Monday, April 24, 2017

ISRA’ MIKRAJ DAN MARHALAH PEMBENTUKAN IMAN


OLEH : MUHAMMAD SYAFFARIN BIN ZAINAL
KETUA PAKAR,UNIT PENGETAHUAN DAN BIMBINGAN BKPJM 2016/2017

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya(Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al Haram(Makkah) ke MasjidAl- Aqsa(Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda(Kekuasaan dan Kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
(SURAH AL-ISRA’ : 1)

                Menjadi kelaziman kepada umat islam seluruh dunia, apabila tiba bulan Rejab mereka menyambut peristiwa Isra' dan Mikraj. Ia diadakan bagi memperingati kembali sirah Nabi S.A.W yang kian hilang dalam ingatan dan buku planner tahunan umat islam. Walaupun para Sahabat berkhilaf pandangan berkenaan tarikh secara tepat berlakunya peristiwa tersebut. Tetapi berlakunya peristiwa ini tidak dapat dinafikan lagi, kerana disana terdapat nas-nas yang thabit daripada al-quran dan hadis-hadis sahih  mutawatir yang diriwayatkan oleh ramai Sahabat.
                Faktor berlakunya perbezaan pandangan dalam kalangan para Sahabat berkenaan ketepatan tarikh Isra' dan Mikraj adalah kerana, ketika peristiwa tersebut berlaku kehidupan umat islam dalam keadaan yang penuh cabaran, tekanan dan penindasan yang dilakukan oleh kaum musyrikin Mekah. Dan ini menyebabkan para Sahabat tidak berkesempatan untuk mencatat tarikh peristiwa tersebut berlaku secara tepat.
                Peristiwa ini bukan sahaja menjadi cabaran besar buat Rasulullah, bahkan ia juga menjadi cabaran besar buat umat islam. Kerana terdapat dalam kalangan umat islam sendiri, tidak percaya dengan ketulenan peristiwa tersebut. Ini dikuatkan lagi dengan Firman Allah :
وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلا فِتْنَةً لِلنَّاسِ
Dan tiadalah Kami jadikan pandangan(pada malam Mikraj) yeng telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia
                Ada yang murtad dalam kalangan manusia apabila dinyatakan kepada mereka tentang peristiwa Isra  dan Mikraj ini. Ini menjadi cabaran besar buat Rasulullah untuk meyakinkan kaum arab berkenaan ketulenan Isra dan Mikraj, dan ia juga merupakan penghormatan yang terlalu tinggi jika dibandingkan dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu. Ia mempaparkan kepada kita tingginya kemuliaan Rasulullah sehingga Baginda dijemput berjumpa terus kepada Allah.
                Allah menjadikan peristiwa ini banyak pengajaran kepada umat islam dan seluruh manusia. Peristiwa ini berlaku adalah kerana Allah ingin mengundang Baginda untuk menjadi tetamu-Nya. Menjemput Baginda untuk melihat kerajaan yang besar yang tiada tanding dan bandingnya dengan kerajaan yang ada di bumi.Adapun kerajaan manusia apabila melayan dan menyambut tetamu, mereka akan melayan tetamu tersebut di dalam bilik khas, dan diperlihatkan segala apa yang mereka lakukan, samada perancangan, projek atau  program bagi memperlihatkan kepada tetamu tersebut bahawa kerajaan yang berada dibawah pimpinan mereka utuh dan kukuh kekuasaanya. 
                Adapun pada malam Isra' dan Mikraj, Baginda telah dibawa ke alam yang luas, yang luar daripada ukuran akal dan kemampuan ilmu manusia. Baginda dibawa ke alam langit dan bumi, alam dunia dan alam barzakh, alam nyata dan alam akhirat. Ditayangkan kepada Baginda tentang perihal manusia bermula dari zaman nabi Adam sehingga manusia yang terakhir. Dari sebaik-baik makhluk sehingga sejahat-jahat makhluk. Perjalanan yang jauh ini, tidak mampu diukur dengan ilmu manusia sehingga ke hari ini.Allah telah memperjalankan Baginda SAW bermula dari Mekah ke Baitul Maqdis pada zaman tiada alatan canggih dan teknologi moden. Kemudian Baginda naik ke langit seraya ke Sidratul Muntaha mengatasi lapisan langit yang ketujuh. Sedangkan sehingga ke hari ini, para ahli sains angkasa lepas masih belum mampu untuk mengesan kesemua cakerawala dan bintang-bintang yang berada di lapisan langit yang pertama. SubhanAllah!
Firman Allah :
وَلَقَدْ زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِمَصَابِيحَ وَجَعَلْنَاهَا رُجُومًا لِلشَّيَاطِينِ وَأَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابَ السَّعِيرِ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan, dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.
                Ahli Astronomi menyatakan masih terdapat bintang-bintang yang tidak mampu mereka kesan kerana jaraknya memakan masa trilion tahun perjalanan cahaya.Tempoh jarak perjalanan cahaya sesaat ini adalah bersamaan 300,000 kilometer atau 186,000 batu. Akan tetapi peristiwa Isra' dan Mikraj, ianya disempurnakan dengan mengambil masa 1 malam sahaja yang mempunyai jarak jauh yang tidak terkira. Sedangkan ketika itu roket dan pesawat angkasa lepas masih belum dicipta.
                Peristiwa ini ingin menyatakan kepada kita, bahawa adanya alam yang jauh lebih besar berbanding bumi ini. Ia juga menerangkan kepada kita bahawa bumi yang kita diami ini, jauh lebih kecil seperti butiran debu di tengah padang pasir.
                Rasulullah dijemput menjadi tetamu, ketika Baginda dalam fasa-fasa tekanan setelah dilantik menjadi rasul. Baginda bukan sahaja menjadi rasul khusus untuk kaum arab, tetapi baginda dilantik untuk menjadi rasul untuk semua manusia. Yang mana ini sangat berbeza dengan rasul-rasul terdahulu. Mereka diutuskan hanya untuk umat tertentu,negeri tertentu dan zaman yang tertentu seperti Nabi Hud diutuskan hanya untuk kaum Ad, Nabi Soleh kaumnya Tsamud, Nabi Yahya kaumnya Bani Israel dan lain-lain.Firman Allah :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau(wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
                Rasullah diutuskan untuk seluruh alam, Baginda telah dilantik dibumi yang kering kontang, yang tiada hasil bumi, tiada sumber asas ekonomi,tiada infrastruktur pembangunan dan tiada kekuatan pembela dan pengundi. Jika didalam istilah politik ia dikira sebagai "Hilang wang deposit" kerana gagal memperoleh undi atau sokongan 12.5% daripada jumlah keseluruhan penduduk mekah. Bagaimana Baginda dilantik ditempat yang sedemikian rupa?.Ditengah-tengah bangsa yang buta huruf, yang tiada asas tamadun. Bagaimana Baginda ingin memimpin seluruh dunia? Sedangkan ketika itu, Rom dan Parsi telah ada tamadun yang tersendiri. Ahli kitab dan ahli falsafah Greek dan Yunani yang jauh terkehadapan dari sudut ilmu. Bagaimana Baginda ingin memimpin mereka padahal di awal proses marhalah dakwah, Baginda telah mendapat tentangan hebat oleh masyarakat arab sendiri?.
Arab jahiliyah yang terkenal dengan sifat ganas dan keras. Baginda diutuskan didalam kelompok mereka. Bagaimana Baginda ingin sampaikan risalah dan mesej islam ke seluruh dunia, kalau ini merupakan permulaan episod dakwah Baginda ?.Namun demikian, Rasulullah menunjukkan sikap seorang rasul yang berjiwa besar. Kehebatan akhlak peribadi ditunjukkan di awal peringkat perjuangan Baginda. Seperti yang dinyatakan dalam sepotong hadis Baginda bersabda :
إِنَّمَا بُعِثْتُ لاُتَمِّمَ مَكَارِمَ الاَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku diutus, adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
                Dan secara kesimpulannya, ingin dijelaskan kepada kita bahawa Isra dan Mikraj bukan sahaja menjadi satu peristiwa besar yang hanya perlu diingati di bulan Rejab sahaja. Tetapi apakah mesej utama yang kita peroleh daripada peristiwa tersebut ?. Rasulullah memulakan proses dakwah baginda dengan tekanan dan penindasan. Seterusnya Allah menjemput Baginda menjadi tetamu-Nya, bagi membentuk semula semangat dakwah dalam diri Rasulullah setelah diasak dengan masyaqah  di segenap penjuru. Dan ia juga ingin menerangkan kepada kita bahawa terdapat kerajaan yang jauh lebih hebat daripada kerajaan manusia. Peristiwa ini juga sebenarnya menguji iman kita, dan menimbulkan persoalan dalam hati munafiq tentang ketulenan Isra' dan Mkiraj.Wallahu A’lam.
“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...