesimpulannya, perlunya ada kesedaran yang tinggi dalam kalangan mahasiswa supaya cakna terhadap isu di sekitar mereka. Mereka perlu sedar bahawa agenda amar makruf nahi mungkar merupakan tuntutan yang lebih utama dalam Islam berbanding tuntutan-tuntutan yang lain. Tuntutan ini mewajibkan mahasiswa adalah agar sentiasa memperbaiki diri dalam segenap aspek kehidupan mereka dan berterusan dalam menyeru yang lain kepada kebaikan dan kefahaman Islam yang syumul.

JAUHI VIRUS HEDONISME !!!!

Wallahu a’lam.

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...