KEFAHAMAN MELAHIRKAN GERAKAN MEMANGKIN KESATUAN
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد اشرف الانبياء والمرسلين و على ءاله وصحبه اجمعين
اما بعد
قال الله تعالى في القرءان الكريم :
Maksudnya : (40.) Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;(41.) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Al-Haj 22 : 40-41)
Muqaddimah
Alhamdulillah, telah 41 tahun BKPJM bertapak di Mesir. BKPJM yang pada asalnya dinamakan Tabung Derma Pelajar Islam Johor (TDPIJ), sejak dahulu lagi menjadi satu-satunya wadah untuk anak-anak Johor di Mesir bersatu. Seiring usianya, BKPJM semakin utuh membantu menguruskan segala aspek keperluan anak-anak Johor di Mesir, baik kebajikan, pendidikan, kesatuan, dan sebagainya.
Dalam meniti usianya, BKPJM mengharungi berbagai-bagai ujian yang melanda. Fitnah, tohmahan, dan pelbagai ancaman yang semuanya ingin merosakkan kesatuan atas dasar Islam di bawah wadah BKPJM ini. Begitu juga, terdapat banyak cubaan untuk memecahkan kesatuan BKPJM dengan anak-anak Malaysia yang lain melalui PMRAM dengan pelbagai cara yang dilihat kotor dan tidak selari dengan landasan Islam. Alhamdulillah, BKPJM terus mampu bertahan mendepani cabaran, dan terus relevan menjadi wadah kesatuan anak-anak Johor di Mesir.
“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
Begitulah tema pembawakan BKPJM untuk sesi ini. Frasa ini bermaksud BKPJM akan memantapkan thaqafah ahli, menjalankan gerak kerja BKPJM sebaiknya, dan meneguhkan ukhuwwah antara anak-anak Johor di Mesir, dan antara anak Johor dengan anak Malaysia yang lain.
1-“Kefahaman sebagai Asas Ibadah dan Gerak Kerja”
Firman Allah SWT
Maksudnya : sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. (Faatir 35 : 28)Kefahaman merupakan asas bagi setiap ibadah dan gerak kerja BKPJM. Dengan kefahaman, akan lahir kesediaan untuk berkorban dan kesedaran dalam menjalankan tanggungjawab selaku khalifah, hamba dan pemegang amanah Allah SWT di muka bumi. BKPJM perlu menjalankan gerak kerja sebagai memenuhi tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh ahli. Namun, gerak kerja yang hanya diasaskan pada dasar semangat sahaja tidak akan menjamin kelangsungan dan kualiti kerja tersebut. BKPJM perlu menerapkan kefahaman sebagai asas dalam setiap gerak kerja yang dijalankan. Kefahaman yang dimaksudkan merangkumi pengetahuan asas terhadap gerak kerja, pengetahuan tentang organisasi gerak kerja, bidang tugas, kemahiran insaniah, dan kesedaran terhadap isu semasa berkaitan gerak kerja yang dijalankan. Begitu juga, BKPJM perlu memahamkan ahli BKPJM berkaitan mengapa perlu melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti persatuan, mengapa BKPJM, dan bagaimana bekerja bersama BKPJM. Kefahaman akan melahirkan kerelaan hati untuk bekerja bersama, dan menangkis tohmahan sesetengah individu yang iri hati dan ingin memecahbelahkan kesatuan anak-anak Johor di Mesir.
2-“Kecemerlangan Akademik Kualiti Utama Mahasiswa”
Akademik merupakan fokus utama mana-mana individu bergelar pelajar. Mahasiswa akan dinilai peribadinya bermula dengan pencapaian akademiknya. BKPJM tidak mahu anak-anak Johor yang belajar di Mesir tidak mampu bersaing dengan anak-anak negeri lain, atau tidak mampu bersaing dengan anak Malaysia lulusan universiti lain kerana lemahnya pencapaian akademik. BKPJM akan bergerak secara kolektif untuk meningkatkan kecemerlangan akademik anak-anak Johor. Untuk mencapai misi ini, BKPJM merancang beberapa gerak kerja antaranya kelas tutorial, kelas tafaquh, diskusi kitab dan lain-lain
3-“Thaqafah Melahirkan Pendakwah yang Berdaya Saing”
Lulusan Mesir, apabila pulang ke Malaysia, pastinya perlu menjadi pendakwah yang bergerak untuk mengislah masyarakat agar kembali di atas landasan Islam. Untuk itu, perlunya pelajar Mesir mempunyai thaqafah yang luas dan merangkumi semua aspek dalam mendepani masyarakat yang pelbagai latar belakang. Begitu juga, kesedaran dalam diri perlu diterapkan bermula dari bangku mahasiswa agar persediaan secukupnya dapat dibuat sebelum mendepani masyarakat di tanah air. BKPJM tidak mahu pendakwah yang lahir dari Mesir hanya mampu menghidupkan masjid dengan wirid dan ceramah yang mendayu-dayu. Tetapi BKPJM melihat keperluan untuk pendakwah terjun bersama masyarakat mengisi kekosongan rohani mereka dan menjadi sumber panduan dan contoh buat mereka. Lulusan Mesir tidak boleh eksklusif beraksi dalam gelanggang masjid, surau dan sekolah semata-mata. Sedarlah, masyarakat hari ini memerlukan pembimbing rohani yang dekat di hati, pentadbir urusan ummat yang kian hari kian dipijak oleh musuh-musuh Islam, dan dalam masa yang sama, memerlukan pendakwah bergerak dalam masyarakat menangkis serangan pemikiran yang ditujukan buat generasi Muslim akan datang.
4-“Penguasaan Kemahiran Insaniah”
Statistik dari Jabatan Statistik Negara menunjukkan kira-kira 40 000 graduan dilaporkan menganggur sehingga November 2001. Antara faktor utama pengangguran graduan tersebut ialah kurang kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, kurang mahir dalam gerak kerja organisasi, dan tiada kemahiran insaniah atau ‘soft skill’ yang menjadi nilai tambah.
BKPJM tidak mahu lulusan Mesir termasuk dalam golongan ini. Justeru, BKPJM menggariskan beberapa perancangan dalam memastikan lulusan Mesir terlepas dari menjadi penganggur, antaranya kursus pengurusan Islam, Kursus Vokasional, Bengkel Ucapan Umum dan lain-lain. Begitu juga, BKPJM menyediakan peluang kepada ahli-ahlinya untuk menajamkan kemahiran masing-masing melalui gerak kerja BKPJM sebagai sebuah persatuan bersifat non-partisan.
5-“Gerak Kerja Berkualiti”
BKPJM perlu mengutamakan kualiti dalam gerak kerja. Gerak kerja BKPJM tidak boleh bersifat melepaskan batuk di tangga, kerana BKPJM merupakan satu-satunya wadah anak Johor di Mesir, dan bertindak sebagai penyelesai masalah, pembantu, dan orang tengah dalam menyuarakan kehendak dan hak ahli kepada pihak lain. Justeru, BKPJM perlu menjalankan gerak kerja dengan sebaiknya, dan menjadi pentadbir yang terbaik kepada urusan Ummat Islam, khususnya anak-anak Johor di Mesir.
6-“Gerakan Mahasiswa Menyambung Generasi Kepimpinan Negara”
Mahasiswa merupakan pencorak kepimpinan negara masa depan. Kesemua nama-nama besar dalam kepimpinan negara lahir dari gerakan mahasiswa. BKPJM selaku wadah anak-anak Johor di Mesir tidak ketinggalan dalam melahirkan tokoh-tokoh seperti ini yang kini mengisi pelbagai jawatan tinggi dalam kerajaan. Dalam memastikan kelahiran generasi pelapis kepimpinan negara, BKPJM perlu menjadi wadah mahasiswa dalam mengasah bakat kepimpinan mereka. Untuk itu, BKPJM perlu melatih ahli dalam pelbagai aspek kepimpinan dan organisasi dalam memastikan keluaran BKPJM berkualiti dan mampu menerajui masyarakat kembali ke arah Islam. BKPJM menyeru kepada semua ahli untuk menjadikan BKPJM sebagai tempat anda melatih bakat anda dalam kepimpinan supaya kembalinya kita ke Malaysia bermakna kembalinya sebutir permata yang akan menyinari masyarakat melalui kepimpinannya.
7-“BKPJM Keluarga Kita”
BKPJM merupakan satu-satunya wadah kesatuan anak Johor di Mesir. Ke arah kesatuan anak-anak Johor di Mesir ini, BKPJM menerapkan konsep “BKPJM Keluarga Kita” sebagai menggantikan keluarga tercinta di tanah air. Kalam keramat ini perlu diulang-ulang oleh setiap ahli BKPJM dalam memastikan semua anak-anak Johor di Mesir sedar akan fakta ini. Untuk itu, setiap ahli BKPJM, baik perubatan mahupun pengajian Islam dijemput untuk hadir dalam semua program-program terbuka yang BKPJM anjurkan. Selain itu, Muzakarah Berkelompok yang BKPJM jalankan dilihat sebagai medan terbaik untuk adik-beradik ahli keluarga BKPJM berkongsi masalah, berbincang, dan menyatukan hati-hati kita semua.
8-“BKPJM & PMRAM Seiring dan Sejalan”
Firman Allah SWT:
103. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.(Ali Imran 3 :103)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) merupakan NGO yang telah ditubuhkan sejak 1930 untuk menjaga kebajikan anak Melayu di Mesir. Satu fakta sejarah yang tidak dapat dipertikai ialah BKPJM ditubuhkan sebagai salah satu Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) yang bernaung di bawah PMRAM khusus untuk anak-anak Johor di Mesir. Justeru, tindakan sesetengah pihak menafikan hubungan rapat PMRAM dan BKPJM boleh diibaratkan umpama menafikan hubungan rapat antara ayah dan anak. Selain itu, BKPJM tidak mahu anak-anak Johor mengasingkan diri dari anak-anak Malaysia yang lain yang juga bernaung di bawah PMRAM. BKPJM mahu anak-anak Johor, selain dari rapat sesama anak Johor, rapat juga dengan anak-anak negeri lain, dan menunjukkan kualiti diri selaku anak Johor di mata anak Malaysia lain. Jadikan nama Johor gah di mata dunia melalui kualiti diri kita yang hebat.
9-“Kesatuan Ummah Asas Kebangkitan Islam”
قال الله تعالى في القرءان الكريم :
Maksudnya : (10.) Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.(Al-Hujuraat 49 : 10)Lemahnya Ummat Islam hari ini adalah disebabkan mereka dipecahbelah dan dibahagikan mengikut sentimen kenegaraan yang melampau sehinggakan terlupa akan konsep persaudaraan Islam. Lihat sahaja bagaimana Ummat Islam sanggup berbunuhan semata-mata kerana perlawanan bola sepak. Seperti apa yang telah berlaku di antara negara Mesir dan Algeria. Keadaan ini wujud kerana tiadanya kesedaran di kalangan ummat dan pemimpinnya untuk menerapkan konsep kesatuan dan ukhuwwah Islamiah dalam diri masing-masing. Melihat realiti ini, BKPJM mengambil pendekatan menyatukan anak-anak Johor di Mesir dalam BKPJM sebagai langkah pertama dalam memastikan Ummat Islam kembali bersatu, dan seterusnya menyatukan anak-anak Johor dengan anak Malaysia yang lain di bawah wadah PMRAM.
Penutup
BKPJM tidak akan mampu bergerak tanpa adanya ahli yang sanggup bekerja membantu kepimpinan BKPJM dalam mengemudi bahtera ini. Kepimpinan BKPJM memilih tema ini kerana dilihat selaras dengan keperluan semasa ahli secara umum. Marilah bersama kami dalam merealisasikan tema pembawakan BKPJM tahun ini.
“Kefahaman Melahirkan Gerakan Memangkin Kesatuan”
Sekian,
وبالله توفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
No comments:
Post a Comment