Saturday, December 17, 2016

WANITA DALAM MEDAN KEILMUAN DAN DAKWAH



Oleh : Ustazah Sanisah Binti Morney
(Unit Pengetahuan dan Bimbingan HEWI BKPJM 2016/2017)

Wanita merupakan ciptaan terindah Allah SWT yang mempunyai kedudukan mulia dalam Islam.Jika kita soroti sejarah lampau sebelum Rasulullah SAW diutuskan,kita akan dapati banyak kelakuan masyarakat jahiliah yang menunjukkan kerosakan yang nyata telah berlaku.  Dengan kedatangan Islam yang membawa sinar cahaya keterangan, mengeluarkan mereka daripada kegelapan melalui wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW iaitu ketika baginda SAW di dalam gua Hira’ di Mekah.  Wahyu pertama yang diturunkan adalah ayat 1-5 daripada Surah Al-‘Alaq.Allah telah berfirman yang bermaksud:

Bacalah!Dengan nama TuhanMU yang menciptakan.Membuat manusia dari segumpal darah.Bacalah!Dan tuhanmu  ialah yang paling mulia.Mengajarkan dengan qalam.Hal-hal yang tidak diketahui oleh manusia.

Ini menunjukkan betapa masyarakat ketika itu muncul sebagai masyarakat yang berilmu.  

            Semangat yang kuat daripada masyarakat ketika itu, membuatkan mereka berlumba-lumba untuk mempelajari ilmu pengetahuan dengan membaca dan menulis.Tidak ketinggalan, kaum wanita turut memberi saingan yang sihat terhadap kaum lelaki ketika itu.Kedudukan mereka diangkat dalam Islam, yang mana kaum wanita tidak pernah dikecualikan untuk turut serta mempertingkatkan taraf keilmuan.

            Bermula di Mekah, mereka berpeluang menuntut ilmu pengetahuan.Siti Khadijah RA yang merupakan isteri Rasulullah SAW adalah seseorang yang dipilih Allah SWT sebagai anak murid pertama baginda SAW, yang menjadi lampu hijau kepada kaum wanita seluruhnya untuk menimba ilmu seoptimum yang mungkin seperti yang dikecapi oleh kaum lelaki.

            Setelah penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah, dunia keilmuan dan kebebasan para wanita dalam menuntut ilmu terbuka luas seiring dengan kaum lelaki tanpa ada diskriminasi.Ketika di Madinah, wanita-wanita Ansar berkumpul di sebuah rumah dan Rasulullah SAW menghantar Saidina Umar RA untuk mengajar mereka.Rasulullah SAW meletakkan tanggungjawab kepada ibubapa agar memastikan anak-anak mereka menuntut ilmu dan menyarankan kepada orang-orang lelaki menuntut ilmu agar dapat mengajarkan ilmu yang dipelajari kepada isteri dan anak-anaknya.Kesungguhan Rasulullah SAW memberi impak besar yang telah membawa perubahan yang baik kepada mereka.

            Sejurus dengan itu, telah muncul tokoh sarjana yang hebat di kalangan wanita seperti Saidatina Aisyah RA, Safiyyah RA, Ummu Salamah RA dan lain-lain. Ini menunjukkan wanita menjadi bijak dan dihormati dalam masyarakat.  Martabat wanita diangkat nilainya, tidak lagi seperti wanita-wanita sebelum kedatangan Islam.


AISYAH RA IKON MUSLIMAH TERUNGGUL

Bila disebut nama yang mulia ini, ia tidak asing lagi dalam dunia keilmuan dan sebagai rolemodel buat wanita kseluruhannya sehingga ke zaman kini.  Beliau telah mempelopori bidang pendidikan dan telah berjaya meletakkan taraf keilmuannya setanding dengan para sahabat RA.  Aisyah RA telah memanfaatkan kedudukannya sebagai salah seorang isteri Rasulullah SAW dengan sebaik-baiknya.Peluang ini menjadikan beliau seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap.

            Beliau telah meriwayatkan sebanyak 2210 buah hadis sehingga membariskan beliau dengan 6 orang sahabat Rasulullah SAW yang merupakan ahli pakar hadis, iaitu Umar Bin Al-Khattab, Ali Bin Abi Talib, Abdullah Bin Mas’ud, Abdullah Bin Umar, Abdullah Bin Abbas dan Zaid Bin Thabit.Keistimewaan periwayatan hadis daripada Aisyah RA, ia merupakan periwayatan secara langsung daripada Rasulullah SAW dan para sahabat RA.Kebanyakan hadis ini berkaitan dengan amalan-amalan peribadi Rasulullah SAW yang mampu diketahui oleh Aisyah RA.Hal ini menyebabkan pengiktirafan ketokohan beliau RA.  Anak saudaranya, Ibnu Al-Zubair berkata: “Demi Allah, Aisyah tidak berdusta sama sekali tentang Rasulullah SAW.”

            Selepas kewafatan Rasulullah saw, Aisyah RA menjadi rujukan utama para sahabat apabila timbul permasalahan dan kekeliruan dalam mengetahui soal-soal hukum.Abu Musa Al-‘Ashari pernah berkata: “Sekiranya dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW menghadapi kemusykilan, maka kami akan bawa permasalahan tersebut kepada Aisyah RA.” Aisyah RA bukan sahaja arif dalam bidang Feqah, bahkan juga dalam bidang perubatan (Tib) dan syair.Beliau juga pakar dalam permasalahan perwarisan harta yang memerlukan kemahiran matematik yang tinggi. Beliau juga mempunyai kepakaran dalam bidang tafsir dan hadis.

            Dengan demikian, Aisyah RA sebagai pendidik ummah yang menjadi contoh dari segi kehebatannya dalam menguasai bidang ilmu pengetahuan.Kehidupannya mampu mempengaruhi pandangan masyarakat tidak kira lelaki mahupun wanita, yang mana beliau telah membekalkan inspirasi dan kepimpinan yang mantap. Beliau seorang yang kaya dengan budi pekerti yang tinggi, lemah lembut dan sopan santun yang memberikan kebahagiaan kepada suamiya.Aisyah RA bukanlah seorang graduan daripada mana-mana universiti memandangkan belum lagi wujud institusi seperti yang ada sekarang.Namun demikian, beliau ibarat sebuah universiti yang jauh lebih hebat dan berkesan yang diperolehi daripada mana-mana wanita hari ini di universiti-universiti.Sifat ketaqwaan Aisyah RA dapat dilihat daripada kehidupannya yang sederhana dan zuhud hasil daripada didikan baginda SAW sepanjang hayatnya.

TUNTUTAN WANITA ISLAM TERUTAMANYA DALAM MEDAN PENDIDIKAN DAN DAKWAH

Tuntasnya,sebagai wanita Islam, seeloknya kita menjadikan tokoh-tokoh wanita Islam yang hebat seperti Aisyah RA dalam bidang keilmuannya.  Sebagai wanita, kita perlulah sedar bahawa wanita juga berperanan besar dalam membangunkan masyarakat.Wanita boleh memberi impak besar melalui kekuatan dan kelemahannya. Kita dapati sejarah ketika bagaimana tarikan Hawa kepada Nabi Adam ketika mereka di syurga dan kisah Zulaikha ketika terpana  dengan keindahan Nabi Yusuf a.s..Namun demikian, di akhirnya mereka menginsafi atas apa yang telah dilakukan. Selain itu, wanita dapat menjadi kekuatan kepada masyarakat.Antara kisah yang mempunyai pengajaran yang bernilai adalah apabila Fatimah Al-Khattab, adik kepada Saidina Umar RA yang menjadi asbab Umar memasuki Islam melalui bacan Al-Quran. Asiyah yang merupakan isteri firaun, apabila ingin membela seorang bayi lelaki yang dijumpainya, diberi keizinan oleh firaun dek kerana sayang akan isterinya. 

Contoh umum yang dapat kita lihat, adalah ketika wanita-wanita menjadi penguat bagi suami-suami mereka ketika di medan peperangan,menjadi perawat-perawat setia kepada tentera yang tercedera, menjadi pembakar semangat kepada suami dalam menyampaikan dakwah dan sanggup mengorbankan harta dan jiwa demi kemenangan Islam. Semoga dengan wujudnya pelbagai contoh tauladan tokoh srikandi Islam  ini, dapatlah kita sebagai wanita menetapkan prinsip dalam kehidupan dengan mengikuti syariat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat.WaAllahu A’lam.


“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...