Thursday, January 21, 2016

Susulan Isu Pecah masuk Pejabat Rasmi BKPJM


( Kenyataan Rasmi YDP BKPJM )
SUSULAN ISU PECAH MASUK PEJABAT RASMI BKPJM.


Assalamualaikum wbt.
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وأصحابه
أجمعين.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
(وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ ِ* وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ)

Ertinya : Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.
[Surah Fussilat : 33 & 34]

Rentetan daripada isu pecah masuk pejabat rasmi BKPJM yang berlaku pada 18 Januari yang lepas, saya selaku Yang DiPertua Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir sekali lagi menasihati agar semua ahli BKPJM khususnya dan amnya buat semua mahasiswa/wi Malaysia di Mesir untuk bertenang dan sabar dengan situasi yang berlaku ini. Saya juga menasihati agar tidak bertindak melulu, menjaga adab dan tatasusila sebagai mahasiswa/wi Islam dalam apa jua tindakan mahupun perkataan. Berikan sepenuh kepercayaan kepada kami pimpinan BKPJM dalam menangani isu ini dengan sebaik mungkin. Teruskan berdoa, bermunajat dan meletakkan pergantungan hanya kepada Allah SWT agar BKPJM terus berada di dalam pemeliharaanNya.

Untuk makluman semua, Alhamdulillah semalam 19 Januari 2016 pihak BKPJM berjaya untuk bertemu Encik Khairi bin Jalaluddin dalam menuntut semula beberapa aset BKPJM yang telah diambil. Dalam pertemuan tersebut, BKPJM mendapat semula semua aset yang diambil. Namun begitu, pihak kami gagal dalam mendapatkan sebarang penjelasan terhadap tindakan yang telah dilakukan sebaliknya hanya dijanjikan akan diberi penjelasan semasa pertemuan rundingan bersama TYT Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir.

Pihak BKPJM juga telah berhubung dengan pihak kedutaan dan kini sedang berusaha dalam mengatur pertemuan pada sekitar tarikh 26 atau 27 Januari 2016. Oleh itu, terima kasih diucapkan kepada pihak TYT Duta Besar Malaysia yang memberikan kerjasama baik dalam membantu menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Besar harapan kami agar dapat mempercepatkan rundingan isu ini bersama pihak kedutaan dan mengharapkan pihak kedutaan dapat mengambil tindakan yang selayaknya dan bertindak profesional dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku.Pihak BKPJM sentiasa membuka ruang untuk berunding kepada pihak-pihak yang berwajib.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan buat semua pendokong dan penyokong BKPJM dalam sama-sama memelihara kesatuan yang sangat kita cintai ini. Akhir kalam, sukacita ditegaskan kepada semua bahawa BKPJM akan terus dan sentiasa komited dalam mempertahankan hak pejabat BKPJM di Asrama Pelajar Johor Hayyu Thamin. Semoga ALLAH SWT terus memelihara kesatuan BKPJM ini sebagai badan yang berkebajikan dan menjaga perpaduan serta mengharapkan segala sokongan dan dokongan daripada semua. Sekian, terima kasih.

"Kebajikan dan Perpaduan"

Muhammad Ariff Bin Haron
Yang DiPertua,
Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor Di Mesir sesi 15/16



Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan
Keilmuan Memangkin Kesatuan Islam
Kebajikan dan Perpaduan

‪#Setia‬BersamamuBKPJM
‪#‎BKPJM‬KeluargaKita

No comments:

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...