Tuesday, February 28, 2017

[ KENYATAAN YDP BKAN : PROGRAM HARI THAQAFAH MAHASISWA (HAMASAH) MEGA BAKAL DILAKSANAKAN ]



Isnin, 27 Feb 2017 - Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) merupakan wadah kesatuan anak Malaysia di Mesir yang sentiasa menjaga kebajikan ahlinya dalam pelbagai aspek. Antaranya melalui mekanisme akademik, thaqafah, tarbiah , kemasyarakatan dan lain-lain.
Bertarikh 27 Februari 2017, satu perjumpaan bersama telah diadakan oleh Majlis Yang Dipertua Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) bertempat Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Asrama Rumah Negeri Perlis. Antara perbincangan yang diutarakan adalah berkaitan inisiatif peningkatan thaqafah mahasiswa dan mahasiswi di Mesir.
Dalam perbincangan tersebut, seluruh YDP bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas secara berpusat dalam menggerakkan program HAMASAH MEGA dengan lebih tersusun.
Antara objektif program ini adalah melahirkan mahasiswa/wi beramal yang memahami dengan jelas 4 perkara iaitu :
1. Penyusunan Aulawiyat dalam kehidupan seharian.
2. Pemilihan dan mengikut kumpulan yang sebenarnya.
3. Prinsip kesatuan di kalangan mahasiswa Islam
4. Ukhuwwah Islamiah
Sebelum berakhirnya pertemuan tersebut, Majlis YDP bersetuju melantik Ustaz Amirul Azamuddin bin Zaharuddin sebagai Pengarah HAMASAH Mega manakala Ustazah Ku Fathin Athifah binti Roseli sebagai Timbalan Pengarah. Sebarang pemakluman berkaitan program ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Para YDP juga turut menyuarakan cadangan dan pandangan bagi memastikan program yang direncana ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
Semoga dengan usaha yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan lagi thaqafah di peringkat mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir dalam mendalami khazanah ilmu Islam dengan sebaiknya.
" Muafakat Asas Kejayaan "

.:: Memurnikan Pemikiran Melestarikan Kesatuan ::.
.:: Kebersamaan Mengukuh Kesatuan ::.
.:: Membentuk Generasi Mithali ::.
.:: Kebajikan Dan Perpaduan ::.

Monday, February 27, 2017

WINTER VACATION MENYATUKAN ANAK-ANAK JOHOR DI PERLEBAHAN NIL



KAHERAH,18 Feb- Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir baru-baru ini telah menganjurkan sebuah program mega berbentuk jaulah iaitu Winter Vacation bersempena cuti musim sejuk selepas peperiksaan fasa pertama Universiti Al-Azhar.

Dengan tema Menjejak Sejarah Meribat Ukhuwah, Winter Vacation mensasarkan dua destinasi menarik untuk dilawati anak-anak Johor di Mesir iaitu yang pertama jaulah ke selatan Sinai, Le Tour De Sinai khusus untuk akhawat pada 8 hingga 10 Februari, manakala untuk ikhwah pula jaulah ke Dumyat atau Le Tour De Damietta. Pada isnin,13 Februari.

Seawal pembukaan pendaftaran sehingga ditutup pada 7 Februari, pihak penganjur menerima penyertaan yang sangat menggalakkan dari anak-anak Johor yang tidak mahu ketinggalan melawat tempat-tempat bersejarah dan menarik di bumi Mesir sekaligus menenangkan fikiran selepas penat menghadapi peperiksaan. Lebih 109 orang peserta berjaya dikumpulkan iaitu 48 orang ke Sinai dengan sebuah bas manakala 61 orang peserta jaulah Dumyat menaiki sebuah bas dan sebuah van persiaran.

Ditanya mengenai objektif jaulah Winter Vacation tahun ini, pengarah program Norhalim Lokman berkata, tiga objektif utama yang diharapkan iaitu memperkasakan tautan ukhuwah antara mahasiswa Johor di Mesir, mengambil pengajaran daripada kesan-kesan sejarah selain melawat tempat-tempat menarik di Mesir itu sendiri. “bukan sekadar melancong dan bersuka ria, program jaulah ini juga menjadi medium penyatuan anak-anak Johor di Mesir di bawah naungan BKPJM”, ujarnya lagi.


Ternyata rehlah yang dianjurkan kali ini padat dengan pengisian tempat-tempat menarik yang dillawati.Antaranya Gunung Tursina,makam Nabi Harun dan Nabi Salleh,pantai Dumyat,Rass El Bar dan banyak lagi di samping aktiviti menarik seperti ATV,snorkeling,berkuda,sukan rakyat dan sebagainya.Gelagat para peserta serta kerjasama yang diberikan turut menyerikan dan menambah meriah kedua-dua rehlah.Para peserta dilihat berpuas hati dengan perjalanan program dari kedua-dua jaulah dan mengharapkan supaya diadakan jaulah seperti ini dan pada masa akan datang.-Wartawan BKPJM-

“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “
“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

TETAP MERIAH WALAU TIADA KERANG



DUMYAT, 13 Feb – Pantai Dumyat yang terkenal dengan aktiviti mengutip kerang tahun ini menyaksikan kehadiran anak-anak Johor ke destinasi tarikan tersebut melalui rehlah Le Tour De Damietta, salah satu jaulah dibawah program Winter Vacation anjuran Badan Kebajikan Pelajar-pelajar Johor di Mesir . Namun, tahun ini rehlah dirasakan berbeza oleh sebahagian peserta kerana ketiadaan kerang di pesisir pantai Dumyat tersebut. Salah seorang peserta ketika ditemui berkata, beliau telah berusaha mencari kerang hingga masuk ke laut sehingga ke paras dada namun tiada satu pun kerang yang ditemui. “mungkin tiada rezeki tahun ini”, katanya lagi. Walau bagaimana pun, program tetap meriah dengan pelbagai aktiviti dan pengisian seperti sukan rakyat, cabutan bertuah, BBQ, jualan makanan dan sebagainya. Ditambah lagi dengan bilangan peserta yang ramai iaitu lebih  60 orang menggamatkan lagi suasana di pantai tersebut. Para peserta dilihat mengambil peluang untuk bersiar-siar menenangkan fikiran serta mengeratkan ukhuwah sesama sendiri. Kerjasama yang diberikan antara peserta menjadikan jaulah kali ini sebagai kenangan indah bagi semua yang terlibat.Ternyata hubungan ukhuwah yang dibina adalah atas dasar kesatuan bukan kepura-puraan,-Wartawan BKPJM-

“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMEBENTUK GENERASI MITHALI “

REHLAH KE DUMYAT MENJALIN UKHUWAH KEKELUARGAAN




OLEH :AHMAD LUTFI BIN SUBAHAN
SETIAUSAHA LE TOUR DE DAMIETTA

DUMYAT, 13 Feb – Dumyat atau Damietta dikenali merupakan salah satu daerah atau muhafazah di Mesir yang sering menjadi pilihan jaulah warga mahasiswa Malaysia di Mesir terutama pada musim sejuk. Bersempena dengan cuti musim sejuk kali ini, BKPJM telah menganjurkan rehlah ke Dumyat iaitu Le Tour De Damietta khusus buat mahasiswa Johor di Mesir.Rehlah ini yang berlangsung selama sehari ini disertai leih 60 peserta ikhwah dikalangan anak-anak Johor di Mesir dengan menaiki sebuah bas dan sebuah van persiaran.

Rombongan bertolak dari Masjid Syarbini,Hayyu Asyir seawal jam 4 pagi.Para peserta selamat sampai ke destinasi pertama iaitu pantai Dumyat pada jam 8.30 pagi. Sejurus sampai, para peserta bersama-sama menunaikan solat dhuha di pondok rehat. Seusai solat, majlis perasmian pun dimulakan. Majlis dimulakan dengan ucapan Ustaz Norhalim Bin Lokman selaku pengarah program seterusnya ucapan YDP BKPJM Ustaz Muhammad Arif Bin Hamzah sekaligus merasmikan program jaulah LeTour De Damietta. 

Seterusnya, diadakan sesi panas badan dan pembahagian kumpulan untuk sukan rakyat. 
Peserta dibahagikan kepada empat kumpulan untuk bermain permainan bola beracun. Permainan berlangsung dengan meriah dan menyeronokkan dengan gelagat peserta yang mencuit hati. Selesai aktiviti sukan rakyat, peserta diberikan peluang melakukan aktiviti bebas seperti mandi laut, mencari kerang, mengambil gambar dan bersiar-siar sekitar pantai Dumyat. Tidak kurang juga yang berehat menenangkan fikiran di tepi pantai, berkelah dan membakar ayam BBQ. Tepat jam 12 tengah hari, semua peserta berkumpul kembali ke tempat berehat untuk menunaikan solat fardhu zohor dan makan tengah hari. Selepas makan, diadakan sesi taaruf pengenalan diri yang diberikan oleh unit pengisian dan cabutan bertuah sebelum bersiap untuk ke destinasi seterusnya. 
Destinasi seterusnya ialah Ras el –Bar. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam untuk ke Ras el -Bar dari pantai Dumyat. Setelah sampai, peserta diberi penerangan berkaitan keadaan sekitar dan sejarah tempat tersebut. Tepat jam 4.30 petang, semua peserta pun bergerak ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Amru Al-Asr,Dumyat. 

Sepanjang perjalanan ke Masjid Amru, peserta dapat melihat keindahan suasana Bandar Dumyat yang berlainan dengan suasana Kaherah. Di Masjid Amru, para peserta berehat untuk makan malam dan menunaikan solat jamak maghrib dan isyak. Setelah selesai solat, peserta diberi peluang untuk berehat dan mengambil gambar sebelum bertolak pulang pada jam 7.30 malam.Sepanjang rehlah berlangsung kesemua peserta dilihat begitu menikmati akan perjalanan tersebut.Bahkan ada yang menyatakan hasrat untuk menyertai lagi rehlah sebegini di masa akan datang.Kesemua peserta selamat sampai di Kaherah pada jam 10.30 malam.-Wartawan BKPJM-

“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “
“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “



DAHAB SYURGA KEREHATAN


KHAMIS,JUMAAT,9-10 FEB –Dahab merupakan salah satu pusat peranginan di Bumi Mesir.Sejarah asal namanya ialah zahab dalam bahasa arabnya diammikan menjadi Dahab yang bermaksud emas kerana terdapat bukit bukau dan pada waktu senja kelihatan warnanya seakan-akan emas hasil pantulan cahaya matahari.Para peserta kelihatan gembira setelah sampai di Dahab kerana begitu terpsesona dengan keindahan destinasi ini.Respon salah seorang peserta Le Tour De Sinai,Kepenatan dan kesakitan kaki hilang sebaik saya sampai di Dahab.Kebiruan laut merah Dahab ditambah dengan berpuluh restoran makanan laut memukau setiap mata para peserta yang memandang.Selain itu,ianya tambah menarik kerana pelbagai aktiviti disediakan  di sini seperti snorkeling,menunggang kuda,berbasikal dan menaiki ATV. Para peserta tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang telah disediakan.Aktiviti terakhir bagi jaulah ini sebelum bertolak ke Kaherah,para peserta tidak ketinggalan menaiki glassboat di pantai Dahab.Di glassboat,keindahan pantai Dahab lebih terserlah dengan melihat keindahan dasar lautan ditemani ikan-ikan dan batu karang serta menikmati pemandangan Dahab dari laut.-Wartawan BKPJM-

" KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

SINAI-PENAT YANG BEBRBALOI



RABU,8 FEB 2017- Walau berlaku beberapa kali penangguhan, akhirnya peserta jaulah ‘Le Tour de Sinai’ dapat memulakan perjalanan mereka pada  jam 1.50 pagi, bersamaan 8 Februari 2017. Perjalanan ini dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh Ustaz Norhalim bin Lokman selaku
Pengarah Winter Vacation pada tahun ini.Terdahulu,perjalanan rehlah yang dirancang berlangsung pada 7 Februari terpaksa ditunda lewat sehari perjalanan akibat permasalahan yang berlaku di peringkat pengusaha bas persiaran.

Seramai 34 orang peserta mahasiswi bersama 8 musyrif dan 3 pasangan mutazawwijin ini meneruskan perjalanan ke Semenanjung Sinai dengan selamat dan melalui beberapa tempat bersejarah seperti  melalui Terowong Ahmad Hamdi, kubu peninggalan Israel yang berjaya ditawan tentera Mesir, Uyun Musa dan Wadi Arbain. Sebelum tiba ke tempat penginapan, peserta dibawa ke beberapa lagi tempat bersejarah seperti Maqam nabi Harun dan nabi Salleh dan kesan peninggalan pancaran lembu samiri.
Jam menunjukkan  2.15 pagi,maka bermulalah misi menawan puncak Gunung Sinai.  

Alhamdulillah,kebanyakan peserta berjaya mendaki sehingga ke puncak gunung dan mengambil masa pendakian  sekitar 4 jam. Setelah menunaikan solat Subuh dan bergambar sambil melihat matahari terbit  dari puncak gunung, peserta mula turun dan kembali ke tempat penginapan.

Jelas terpancar kegirangan di wajah peserta yang berjaya menawan puncak Gunung Sinai.Walaupun letih pengalaman mendaki yang diperolehi jauh lebih berharga kerana para peserta dapat merasai pengalaman mendaki dan melihat sendiri kesan peninggalan sejarah yang dipelajari dalam pengajian.-Wartawan BKPJM-

" KEBERSAMAAN MEGUKUH KESATUAN ”

“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI ”

SINAI-JAUH PERJALANAN LUAS PEMANDANGAN



OLEH : SITI MARIAM BINTI ABU
SETIAUSAHA WINTER VACATION LE TOUR DE SINAI

RABU,8 FEB 2017-Perjalanan rehlah peserta Le Tour De Sinai dimulakan dengan merentasi Terowong Ahmad Hamdi membelah Terusan Suez yang memisahkan antara Benua Asia dan Afrika.Nama terowong itu diambil bersempena dengan nama salah seorang para suyuhada yang telah terkorban ketika perang Mesir dan Israel yang lalu.

Destinasi pertama rehlah ialah melawat Kubu Israel atau Kubu Berlief, Kubu tersebut dahulunya merupakan tempat kem kawalan tentera Israel yang menempatkan meriam-meriam untuk menyerang Terusan Suez bagi menguasai minyak di sana. Sehingga sekarang Israel masih ingin menguasai sumber minyak di sana sehinggakan pernah mengorek bagi mendapatkan minyak tetapi dengan kuasa Allah yang keluar ialah air panas. Kini kem tersebut telah berjaya ditawan oleh tentera Mesir darpada strategi perang yang diilhamkan oleh Syeikh Al-Azhar ketika itu Dr.Abdul Halim Mahmud dengan menggunakan meriam air.

Seterusnya para peserta bertolak menuju ke Uyun Musa. Di sana para peserta melawat kawasan telaga 12 yang menjadi sumber air kepada 12 kaum Nabi Musa selepas lari melepasi laut merah yang terbelah bagi menyelamatkan diri dari Firaun dan bala tenteranya.Sebelum tiba di St.Catherine,bagi membuat persiapan mendaki Gunung Sinai para peserta terlebih dahulu dibawa ke kawasan sekitarnya.Kawasan terletaknya tempat-tempat bersejarah.Antaranya ialah makam Nabi Harun, Nabi Salleh dan  patung Lembu Samiri.
Destinasi terakhir Rehlah pada kali ini ialah Dahab.Disana,para peserta berpeluang untuk melepaskan lelah mendaki gunung Sinai dan menikmati keindahan pantai serta melakukan aktiviti-aktiviti menarik seperti menunggang ATV,berkuda,berbasikal dan menaiki glass boat.

“Pengalaman yang sangat mengujakan.Diharapkan BKPJM dapat menganjurkan Rehlah ke Sinai lagi di masa akan datang”.Begitulah respon salah seorang peserta apabila ditanya mengenai pengalaman sepanjang Rehlah berlangsung.Semua peserta selamat tiba di Kahrah pada jam 1.40 pagi 11 Februari.-Wartawan BKPJM-

“ KEBERSAMAAN MENGUKUH KESATUAN “
“ MEMBENTUK GENERASI MITHALI “

Post Terbaru

Asrama Pelajar Johor : Hak Kita, Jasa Mereka

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته Firman Allah S.W.T : إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْ...