Tuesday, June 13, 2017

MUKJIZAT DAN KEMENANGAN UMAT ISLAM


OLEH : SITI NORFATIHAH BINTI MOHD ANUAR
BENDAHARI HEWI 2016/2017

                Allah telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat terbesar dan teragung yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. dan kewujudan Allah dengan segala sifat kesempurnaanya. Membaca al-Quran serta menghayatinya dan mengamalkannya adalah satu ibadah sunnah. Maka peristiwa Nuzul al-Quran memberi makna terlalu besar kepada umat Islam dan kehidupan Nabi S.A.W. khasnya. Ayat al-Quran diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini.Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawwatir , pasti dan qati’ serta ditulis mushaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mushaf “ Uthmani” , adalah agar bagi umat Islam mengkaji sejarah al-Quran dan perkara yang berkait dengannya.

                Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad berusia 41 tahun iaitu pada malam Jumaat bersamaan 17 Ramadan, sewaktu Baginda sedang beribadat di Gua Hira’. Perkataan “Nuzul” bererti turun atau pindah dari atas ke bawah. Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq. Al-Quran juga merupakan penunjuk bagi ummah yang mana ianya adalah ‘petunjuk’ (huda)  dan ‘pembeza’ (furqan).

                Allah s.w.t berfirman, mafhumya :
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta membezakan di antara yang haq dan batil (antara benar dengan yang salah).” [Surah Al-Baqarah (2): ayat 185].

“Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat.”
[Surah Ad-Dukhan : ayat 3]

Ayat ini menunjukkan penurunan berlaku pada bulan Ramadan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam Al-Qadr yang merupakan satu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadan.

                Selain itu, peristiwa penting juga buat umat Islam, ketika itu berlaku di tempat berhampiran Wadi (lembah) Rahqan juga pada 17 Ramadan , tahun ke-2 Hijrah (tahun yang sama berlaku pensyariatan ibadah puasa) iaitu Ghazwah Badar Kubra. Pada waktu itu kekuatan tentera Islam 313 mujahidin dengan kekuatan 2 tentera berkuda iaitu Zubair Bin Awwam dan Miqdad Bin Ai-Aswad serta 70 ekor unta. Panglima tertinggi ialah Rasulullah S.A.W sendiri , baginda membahagikan tentera Islam kepada dua kelompok iaitu Muhajirin dan Ansar. Manakala, tentera Musyrikin seramai 1,000 lebih yang dipimpin oleh Abu Jahal.

                Memintas Kafilah Quraisy yang pulang dari Syam dipimpin oleh Abu Sufian menjadi asbab kepada peperangan tersebut. Justeru itu, kemenangan dalam Perang Badar ini jelas membuktikan pertolongan Allah terhadap tentera Islam dan sekali gus mencampakkan kekuatan dan kegerunan pihak musuh kepada mereka. kemenangan ini telah Allah rekodkan di dalam kitab mulia (Al-Quran) surah Al-Imran ayat : 123-128.

                Kesimpulannya, marilah kita sama-sama menghayati Nuzul al-Quran dan Ghazwah Badar Kubra ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Telusuri sejarah dan menyingkap hikmah di sebalik kejadian yang berlaku.Wallahu a’lam.

“KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “
“MEMBENTUK GENERASI MITHALI”

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...